News!!

Baru Berusia 17 Tahun Tapi Sudah Jadi Kepala Tentera?

Antara tonggak kekuatan yang turut sama menyumbang tenaga menegakkan Islam adalah dari golongan anak muda. Jelaslah bahawa kerjasama erat antara golongan muda dan “orang lama” telah menjadi salah satu faktor kejayaan Islam berkembang ke serata dunia. Ikuti kisah mengenai kehebatan Usamah Bin Zaid dan semoga kisah ini menjadi teladan buat anak muda kita.

USAMAH BIN ZAID – PEMIMPIN MUDA PILIHAN RASULULLAH S.A.W 

Sirah Nabi Muhammad S.A.W. dipenuhi dengan nama-nama golongan remaja yang berjuang bersama-sama Nabi menegakkan agama Islam. Golongan remaja memainkan peranan penting dalam banyak tugasan seperti penulis wahyu, hafiz al-Quran, pembantu peribadi Nabi, malah turut terlibat dalam peperangan.

Usamah bin Zaid merupakan salah seorang remaja yang berjiwa besar di zaman Nabi. Pada umurnya yang baru sahaja mencapai 17 tahun, beliau telah dipilih untuk menjadi Jeneral Tentera Madinah untuk berhadapan dengan bukan calang musuh tetapi Tentera Bizantin Rom Timur.

RIWAYAT RINGKAS KELUARGA USAMAH BIN ZAID

Ayah kepada Usamah ialah Zaid bin Harithah, berasal dari lembah pergunungan An-Najd di selatan Kota Mekah. Pada masa kecilnya, beliau diculik lalu dijual sebagai hamba. Beliau kemudiannya dibeli dan menjadi budak suruhan kepada Khadijah binti Khuwailid.

Zaid kemudiannya dihadiahkan oleh Khadijah kepada Nabi Muhammad S.A.W. sebagai hadiah perkahwinan mereka. Sejak hari itu, Zaid sangat rapat dengan Nabi dan menjadi budak kesayangan Nabi, malah diisytiharkan sebagai anak angkat Nabi. Zaid kemudiannya dibebaskan oleh Nabi menjadi orang yang merdeka.

Zaid bin Haritah kemudian berkahwin dengan seorang wanita berkulit hitam dari Afrika bernama Barakah. Barakah yang juga digelar Ummu Aiman juga adalah seorang hamba yang bertugas untuk ibu-bapa Nabi sendiri, Abdullah dan Aminah. Ummu Aiman menjaga Nabi sejak kematian Aminah sehingga apabila besar, Nabi telah membebaskan Ummu Aiman.

Ummu Aiman dan Zaid bin Haritah terus berkhidmat untuk Nabi Muhammad S.A.W walaupun telah dimerdekakan. Mereka sangat rapat dengan Nabi sebagai pendamping, penjaga dan pengurus keperluan Nabi. Ummu Aiman turut menyertai perang Uhud dan Khaybar untuk berkhidmat kepada Nabi.

Ummu Aiman pada mulanya dikahwinkan dengan seorang Arab dari Bani Khazraj bernama Ubayd bin Zaid. Apabila suaminya enggan memeluk Islam, mereka bercerai. Zaid bin Harithah menyahut tawaran Nabi untuk mengahwini Ummu Aiman. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Usamah, lahir tujuh tahun sebelum hijrah pada tahun 615 M.

USAMAH BIN ZAID MEMINTA KE MEDAN PERANG

Usamah mempunyai keberanian yang tinggi sejak kecil lagi. Pada umur 10 umur tahun, beliau sudah berani meminta izin kepada Nabi Muhammad S.A.W. untuk mengikuti baginda ke Perang Uhud. Permohonannya ditolak oleh Nabi, lalu betapa sedihnya beliau dan pulang kecewa.

Ketika orang-orang Islam berkumpul lagi untuk peperangan Khandaq, Usamah yang ketika itu berumur 15 tahun, sekali lagi berjumpa dan meminta izin Nabi untuk ikut berperang. Dengan berdiri tegap menampakkan tubuhnya yang lebih dewasa, dia berharap dapat turun berperang bersama Nabi. Akhirnya, Nabi pun membenarkan Usamah mengikuti perang khandaq.

Usamah bin Zaid terus mengikuti siri peperangan bersama Nabi Muhammad S.A.W. selepas itu. Dalam perang Hunayn, ketika Tentera Islam sedang berpecah dan lemah, beliau masih tetap di samping Nabi untuk membela dan terus berjuang termasuk Saidina Abbas, Sufyan Ibnu Harith serta enam orang yang lainnya. Sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W berjaya menukarkan kekalahan kepada kemenangan umat Islam dalam perang Hunayn.

PEPERANGAN TERAKHIR SEBELUM KEWAFATAN NABI

Pada Tahun 11 Hijrah, Nabi Muhammad S.A.W. telah menyusun satu serangan ke atas wilayah-wilayah Kristian di utara Tanah Arab untuk melemahkan pengaruh Tentera Bizantin dari Rom Timur. Tentera Bizantin ketika itu telah menguasai Syria dan berkubu di sana.

Dalam perang Mut’ah, Tentera Islam telah mengalami kekalahan melawan Tentera Bizantin yang sangat ramai dan lengkap bersenjata. Tentera Islam serama 3000 orang dikalahkan oleh lebih 10,000 orang Tentera Bizantin. Bapa kepada Usamah, Zaid bin Harithah, turut terkorban dalam peperangan tersebut.

Dalam perang Tabuk pula, Nabi Muhammad S.A.W telah mengumpulkan 30,000 orang tentera Islam untuk berhadapan dengan Tentera Bizantin. Namun, setelah tiada tanda-tanda serangan dari Tentera Bizantin, tentera Islam kembali semula ke Madinah.

Nabi Muhammad S.A.W telah mengarahkan Tentera Islam untuk memasuki daerah Al-Balqa dan Al-Darum di Syria. Ketika orang Islam Madinah membuat persiapan untuk ekspidisi tersebut, telah sampai khabar berkenaan sakit Nabi Muhammad S.A.W yang semakin teruk.

Nabi Muhammad S.A.W telah mengarahkan sahabat-sahabat berpengalaman seperti Abu Bakar, Abu Ubaidah, Umar bin Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqas, Abdurrahman bin Auf dan ramai lagi untuk mengikuti perang tersebut. Satu perkara yang mengejutkan ramai orang ialah perlantikan Usamah bin Zaid yang baru berumur 17 Tahun sebagai Jeneral kepada lebih 3, 000 tentera Islam.

Usamah adalah seorang yang dimuliakan Nabi sebagai pemimpin walaupun ibu-bapanya berasal dari golongan hamba yang dibebaskan. Bapanya bukan dari kalangan bani Quraisy dan ibunya pula berkulit hitam dari Afrika. Ternyata, Nabi tidak memilih mengikut bangsa dan keturunan, malah memilih berdasarkan kelayakan dan kepercayaan.

Image may contain: one or more people and text

Perlantikan Usamah sememangnya menimbulkan penentangan dan persoalan dari ramai orang. Apabila Nabi Muhammad S.A.W bersabda “Telah sampai kepada ku bahawa sebahagian dari kamu telah mempersoalkan kepimpinan Usamah. Demi hidupku, jika mereka mempersoalkan kepimpinannya, dia juga telah mempersoalkan kepimpinan ayahnya (Zaid bin Harithah) sebelum ini. Jika ayahnya layak memimpin, maka dia juga layak memimpin. Berangkatlah Tentera Usamah! Allah melaknat kaum yang menjadikan kuburan Nabi mereka sebagai tempat sujud!”

KEWAFATAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. sangat mengejutkan Usamah bin Zaid dan kumpulan tenteranya. Beberapa hari sebelumnya setelah mendengar keadaan Nabi yang semakin teruk, Usamah berkhemah di Jurf (lebih kurang 160km dari Madinah) dan menangguhkan pergerakan tenteranya. Abu Bakar pulang ke Madinah untuk melihat keadaan Nabi.

Beberapa hari selepas itu, sampailah berita kewafatan Nabi S.A.W. kepada Usamah. Usamah merasa serba salah untuk pulang ke Madinah atau tidak.

Usamah mengarahkan Umar bin Al-Khattab untuk pulang ke Madinah dan berpesan kepadanya “Kembali kepada pengganti Rasulullah dan tanyakan adakah aku patut pulang dengan tentera ini, kerana banyak dari kalangan pemimpin berada di sini. Aku khuatir sekiranya orang musyrik yang menguasai khalifah, ahli bait Rasulullah dan seluruh kaum Muslim”.

Maka Umar bin Al-Khattab pun pulang ke Madinah. Selepas Abu Bakar dibaiahkan sebagai pengganti kepada Rasulullah, Umar menyampaikan pesan Usamah bin Zaid kepada Abu Bakar. Umar turut menyatakan bahawa masih ada golongan Ansar yang meminta Usamah digantikan dengan orang lain yang lebih tua.

Abu Bakar berkata “Walau anjing dan serigala ingin membaham aku, aku tidak sedikit pun akan merubah keputusan Rasulullah S.A.W”. Abu Bakar dan Umar kemudiannya menuju semula ke perkhemahan Usamah. Abu Bakar menegaskan semula kepimpinan Usamah dan mengarahkannya untuk meneruskan misi yang telah diatur oleh Nabi sebelum baginda wafat.

Usamah dan tenteranya pun menuju ke daerah Al-Balqa dan Al-Darum di sempadan Syria dan Palestin. Tentera Usamah berjaya mengalahkan Tentera Bizantin di Al-Balqa dan Al-Darum. Kejayaan Usamah menyelesaikan misinya disambut oleh penduduk Islam Madinah dan membuktikan kepercayaan Rasulullah S.A.W terhadap dirinya sebagai Jeneral Perang Tentera Islam.

KESIMPULAN

1. Nabi Muhammad S.A.W. telah melantik golongan muda sebagai pemimpin untuk menjadi pelapis dan penerus perjuangan Islam.

2. Golongan tua harus membuka ruang dan peluang serta menyokong golongan muda untuk dikehadapankan sebagai pemimpin dalam masyarakat.

3. Sesiapa sahaja yang mempunyai KEMAMPUAN dan DIPERCAYAI layak untuk dinaikkan sebagai pemimpin, tidak kira umurnya ataupun bangsa dan keturunan.

Semoga bermanfaat,

Jabatan Siyasah Sejarah 
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1669809806446824

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: