News!!

Bangkitnya Kerajaan Kristian Di saat Islam Semakin Pincang

Meneruskan misi pembongkaran sejarah yang berkaitan dengan kejatuhan Kerajaan Kekhalifahan Islam, kali ini kami kongsikan artikel mengenai kebangkitan semula negara-negara Kristian. Perhatikan bagaimana putaran roda kehidupan memihak kepada mereka di sebalik rekahan pentadbiran Kerajaan Islam itu sendiri.

SIRI RECONQUISTA – KEBANGKITAN KERAJAAN KRISTIAN DI PORTUGAL DAN SEPANYOL (711 -1492 M)
.

SIRI 1: KEBANGKITAN NEGARA-NEGARA KRISTIAN MENENTANG PEMERINTAHAN ISLAM DI EROPAH 
.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Kerajaan Islam Melaka adalah kerajaan Islam pertama di Tanah Melayu yang dijajah oleh Eropah melalui serangan oleh Portugal pada tahun 1511. Menyelami sejarah di bumi sendiri memberikan kita kefahaman mengenai pengaruh mereka dalam perubahan sosial dan politik terhadap umat Islam di Malaysia.

Penjajahan Portugis di Melaka adalah kesan daripada kebangkitan kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah dan juga kejatuhan kerajaan Islam di sana. Sebelum memasuki kolonialisme di Tanah Melayu, kami akan membincangkan secara ringkas sejarah pembentukan kerajaan Kolonial Eropah yang sangat berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam di Eropah dan Timur Tengah.

Perkembangan Islam di Eropah memberi kesan yang sangat mendalam kepada orang-orang Eropah terutamanya kepada Kerajaan Portugal dan Sepanyol.

KAITAN KERAJAAN PORTUGAL DAN SEPANYOL DENGAN KERAJAAN ISLAM

Image may contain: one or more people and text

Islam memasuki Eropah di semenanjung Iberia dan wilayahnya dikenali juga sebagai Hispania (negara Portugal dan Sepanyol pada hari ini) pada zaman Pemerintahan Khalifah Umayyah sekitar tahun 711 Masihi. Tariq ibnu Ziyad merupakan jeneral Islam ketika itu yang memimpin tentera Islam memasuki semenanjung Iberia melalui Gibraltar.

Tariq ibn Ziyad dibantu oleh seorang Kristian bernama Julian. Julian pada mulanya ialah penguasa Kristian di pelabuhan Ceuta di utara Maghribi. Julian menyimpan dendam kepada Raja Roderic, pemerintah kerajaan Visigoth di Hispania, yang merogol adiknya.

Image may contain: text

Julian telah menemui Tariq dan mengadakan satu rundingan untuk bekerjasama menjatuhkan kerajaan Visigoth di Hispania. Pelabuhan Ceuta turut diserahkan kepada Khalifah Umayyah. Julian telah menunjukkan laluan laut dan memberikan kapal untuk menyeberangi Selat Gibraltar dari Ceuta dan turun di pantai Gibraltar.

Selepas kemenangan pertama di Gibraltar, Tariq ibn Ziyad menuju ke Toledo, pusat pemerintahan kerajaan Visigoth dan menawan wilayah tersebut. Tentera Islam kemudiannya menawan wilayah-wilayah disekitarnya di kawasan selatan semenanjung Iberia di Granada (Al-Hambra), Cordoba, Malaga dan Sevilla. Kawasan selatan Hispania ini disebut Andalusia.

Penguasaan Islam mencapai ke kawasan utara Sepanyol di daerah Catalonia dan daerah Lisbon di Portugal. Kerajaan Kristian bertahan di kawasan utara Sepanyol di Pamplona, di bawah kerajaan Navarre dan kawasan utara Portugal di Leon dan Galicia.

RECONQUISTA – TINDAK BALAS EROPAH TERHADAP KERAJAAN ISLAM

Selepas beberapa tahun kemasukan Islam di Semenanjung Iberia, kerajaan Kristian Eropah melakukan serangan balas untuk mengambil alih semula wilayah mereka.

No automatic alt text available.

Pada tahun 722 Masihi, sekumpulan tentera Kristian berjaya mengalahkan tentera Islam di kawasan utara Hispania dan membentuk Kerajaan Kristian Asturia. Penentangan ini dikatakan bermula apabila gabenor Islam ketika itu mengenakan cukai yang amat tinggi.

Kemenangan ini mencetuskan zaman ‘Reconquista’ atau maksudnya ‘penaklukan semula’ yang berlanjutan sehingga tahun 1492 Masihi.

Kerajaan Asturia terus bertahan dan berkembang di kawasan utara selama beberapa ratus tahun. Pada tahun 920 Masihi, ibu kota kerajaan Asturia berpindah dari Oviedo ke Leon dan kemudiaannya dikenali sebagai Kerajaan Leon.

‘CHRONICA PROPHETICA’ – KESEDARAN PERJUANGAN AGAMA

Sekitar tahun 883 Masihi di Oviedo, seorang paderi bernama Christian telah mengeluarkan penulisannya ‘Chronica Prophetica’ berkenaan hal-ehwal pertembungan dua agama Kristian dan Islam di Hispania. Di dalam buku tersebut turut dimuatkan dengan sejarah Nabi Muhammad – ‘Storia de Mameth’.

Christian turut menegaskan kepentingan untuk menghalau keluar Islam dari semenanjung Iberia. Dia mengeluarkan ramalan-ramalan yang menggambarkan kemenangan Kristian ke atas Islam di Hispania.

Masyarakat Kristian di Iberia ketika itu dibangkitkan semula melalui sejarah penguasaan Kristian di Iberia sebelum kedatangan Islam. Sekitar tahun 500 – 700 Masihi, Hispania merupakan sebuah wilayah Kristian Katolik yang luas di semenanjung Iberia dikuasai oleh kerajaan Visigoth.

PERGOLAKAN DI WILAYAH ISLAM ZARAGOZA

Kekhalifahan Umayyah yang berpusat di Damsyik jatuh pada tahun 750 Masihi, diambil-alih oleh Kekhalifahan Abbasiyah. Kerajaan Umayyah terus kekal bertahan di Cordoba, Sepanyol. Wilayah-wilayah Islam turut berpecah mengikut pendirian masing-masing untuk menyokong kerajaan Umayyah ataupun Abbasiyah.

Image may contain: 1 person, beard and text

Sulaiman al-Arabi adalah salah seorang Gabenor Islam di Barcelona dan Girona yang menyatakan kesetiaan kepada Khalifah Abbasiyah. Perpecahan mula berlaku apabila Sulaiman Al-Arabi menghantar utusan menghadap Charlemagne (768-814 M), pemerintah dari Kerajaan Raja-Raja Frank untuk meminta bantuan ketenteraan memerangi Abdul Rahman I, pemerintah Umayyah di Cordoba.

Charlemagne ketika itu adalah penguasa di kawasan Eropah Barat (kawasan selatan Perancis sehingga ke Jerman dan Belanda hari ini). Charlemagne menjalin hubungan baik dengan kerajaan Abbasiyah dengan menghantar duta-dutanya ke Baghdad dan menjalinkan perhubungan perniagaan.

Sulayman Al-Arabi bersama Charlemagne menuju ke Zaragoza dengan harapan untuk bergabung dengan Gabenor Zaragoza ketika itu, Hossain ibnu Yahia al-Ansari menentang kerajaan Umayyah di Cordoba. Walaupun Hossain memihak kepada Abbasiyah tetapi, Hossain enggan bekerjasama dengan Charlemagne lalu perang tercetus antara kedua pihak.

Hossain Ibnu Yahia berjaya bertahan di Zaragoza sementara Sulaiman Al-Arabi menerima kekalahan teruk. Charlemagne berundur dari Zaragoza dengan membawa baki tentera Muslim dan Sulayman Al-Arabi sebagai tawanannya. Wilayah Barcelona sendiri jatuh ke tangan kerajaan Kristian pada 801 Masihi.

Kumpulan-kumpulan pemberontak muncul di wilayah-wilayah lain di Andalusia. Sementara sebahagian wilayah lain menjalankan pemerintahan sendiri.

RUMUSAN SIRI 1:

* Penaklukan Islam ke Eropah bermula dengan siri peperangan yang dimulakan oleh Tariq Ibn Ziyad. Penaklukan ini menimbulkan DENDAM YANG PANJANG di antara orang Kristian Hispania dengan penakluk Islam.

* Tindakan Raja Roderic membawa padah kepada seluruh kerajaannya di Hispania. Kerosakan dilakukan oleh pemerintah sememangnya membawa kejatuhan sesuatu kerajaan.

* Kemenangan pertama Kerajaan Kristian pada 722 Masihi memberi semangat baru dan keyakinan untuk mengalahkan Islam.

* Pihak Gereja dan Paderi Kristian menggunakan elemen SEMANGAT AGAMA DAN SEJARAH untuk menaikkan kembali kobaran perjuangan di Hispania.

* Pemimpin Islam sendiri BEKERJASAMA dengan orang Kristian untuk menyerang wilayah Islam yang lain.

* Islam dipecahkan melalui pemerintahan mengikut KETURUNAN iaitu antara Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah. Corak yang sama berlaku dalam kebanyakan kerajaan-kerajaan Islam selepas itu.

(Bersambung Siri ke-2)
.

Semoga bermanfaat.

 

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: