News!!

Atas Nama Perang Salib, Wilayah Kekuasaan Islam Jatuh Satu Persatu

Meneruskan siri perkongsian mengenai kejatuhan wilayah kekuasaan Islam di Eropah, kami paparkan kepada anda bagaimana Kerajaan Kristian meneruskan misinya menakluki kerajaan Islam satu persatu. Kehebatan mereka yang tidak mahu mengaku kalah serta sentimen “Keagamaan” yang kuat telah berjaya menjadikan mereka lebih berkuasa.

RECONQUISTA – SIRI 8: KONFLIK PEPERANGAN ISLAM-KRISTIAN DI ANDALUSIA 

 

Sehingga Tahun 1450, Bandar Granada merupakan bandar yang paling sibuk dan padat di Semenanjung Iberia. Emiriah Granada di Andalusia telah bertahan lebih 200 tahun dan kekayaannya banyak dibantu oleh kedudukan strategik Pelabuhan Gibraltar sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Bandar Granada menjadi pusat perkumpulan pedagang Islam dari Afrika Utara dan orang-orang Eropah. Pusat-pusat kewangan dan perniagaan berkembang pesat di Granada di samping menjadi pusat pendidikan dan kebudayaan Islam. Granada turut menjadi pusat perlindungan orang Islam yang lari dari kerajaan Kristian Eropah di Andalusia.

Sehingga abad ke 13, kerajaan-kerajaan Eropah di Semenanjung Iberia masih berpecah. Kerajaan-kerajaan utama di Semenanjung Iberia ketika itu ialah Kerajaan Portugal di pantai Barat, Kerajaan Castilla di tengah, Kerajaan Aragon di pantai Timur, serta Kerajaan Leon, Galicia dan Navarre di Utara.

Kerajaan-kerajaan ini terlibat dalam perang sesama sendiri untuk mempertahankan sempadan di samping meluaskan kawasan kerajaan mereka. Mereka turut bersaing untuk merebut wilayah-wilayah Islam yang telah kalah dalam peperangan. Setelah kejatuhan Taifah Qurtubah (Cordoba) pada 1236, wilayah Islam yang tinggal selain Emiriah Granada ialah Sevilla, Jaen, Murcia dan Valencia.

PERKEMBANGAN KERAJAAN CASTILLA DAN ARAGON

Kerajaan Castilla, Leon dan Galicia bergabung pada 1230 M di bawah kerajaan Castilla, juga dikenali ‘Mahkota Castilla’. Raja Ferdinand III dari Castilla menduduki takhta Kerajaan Leon dan Galicia yang tiada pewaris.
Penyatuan dalam Kerajaan Castilla membawa kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada kerajaan itu. Setelah menjatuhkan Taifah Cordoba pada 1236 M, kerajaan ini terus menguasai wilayah Islam di Jaen pada 1246 dan wilayah Islam Sevilla pada 1248.

No automatic alt text available.

Wilayah Islam Murcia diletakkan di bawah naungan Kerajaan Castilla pada Tahun 1243. Umat Islam dibenarkan menguasai Murcia tetapi membayar cukai kepada Raja Ferdinand III. Kerajaan Castilla memasukkan ramai penduduk Kristian ke Murcia sehingga penduduk Islam Murcia merasa terancam.

Penduduk Islam Murcia akhirnya melakukan pemberontakan pada 1264 untuk membebaskan Murcia dari penguasaan kerajaan Castilla. Pada 1266, Raja James I dari Kerajaan Aragon telah memasuki Murcia dan mengalahkan pemberontak Islam. Raja James I berniat membantu Raja Alfonso X, pengganti Raja Ferdinand III dari Castilla.

Sebelum itu, Raja James I telah menakluk wilayah Islam Valencia pada 1238. Lebih 50,000 orang Islam telah dihalau keluar dari Valencia dan yang tinggal dipaksa memeluk Kristian. Orang-orang Islam yang menjadi Kristian ini dikenali sebagai Moriskos. Walaupun mengaku Kristian, orang Moriskos masih mengamalkan Islam secara senyap dan terlibat dalam pemberontakan.

Raja James I menjatuhkan pemberontakan di Murcia kerana takut ia akan merebak ke Valencia. Tiada penghalauan dibuat dan pemimpin tempatan Islam masih dikekalkan. Akibat pertambahan populasi orang Kristian dan keselamatan yang terancam, orang Islam terpaksa berpindah keluar dari Murcia sama ada ke Granada atau Afrika Utara.

CAMPUR TANGAN KERAJAAN ISLAM AL-MARINIYYUN DARI AFRIKA UTARA

Sepanjang Abad ke 14 sehingga ke 15, Emiriah Granada terlibat dalam banyak peperangan dengan Kerajaan Kristian dari Castilla, Portugal dan Aragon. Kerajaan Castilla yang diketuai oleh Alfonso XI telah mengisytiharkan Perang Salib ke atas Emiriah Granada pada tahun 1325. Kemasukan ramai orang Islam dari Afrika Utara telah menimbulkan kebimbangan kepada orang-orang Kristian.

Alfonso XI dibantu oleh tentera dari kerajaan Portugal dan Scotland. Atas seruan Perang Salib, Sir James Douglas dari Scotland telah dihantar oleh Raja Scotland untuk membantu Alfonso XI. Raja Portugal pula telah menghantar 500 Kesatria berkuda untuk peperangan itu.

Sultan Muhammad IV dari Granada telah dibantu oleh tentera dari kerajaan Islam Al-Mariniyyun dari Afrika Utara. Setelah kejatuhan Kerajaan Islam Al-Muwahidun di Maghribi, Sultan Abdul Haqq I dari Bani Marin telah menguasai Maghribi dan wilayahnya pada tahun 1215.

Kerajaan Islam Al-Mariniyyun telah membantu Emiriah Granada sejak 1260 untuk berhadapan dengan kerajaan Castilla dan mempertahankan Selat Gibraltar sebagai laluan perdagangan dan ekonomi orang Islam.

Untuk menghadapi tentera Alfonso XI, Sultan Muhammad IV telah mengumpulkan tentera Islam seramai 6000 orang. Raja Alfonso XI memulakan serangan ke atas Malaga dari Cordoba. Sehingga 1327, Alfonso XI telah menawan istana di Olvera, Pruna dan Torre Alhaquime. Pada tahun 1330, Alfonso XI telah mengalahkan kubu Islam di Teba. Melalui Teba, Pelabuhan Gibraltar berjaya dikuasai oleh tentera Kristian.

PEPERANGAN TERAKHIR AL-MARINIYYUN DALAM PERANG RIO SALADO.

Siri peperangan pertama di Teba merupakan kekalahan besar kepada tentera Islam. Sultan Muhammad IV menyusun semula tenteranya dan Kerajaan Al-Mariniyyun menambah bantuan ketenteraan. Tentera Islam menyerang semula dan berjaya menawan Gibraltar pada 1333.

Pada musim sejuk tahun 1340, tentera Islam Granada dan Al-Mariniyyun bergerak menuju ke wilayah bersebelahan Gibraltar iaitu Tarifa untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Gibraltar. Tentera Islam bertembung dengan Tentera Kristian di Sungai El Salado (Rio Salado).

Dalam pusingan pertama, 100 kapal perang Islam telah mengalahkan 32 buah kapal tentera Kristian. Hanya 5 buah kapal tentera Kristian berjaya berundur dan ketua tentera Kristian, Admiral Toreno berjaya dbunuh.

Dalam perang seterusnya, Tentera Islam yang diketuai oleh Abu Hassan dari Afrika Utara melakukan kesilapan besar apabila menyangka Tentera Kristian mengambil masa yang lama untuk mengumpul semula tentera mereka. Hanya 12 buah kapal ditinggal untuk berkubu di pesisir pantai Tarifa.

Image may contain: one or more people and text

Alfonso IX telah mendapatkan pertolongan dari Kerajaan Portugal dan Aragon untuk menambah sebanyak 15 kapal perang. Alfonso IX sendiri menyiapkan 27 buah kapal secepat mungkin untuk menyerang semula dengan segera. Dengan 42 buah kapal perang, Tentera Kristian kembali semula ke Tarifa hanya selepas 2 bulan dan mengalahkan tentera Islam yang sedikit.

Image may contain: one or more people and text

Tentera Islam menerima kekalahan yang teruk dan tentera Al-Mariniyyun terpaksa berundur ke Maghribi. Tentera Islam Granada tidak lagi mendapat pertolongan dari Kerajaan Al-Mariniyyun setelah tentera Kristian menguatkan kubu di Selat Gibraltar.

PENAWANAN PELABUHAN CEUTA DI MAGHRIBI – PERMULAAN ZAMAN PENJAJAHAN

Kerajaan Kristian terus menyerang kerajaan Islam untuk menguasai pelabuhan utama Islam di Gibraltar dan Ceuta untuk menguasai Selat Gibraltar secara total. Pelabuhan Gibraltar masih dikuasai oleh Emiriah Granada dan Pelabuhan Ceuta pula di dikuasai oleh Al-Mariniyyun.
.

Pada 21 Ogos 1415, John I of Portugal telah mengetuai sepasukan tentera untuk merentasi Selat Gibraltar dari Tarifa dan mendarat di pantai Playa San Amaro, Ceuta. Kumpulan tentera Portugal seramai 45,000 orang dengan 200 kapal perang telah menyerang Ceuta dengan mengejut.

Image may contain: one or more people and text

Pelabuhan Ceuta tewas dalam masa satu hari di tangan Portugis. Penawanan Ceuta merupakan permulaan bagi penjajahan negara Eropah di benua luar Eropah.

Portugal tidak dapat membangunkan Ceuta kerana pedagang-pedagang Islam dari Afrika Utara tidak lagi mendatangi Ceuta. Dari Ceuta, Portugal mula menjajah wilayah-wilayah di Afrika Utara untuk mengaut hasil bumi dan kekayaan orang Islam.

Ceuta hanya dapat dibangunkan setelah kejatuhan Emiriah Granada pada 1492 apabila orang Kristian Sepanyol mula menduduki Ceuta. Ceuta kekal di tangan Portugal sehingga 1668 apabila Ceuta diserahkan kepada Sepanyol. Sepanyol menguasai Ceuta sehingga hari ini.

KESIMPULAN SIRI 8: 

– Kerajaan Islam yang kecil di Semenanjung Iberia menunggu masa untuk diserang dan dijatuhkan oleh kerajaan Kristian yang lebih kuat.

– Walaupun dengan bantuan dari Afrika Utara, kerajaan Kristian Castilla masih tidak dapat dikalahkan. Keadaan Umat Islam Andalusia semakin lemah dan tertekan.

– Kerajaan Kristian yang luas di Semenanjung Iberia membolehkan tentera Kristian yang ramai dikumpulkan dengan cepat. Dengan kemahiran dan kekayaan sumber, pembuatan senjata dan peralatan perang yang lebih baik dapat disiapkan dengan segera.

– Pelbagai perjanjian keamanan telah dibuat dan cukai turut dibayar kepada kerajaan Kristian untuk menjamin keamanan wilayah Islam, tetapi kerana dendam dan ketamakan kuasa, kerajaan Kristian tetap menyerang wilayah Islam.

– Perang Salib dijadikan alasan untuk peperangan dan mendapatkan sokongan dari pejuang tentera Salib. Tujuan sebenar adalah penguasaan laluan ekonomi dan pelabuhan perdagangan yang kaya di Selat Gibraltar.

Semoga bermanfaat,

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

.
****** DIREKTORI******
.
Bagi anda yang baru bersama siri RECONQUISTA, boleh ikuti siri kajian sejarah kami melalui pautan berikut;

SIRI 1: KEBANGKITAN NEGARA-NEGARA KRISTIAN MENENTANG PEMERINTAHAN ISLAM DI EROPAH

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1581332511961221

SIRI 2: KEBANGKITAN KERAJAAN ISLAM ANDALUSIA MENCAPAI KEGEMILANGANNYA

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1588486094579196

SIRI 3: KEJATUHAN KHALIFAH QURTUBAH DAN KEMUNCULAN KERAJAAN ISLAM AL-MUWAHIDUN

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1594677723960033

SIRI 4: PERALIHAN KUASA ISLAM DI ANDALUSIA AKIBAT PEPERANGAN SAUDARA DALAM KERAJAAN ISLAM

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1623730887721383

SIRI 5: PERKEMBANGAN BANGSA TURK DAN TERCETUSNYA PERANG SALIB

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1630576040370201

SIRI 6: PEMBENTUKAN PORTUGAL DAN PEMBEBASANNYA DARI KEKUASAAN ISLAM

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1658880190873119

SIRI 7: KEMEROSOTAN KERAJAAN ISLAM ANDALUSIA

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1671916736236131

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: