News!!

Bagaimanakah Strategi Portugis Menakluk Melaka?

Pelbagai teori yang mengaitkan bagaimana Kota Melaka bisa tersungkur di tangan pihak Portugis. Namun antara faktor yang merosakkan benteng pertahanan kota Melaka adalah akibat GEJALA KORUPSI. Semoga penggalian kami serta penemuan dari kajian sahabat-sahabat pena dapat merungkai sejarah sebenar yang masih menjadi tanda tanya. Kami kongsikan ringkasan analisis untuk bacaan mudah pembaca dan semoga bermanfaat.

ANALISIS STRATEGI PORTUGIS MENAKLUK MELAKA

1. Selepas menjarah Ormuz, Afonso de Albuquerque mendapatkan banyak senjata api dan meriam sebagai ufti daripada Kerajaan Hormuz.

2. Berusaha menakluk Goa dan memecahkan perpaduan di Lautan Hindia, seterusnya bersekutu dengan Vijayanagar, Malabar dan Gujarat (hipotesis saya) selepas Perang Diu dengan Mamluk dan Kesultanan / Kerajaan2 di India.

3. Mengetahui strategi pertahanan Melaka yang dipenuhi dengan meriam dan lela, di sepanjang kubu pertahanan Melaka. diberitakan sebanyak 2000-3000 artileri yang wujud di situ.

4. Namun, persenjataan dan pertahanan Melaka dikuasai oleh 20,000 tentera upahan daripada Jawa, Gujarat dan sebagainya.

5. Berusaha menyogok tentera-tentera upahan untuk meninggalkan pos kawalan masing-masing. Taktiknya berjaya apabila tentera-tentera upahan di bawah Utimurtiraja tidak berusaha bersungguh-sungguh, malahan membantu Portugis memenangi Kota dan pasar Melaka

6. Memperolehi kemenangan moral dengan menggelarkan diri sebagai ‘raja bagi semua nagivasi’. Moral pasukan Portugis lebih memuncak apabila berjaya memaksa Sultan membebaskan tahanan-tahanan portugis dalam perang pertama 1509 dan tetap bertindak membakar kapal2 dagang dan 4 buah bangunan perdagangan di tepi pantai Melaka

7. Mendaratkan tentera di tepi jambatan dan berusaha menakluki jambatan. Hanya segelintir tentera anak jati yang berperang menggunakan istinggar, pemuras, keris dan anak panah beracun. Namun, Portugis berjaya menguasai jambatan dan berentap dengan Sultan Ahmad sendiri serta gajahnya di atas jambatan. Gambaran jambatan kayu adalah amat tidak tepat apabila gajah pun boleh berdiri di atas jambatan.

8. Berusaha meletupkan jambatan Sungai Melaka dan memutuskan hubungan antara Kota Melaka (Istana) dan Pasar Melaka. Hubungan antara keduanya terputus.

9. Tentera Portugis berundur semasa matahari jatuh kerana terlalu ampuh pasukan anak jati Melaka bertahan di dalam Kota. Malamnya, tentera-tentera anak jati berhimpun di halaman istana untuk memperdengarkan bacaan Hikayat Ali Hanafiah untuk menaikkan moral pasukannya. Dalam Sejarah melayu, yang terlibat seperti Tun Sura Negara, Tun Indera Segara, Hang Setia, Tun Salleh dan Bendahara Paduka Tuan Lubuk Batu (Bendahara Tepok) yang ada. Nama-nama besar lain seperti Hang Nadim, Hang Isap, Seri Bija Negara tiada disebutkan. Mungkin mereka berada di luar perairan Melaka dalam misi yang berbeza.

10. Sementara semua anak jati berhimpun di halaman istana, tentera-tentera upahan tidak menjalankan tugas. Portugis berjaya melepasi pintu utama Sungai Melaka (Jambatan sebagai pintu, walaupun terputus dua, ia masih tidak dapat dilepasi oleh kapal besar atau galeon perang portugis) dengan menaiki Jong besar Pedagang Cina yang berkomplot dengan pihak Portugis. Naina Chatu sebagai ketua pedagang yang menggantikan Syahbandar Datuk Mendeliar (yang mati dihukum kerana memfitnah Bendahara Seri Maharaja) membuka pintu Kota Sungai Melaka yang membolehkan jong besar itu masuk dengan senyap tanpa dikesan oleh tentera melayu. Jong Cina itu dipenuhkan dengan membawa semua soldadu, meriam dan segala artileri serta beg pasir sebagai kubu sementara Portugis, berkubu di dalam Kota Melaka.

11. Ketumbukan lasykar melayu Melaka terkejut apabila meriam diletupkan dan istinggar ditembak ke seluruh arah Kota dari kubu beg pasir itu pada keesokan paginya. Kesemua tentera upahan telah menghilangkan diri. Tentera melayu Melaka yang terkejut itu tergesa-gesa mengatur serangan balas dan Sultan Ahmad sendiri menaiki gajah terbaik (Jurudemang) dengan Seri Udani dan Tun Ali Hati di belakang gajah menyerang balas, sehingga terkepung pula baginda dek askar Portugis. Lembing Portugis terkena Sultan Ahmad menyebabkan rakyat Melaka lebih dahsyat mengamuk segala ketumbukan Portugis. Fernao Gomes de Lemos berjaya menikam mata gajah dengan lembingnya menyebabkan gajah itu menguak kesakitan. Askar portugis lain melembing punggung gajah dan satu lagi tombak terkena tepat ke Seri Udani, menyebabkan gajah itu jatuh dan Raja Ahmad sendiri jatuh tercampak dari gajah itu. Seri Udani cedera parah, namun berjaya diselamatkan dari maut.

12. Portugis mengundurkan tenteranya dengan jong cina itu ke tengah laut dan berehat selama seminggu. Namun, tiada langsung kapal perang Melaka yang menyerang mereka di tengah lautan? Ini sangat memusykilkan. Dalam tempoh seminggu, banyak pedagang-pedagang yang meminta perlindungan Portugis dan membantu Portugis. Sementara Albuquerque menunggu Melaka menyerah kalah, namun tiada sebarang penyerahan dari pihak Melaka.

13. Pada 24 Ogos 1511, Portugis menyerang kembali Kota Melaka, tetapi didapati Sultan telah berundur. Mereka menjarah Kota Melaka dengan mengecualikan pedagang-pedagang yang memihak kepada mereka. Naina Chatu dilantik sebagai Walikota Melaka atau Syahbandar, sementara Utimurtiraja dihukum bunuh selepas dia dikatakan menjadi agen bermuka dua. Tentera-tentera uoahan mungkin dilantik semula menjaga kota Melaka (kecuali tentera jawa yang pulag selepas Utimurtiraja dihukum bunuh). Portugis merobohkan masjid, kota istana dan permakaman Sultan Melaka, mengambil batunnya untuk dijadikan Kota yang baru, serta menara tinggi yang ampuh, demi menghalang serangan balas. Batu-batu lada yang digunakan untuk membina masjid dan tembok istana semestinya sangat banyak untuk membina kubu tersebut.

Rujukan:

1. Sejarah Melayu Edisi W.G. Shellabear

2. Bailey Wallys Diffie, Foundations of the Portuguese Empire, 1415-1580

Sumber: The Patriots-Nizam GTZ

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: