News!!

Benarkah Kemewahan Menjadi Pemberat Dalam Meniti Laluan Ke Syurga?

Antara resipi kejayaan Rasulullah SAW menegakkan agama adalah dengan meninggalkan harta dan hidup sekadar secukupnya. Pastinya baginda jelas mengenai implikasi “kemewahan” yang mampu menggugat misi dakwah. Uswah yang Baginda tunjukkan telah diikuti oleh para sahabat. Namun ada “sahabat” yang tidak mampu berenggang dengan harta sehingga menerima hukuman atas perbuatan mereka. Bacalah perkongsian ini agar kita memperoleh manfaat.

HARTA YANG DISAYANGI DAN MELALAIKAN? – BEBERAPA KISAH SAHABAT BERKAITAN HARTA 

Dalam beberapa kisah melihatkan bagaimana sebahagian sahabat dikagumi dan ditinggikan darjatnya melebihi sahabat yang lain. Begitu juga sahabat diancam dan diberikan amaran mengenai tingkah-lakunya oleh Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. telah menampakkan suatu Uswah untuk benar-benar meninggalkan kehidupan mewah dan hidup sekadar cukupnya. Sedangkan sebahagian sahabat masih memperlihatkan kecintaan kepada kekayaan dan harta sehingga melalaikan.

PERISTIWA SAHABAT TERTINGGAL PERANG. 

Dari Ka’ab bin Malik menceritakan bahawa dia tidak turut serta dalam peperangan Tabuk kerana perasaan BERAT dan MALAS. Dia mengakui kehidupannya ketika itu lebih baik dari sebelumnya.

Ka’ab bin Malik berkata “Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari muatan dua ekor unta, tetapi hari ini aku memilikinya”.

Ternyata pada Perang Tabuk itu, dua lagi sahabat tidak turut serta selainnya. Meraka ialah Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah.

Hilal bin Umayyah sedang sibuk mendampingi keluarganya yang baru pulang ke Madinah setelah sekian lama meninggalkan kota itu. Murarah bin Rabi’ pula sedang sibuk menguruskan kebunnya yang sedang subur dan unta-untanya yang sedang beranak-pinak.

Ketiga-tiga sahabat ini telah DIPULAUKAN oleh Nabi Muhammad selama 50 hari sehingga meninggalkan penyesalan yang amat kepada mereka.

KEUTAMAAN SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ DALAM PENGORBANAN HARTA

Diriwayatkan dalam perang Tabuk juga, Saidina Uthman telah memberikan 1,000 dinar emas, 300 ekor unta dan 50 ekor kuda sebagai bantuan kepada Nabi. Saidina Umar pula membawa separuh hartanya untuk disedekahkan. Saidina Abu Bakar pula telah memberikan seluruh hartanya.

Peristiwa ini dikatakan menjadi asbab kepada Ayat 271, Surah Al-Baqarah yang maksudnya:

“Jika kalian menampakkan sedekah maka itu adalah suatu nikmat dan jika kamu menyembunyikannya dan diberikan kepada golongan fakir, maka itu lebih baik untuk kamu. Dan dia akan menyingkirkan dari kalian dari kesalahan kamu. Dan Allah itu tahu dengan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2:271).

Mengetahui Saidina Abu Bakar menyerahkan semuanya, Saidina Umar mengakui kelebihan beliau melebihi dirinya. Saidina Umar berkata “Demi Allah, tidak sekali-kali kita berlumba menuju ke pintu kebaikan melainkan engkau selalu menang”.

Saidina Uthman dinampakkan masih mempunyai harta yang banyak meskipun telah banyak bersedekah dan mengeluarkan infaq. Namun beliau sendiri tidak rela melepaskan keseluruhan hartanya sebagaimana Saidina Abu Bakar.

AMARAN KEPADA ABDURRAHMAN BIN AUF

Diriwayatkan juga dari Saidatina Aisyah tentang Abdurrahman bin Auf. Aisyah mendengar suara menggoncangkan dari rumahnya, dan dikatakan itu adalah suara kafilah dagang Abdurrahman bin Auf.

Aisyah menyatakan pernah mendengar Nabi bersabda “Aku melihat Abdurrahaman bin Auf memasuki syurga dengan merangkak”. Walaupun riwayat ini lemah, pelajarannya masih boleh diambil.

Untuk berada di titian perjuangan Allah menuju ke Syurga, sememangnya harta akan memberatkan dan memperlahankan seseorang untuk berjuang berhabisan di jalan Allah. Walaupun Abdurrahman bin Auf terkenal dengan sifat dermawan, namun dia juga tidak mampu berhabis sepertimana sahabat fakir yang lainnya.

Firman Allah dalam Al-Baqarah (Surah 2: Ayat 155) yang bermaksud:
“Dan sungguh akan Kami berikan ujian dengan sesuatu daripada ketakutan dan kelaparan serta kekurangan daripada harta dan diri dan buah-buahan dan kabar gembira bagi orang yang bersabar”.

Demikian sebahagian kisah para sahabat untuk dijadikan iktibar.

Semoga bermanfaat.

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://web.facebook.com/akademiprihatin/posts/1663413410419797:0

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: