News!!

Benarkah Simpanan Air Kita Sangat Sedikit?

Mungkin kerana negara kita sentiasa menerima hujan yang banyak sepanjang tahun, kita merasakan simpanan air kita lebih dari mencukupi. Namun apa yang dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Ir. Zaini Ujang adalah satu yang sangat membimbangkan. Bacalah perkongsian ini agar kita mampu merubah sikap.

BATU PAHAT
: Demi mengekalkan kelestarian alam semulajadi pelbagai langkah perlu diambil untuk merealisasikannya.

Antaranya ialah dengan menyemai sikap berhemah semasa mengunakan air kerana sumbernya semakin berkurang seiring dengan peredaran masa.

Demikian pesanan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Ir. Zaini Ujang berkenan isu tarif air yang sedia ada pada program Sesi Dialog TN50 dan GTMP  yang diadakan pada 11 Mac lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Katanya, bagi mengatasi masalah air, penstrukturan semula tarif air perlu dilakukan.

Bagi golongan yang berkemampuan tarif air tanpa subsidi perlu dikekalkan manakala bagi golongan yang kurang berkemampuan pula bakal mendapat subsidi air dari kerajaan di bawah had yang telah ditetapkan.

Menurut Zaini lagi, langkah ini bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat agar berjimat cermat dalam penggunaan air.

Hal ini kerana simpanan air yang ada pada masa kini adalah amat sedikit,  malah mencadangkan ‘simpanan sungai’ perlu diwujudkan bagi menampung keperluan pengguna.

Jelas beliau, lokasi ‘simpanan sungai’ yang ada kini hanya terdapat di Pulau Langkawi, Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Johor pula bakal menyusul dalam masa terdekat.

Isu lain yang turut disentuh beliau ialah tentang peningkatan gas karbon dioksida.

Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) dicadang untuk meningkatkan teknologi mesra alam pada masa akan datang bertujuan mengurangkan kesan karbon demi keselamatan bumi.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat agar bersama-sama melindungi dan menjaga alam sekitar agar generasi akan datang masih dapat menikmati apa yang dinikmati hari ini.

Sumber: Astro Awani

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: