News!!

Bagaimana Tabiat Ibu Membentuk Emosi Dan Perkembangan Mental Bayi?

Gembira tak terhingga sang suami bila mengetahui isteri tercinta disahkan hamil. Dengan pantas, berusahalah mereka ini mencari kaedah, petua yang terbaik bagaimana untuk memastikan anak yang dikandung bakal dilahirkan sempurna. Dari aspek pemakanan sehinggalah perkembangan minda ibu dijaga dengan rapi. Sebagai rujukan untuk ibu-ibu yang mengandung, ikuti artikel ini untuk kita fahami bagaimana tabiat ibu memberi kesan terhadap pembentukan emosi dan mental bayi.

KAITAN IBU MENGANDUNG & PERTUMBUHAN ANAK : PART 1

Ada 1001 macam petua yang dikongsikan pelbagai pihak untuk dicuba oleh ibu mengandung yang inginkan pertumbuhan terbaik bagi bayinya. Ada petua yang dikhususkan kepada pertumbuhan jasmani. Ada juga petua yang merangsang pertumbuhan otak dan rohani.

Ada yang mampu memberikan penjelasan terperinci bagaimana petua itu terkait dengan hasil yang diharapkan secara mantik atau saintifik. Namun begitu, kebanyakkannya hanya sekadar menyenaraikan sahaja pelbagai petua tanpa sebarang rasional atau penjelasan bagaimana kesan dari perlaksanaannya boleh terhasil. Tidak kurang yang mendapat kesan buruk bagi pengamal yang kurang periksa.

Tidak susah untuk percaya bahawa terdapat banyak kesan langsung dari tabiat ibu mengandung terhadap pertumbuhan jasmani bayi. Namun tidak begitu halnya terhadap pertumbuhan mental dan emosi. Ada yang percaya dan tidak kurang yang menafikan adanya kesan dari tabiat ibu terhadap emosi dan pertumbuhan mental bayi.

Secara peribadi saya setuju dengan pendapat yang mengatakan ada kesan langsung dan tidak langsung dari habit ibu mengandung terhadap kedua-dua pertumbuhan jasmani dan rohani bayi.

Dalam siri ini saya hanya sentuh rangka sasaran untuk sebarang petua yang terkait dengan pertumbuhan bayi secara umum dahulu. Dalam siri akan datang akan saya cuba jelaskan pula satu persatu secara terperinci, InsyaAllah.

Sepertimana yang diketahui umum, banyak perubahan akan berlaku dari segi fizikal dan emosi ibu di sepanjang kehamilan. Di samping asbab perubahan fizikal yang menyulitkan, turun naiknya paras hormon juga banyak mempengaruhi tabiat dan emosi ibu.

Selain dari amalan pemakanan dan gerakan fizikal, emosi dan aktiviti mental ibu semasa kehamilan juga akan turut memberi kesan secara langsung dan tidak langsung terhadap pertumbuhan mental bayi.

Secara umumnya, apa sahaja petua yang ingin diamalkan oleh ibu mengandung dan terkait dengan perkembangan bayi mestilah menjurus kepada matlamat berikut,

1. Mendapatkan gizi makanan yang cukup dan sesuai untuk perkembangan jasmani bayi, khususnya pertumbuhan otak, tulang, darah dan sebagainya.

2. Mengelakkan pengambilan ubat-ubatan mahupun pelbagai vitamin dan makanan tambahan yang banyak dijual di pasaran tanpa ilmu yang pasti. Sebaiknya dapatkan nasihat dari doktor atau merujuk kepada pakar pemakanan terlebih dahulu kerana tersalah makan maka buruk padahnya.

3. Melakukan gerak tubuh yang mencukupi untuk melancarkan peredaran darah dan mengurangkan masalah Diabetes Gestasi (Kencing Manis ibu hamil).

4. Mendapatkan rehat yang cukup pada waktu yang sesuai untuk mengurangkan stress berlebihan pada tubuh ibu. Namun begitu, ibu hamil juga tidak boleh bermalas-malasan.

5. Berusaha mendapatkan ketenangan emosi.

6. Mengelakkan diri dari sebarang perkara yang boleh menimbulkan tekanan (stress) yang berlebihan.

7. Banyakkan amalan bermeditasi (bertafakur) dan menambahkan ilmu, termasuk ilmu kerohanian, matamatik dan apa sahaja yang boleh memberi kekuatan minda pada ibu untuk merangsang pertumbuhan otak bayi.

InsyaALLAH akan saya cuba kupaskan lagi semua yang di atas bersama contoh-contoh petua terkait yang perlu diamalkan, termasuk dengan penjelasannya secara terperinci.

Semuga bermanafaat,

Dr Hj. Masjuki Mohd 

Sumber: https://www.facebook.com/DrMasjuki/posts/1386127221491624

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: