News!!

Belanjawan 2018 Meringankan Beban, Tapi Hanya Untuk Jangkamasa Pendek- Kata Ahli Ekonomi

Rata-rata penduduk rakyat Malaysia masih lagi hangat membincangkan mengenai Bajet 2018 yang baru sahaja dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri. Berbagai ulasan dan juga pandangan oleh para cendekiawan samada dalam bentuk positif, negatif dan juga neutral. Mari sama-sama kita fahami ulasan yang cuba disampaikan oleh penulis yang berkaitan dengan belanjawan 2018.

BAJET 2018 hanya meringankan beban rakyat dari kenaikan inflasi dalam jangka pendek dan tidak benar-benar mengatasi kos sara hidup, kata seorang ahli ekonomi bebas.

DR Suresh Kumar berkata walaupun bajet itu akan beri lebihan wang kepada rakyat dengan pemberian tunai dan pengurangan 2% cukai pendapatan, kos sara hidup di negara ini masih kekal tinggi, terutamanya disebabkan kadar tukaran wang yang lemah.

“Ia menimbulkan persoalan sama ada ia sudah cukup baik. Pengurangan cukai pendapatan membantu meringankan beban dan mengurangkan kesan kos sara hidup, tetapi ia hanya akan meningkatkan kos ekonomi dalam jangka masa panjang.

“Bajet ini tidak mengatasi kos sara hidup itu sendiri. Kita hidup dalam ekonomi kos tinggi, jadi yang harus kita atasi adalah kos ekonomi yang tinggi dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas Dialog Pasca Bajet 2018 anjuran Universiti Malaya (UM) di Petaling Jaya hari ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga akan memberi RM1,500 kepada 1.6 juta penjawat awam tahun depan, dengan kos RM4.2 bilion. Pemberian sekali sahaja sebanyak RM1,500 juga diberikan kepada ketua kampung, tok batin, imam, bilal, guru Kafa dan Takmir, serta siak.

Petani, nelayan, pelajar, penjawat awam dan golongan pertengahan menerima manfaat paling besar dari Bajet 2018.

“Saya tak kata ia bajet yang tidak bagus, ia bagus kerana beri banyak pendapatan untuk ekonomi yang melambung, termasuk peruntukan untuk bahagian besar penduduk.

“Tetapi ia sebenarnya ekonomi yang sangat mahal, ekonomi berkos tinggi dari dalam ringgit dan pertumbuhan yang terhad dalam dolar. Ia sedang dilambungkan melalui kadar cukai serta kadar tukaran yang lemah,” katanya.

Tambah beliau, defisit fiskal Malaysia yang dijangka menyusut kepada 3% tahun ini dan 2.8% tahun depan, akan dilakukan melalui seigniorage, atau hasil cukai inflasi.

“Perkara penting di sini ialah bajet telah membantu kerajaan mencapai defisit sasaran 2.8%, tetapi pada kos hasil cukai inflasi yang sebenarnya membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan dari Universiti Sunway, Dr Nur Ain Shahrier berkata anggaran itu tidak menekankan penggabungan fiskal yang akan menggariskan langkah-langkah yang perlu kerajaan ambil bagi mengurangkan defisit belanjawan.

“Bajet ini seharusnya mencerminkan ekonomi bukan dalam bulan-bulan yang akan datang, tetapi untuk tempoh jangka panjang.

“Apabila ia melibatkan jangka panjang, ia harus kembali kepada struktur ekonomi, iaitu gaji yang tidak naik. Bagaimana kita boleh buat rakyat Malaysia peroleh pendapatan lebih setiap tahun, bagaimana kita dapat meningkatkan kuasa beli? Gaji tidak naik, walaupun bagi golongan profesional, kenaikan setiap tahun yang sangat kecil pada 1%,” katanya.

“Bagaimana kita akan berbelanja apabila gaji tidak naik, tidak dapat banyak seperti yang diharapkan? Kita akan meminjam, ambil kad kredit, pinjaman bank dan kesudahannya, hutang isi rumah kita menjadi antara yang tertinggi di rantau ini.”

Sumber: The Malaysian Insight – Melati A. Jalil

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: