News!!

Apakah Kaitan Cerita “Bahtera” di Al-Quran Dengan Pembinaan Negara?

Telah dinukilkan di dalam Al-Quran mengenai kisah yang terkait dengan”Bahtera” untuk dijadikan sebagai pelajaran dalam rangka membina sebuah peradaban. Dari sumber yang tidak boleh disangkal, Allah S.W.T telah menampakkan kisah-kisah dari Nabi-Nabi yang terdahulu sebagai satu strategi  pembangunan agama dalam bentuk yang lebih praktikal. Bacalah perkongsian ini dan sama-sama kita amati mengenai perkembangan politik  dan kemanakah arah tuju “Bahtera” negara kita.

HAKIKAT KARAMNYA FIRAUN DI DALAM LAUTAN (MANUSIA)
.
Membaca al-quran perlu ditadabbur dengan meneliti nama-nama dan kisah yang diceritakan Allah. Ia bukan sekadar satu cerita sejarah tetapi menjadi satu panduan kepada kita bagaimana untuk menjadikannya satu strategi pembangunan agama bersifat praktikal.
.
Mari kita cuba kaji dan fahami apa yang Allah ingin ajarkan kepada kita tentang Bahtera dan Lautan, berdasarkan kisah dari Nabi Nuh a.s, Yunus a.s dan Musa a.s yang disebutkan di dalam Al Quran. Apakah persamaan yang ada pada ketiga-tiga nabi ini yang kita kena tahu dan faham tentang kapal dan laut, dan kaitannya dengan situasi kita pada hari ini?
.
Banyak mesej yang Allah cuba sampaikan dalam kisah-kisah ini sekiranya kita kaji dengan lebih teliti. Adakah selama ini kita faham tentang mesej Allah ini dan apa kaitannya dengan situasi kita sekarang?
.
BINA KAPAL UNTUK SELAMATKAN DIRI DAN KELUARGA
.
Di dalam Al-Quran telah dinampakkan hanya ada dua sistem di dunia iaitu sistem Islam yang lurus dan sistem Taghut (Al-Baqarah, 2:256). Hanya sistem Islam lah yang diterima di sisi Allah (Ali Imran, 3:59).
.
Sebagaimana diperintahkan kepada Nabi Nuh A.S. untuk membina sebuah bahtera yang besar. Diperintahkan kepada Nuh A.S. untuk memulakan bahtera itu dengan orang-orang yang beriman kepada Allah secara berpasangan berdua dan juga ahli-ahli keluarga (Surah Hud, 11:40).
.
Nabi Nuh A.S. telah pun diberi wahyu dan petunjuk bagaimana untuk membina bahtera itu (Surah Hud, 11:37). Malah, bahtera itu dibina di tengah-tengah daratan sehingga sentiasa diejek dan dihina oleh masyarakat ketika itu (Surah Hud, 11:38).
.
Begitulah juga umat Islam di zaman ini perlu membina bahtera untuk menghadapi ‘Lautan’ ancaman keduniaan dan dimulakan dengan diri, pasangan serta ahli keluarga terutamanya anak-anak.
.
Bahtera itu perlu dibina sendiri dengan berdasarkan wahyu Allah. Rasulullah saw telah pun mewariskan kepada kita semua wahyu yang diterimanya di dalam Al-Quran sebagai panduan untuk membina bahtera di zaman ini.
.
Bahtera pada zaman dahulu melambangkan kekuasaan sesebuah kerajaan yang mampu menjelajah ke setiap benua melalui jalan laut, di mana siapa yang menguasai jalan laut dialah yang menguasai dunia, ini juga berlaku semasa penjajahan nusantara oleh syarikat Hindia Timur ketika itu.
.
Bagi kita sebagai insan yang berpegang kepada Al Quran dan Sunnah, bahtera melambangkan KUASA dan juga kebesaran Allah yang mampu menundukkan langit dan bumi berdasarkan kaedah dan teknik yang menjadikan sesebuah bahtera mampu mengharungi lautan dengan angin dan ombak di dalam mengharungi kehidupan kita di dunia.
.
PERISTIWA NABI YUNUS A.S. DIBUANG KAPAL
.
Telah dijelaskan dua buah kisah berkaitan Nabi Nuh A.S. dan Nabi Musa A.S. Sebuah lagi kisah diceritakan di dalam Al-Quran ialah kisah Nabi Yunus dibuang dari kapal.
.
Dalam Surah As-Saffat, Nabi Yunus telah melarikan diri dan menaiki sebuah kapal yang penuh dengan muatan (Surah As-Saffat, 37:140). Kebetulan, sistem pengundian telah diamalkan di dalam kapal tersebut sehingga Nabi Yunus A.S. dengan terpaksa telah terlibat dalam sistem tersebut (Surah As-Saffat, 37:141).
.
Dengan majoriti mudah, orang-orang di dalam kapal telah menang dan Nabi Yunus A.S. telah dipaksa keluar dari kapal. Baginda tercampak keluar lalu ditelan ikan yang besar (Surah As-Saffat, 37:142).
.
Demikianlah kisah Nabi Yunus A.S. yang menumpang di bahtera orang, tidak mampu melaksanakan sistem Allah dan terpaksa mengikut sistem undian yang dijalankan. Nabi Yunus A.S. kalah dengan kebatilan kerana tidak mempunyai majoriti.
.
Berbeza dengan kisah Nabi Nuh, baginda merupakan golongan minoriti yang sedikit tetapi baginda berkuasa di atas kapalnya untuk melaksanakan sistem Allah tanpa campur tangan orang lain.
.
Nabi Yunus A.S. akhirnya ditelan ikan yang besar. Di dalam perut ikan, Nabi Yunus A.S. tidak mampu berbuat apa-apa, hanya mengikut hala tuju ikan yang membawanya. Begitulah juga pemimpin Islam yang terbelenggu dalam sistem yang batil, mereka tidak mampu keluar dan terpaksa mengikut arus.
.
Nabi Yunus A.S. akhirnya tercampak di tanah yang gersang dalam keadaan sakit (Surah As-Saffat, 37:145). Hanya pohon labu yang dapat ditumbuhkan untuknya (Surah As-Saffat, 37:146).
.
Begitu juga pemimpin Islam hari ini, mereka tidak mampu memilih tanah untuk mereka kuasai. Mereka hanya terikat dengan tanah mana yang dikuasai secara undi nasib tadi. Sangat sukar dan sakit untuk mereka hidup di tanah itu.
.
Pohon Islam yang tumbuh hanyalah ibarat labu yang tumbuh menjalar, akarnya tidak mencengkam bumi dan pucuknya tidak menjulang ke langit. Pohonnya tidak mampu memayungi manusia yang kepanasan.
.
PELAJARAN DAN HIKMAH
.
Allah SWT. telah banyak memberikan pelbagai misalan dan perumpamaan di dalam Al-Quran untuk kita mengambil pelajaran. Melalui kisah Nabi-Nabi di atas, satu pelajaran besar untuk kita bagaimana sebuah bahtera perlu dibina untuk menyelamatkan kita dari ancaman dunia.
.
Allah SWT berfirman:
.
وَنُرِيْدُ اَنْ نَّمُنَّ عَلَى الَّذِيْنَ اسْتُضْعِفُوْا فِى الْاَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ اَئِمَّةً وَّنَجْعَلَهُمُ الْوٰرِثِيْنَ
.
“Dan Kami hendak berikan keamanan ke atas orang yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi .” (QS. Al-Qasas 28: Ayat 5)
.
3 perkara pokok yang perlu kita tahu tentang kisah kapal dan lautan dalam al-Quran ialah:
.
1. Nabi Nuh – BINA SENDIRI kapal dalam misi menyelamatkan umat manusia. Dengan petunjuk Allah berkuasa untuk tetapkan siapa yang layak duduk di atas kapalnya, walaupun yang menumpang di atas kapalnya sepasang babi. Nabi Nuh berani meninggalkan anak isterinya sendiri kerana degilnya mereka hingga sanggup membuang perintah Allah dan Rasul.
.
2. Nabi Yunus – Lari daripada tanggungjawab membawa petunjuk Allah kepada umatnya sehingga MENUMPANG kapal orang lain (sistem lain), lalu nasibnya ditentukan oleh pengatur kapal yang berkuasa untuk menentukan siapa yang layak duduk di atas kapalnya. Akhirnya beliau terpaksa mengundi nasib sehingga kena buang dan dicampak keluar dari kapal. Walaupun beliau seorang nabi yang membawa risalah Allah tetapi Nabi Yunus langsung tidak berkuasa di atas kapal (sistem) manusia lain.
.
3. Nabi Musa – Diperintahkan untuk mempelajari ilmu laduni dengan seorang hamba Allah yang diberi petunjuk dan ilmu. Diajar strategi BOCOR KAPAL oleh Nabi Khidir sebagai satu cara bagaimana untuk mengelakkan manusia dikuasai oleh pemerintah yang zalim.
.
Bahtera Islam perlu dikuasai oleh pemerintah dan ulama’ Islam supaya sistem Islam dapat dijalankan dengan sempurna. Nabi Yunus A.S. dizalimi dengan sistem undi sehingga terpaksa keluar kapal, ditelan ikan besar lalu tercampak di tanah tandus.
.
Digambarkan di dalam Surah As-Saffat – 37:146, bahawa Nabi Yunus turut diberikan 100,000 orang atau lebih. Memang ramai pengikutnya tetapi sayang, pokoknya hanya labu yang tidak kuat, tidak seperti pokok yang baik digambarkan dalam Surah Ibrahim – 14:24.
.
Maka dalam bahtera yang lemah seperti perahu, jangan takut untuk dibocorkan seperti diajarkan oleh Nabi Khidir A.S. Bina semula bahtera yang kuat seperti Nabi Nuh A.S. berdasarkan ilmu wahyu yang sebenar dan sempurna berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
.
STRATEGI BOCOR KAPAL TAKTIK UNTUK MENJATUH PEMIMPIN YANG ZALIM
.
Sesungguhnya Firaun adalah gambaran seorang penguasa yang berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka. Dengan kuasa yang dia ada menggunakannya untuk menyembelih anak lelaki (suara kebangkitan rakyat yang mahu menentang kezaliman Firaun) dan membiarkan hidup anak-anak perempuan (hanya membiarkan yang lemah dan golongan yang tidak mampu bersuara sahaja). Kiranya kaki ampu dan bodek sahajalah yang boleh hidup dan cari makan. Siapa yang lantang bersuara akan dihimpit dan ditekan supaya tidak mampu untuk menegakkan keadilan. (Surah 28/4)
.
Bagi mereka yang membina bahtera berdasarkan petunjuk Allah mampu menentukan kekuasaan di atas bahtera itu milik mutlak Allah, berbeza mereka yang menumpang bahtera yang di bina selain daripada petunjuk Allah, tidak mampu menjadikan Allah berkuasa seperti mana yang berlaku pada Nabi Yunus a.s, begitu jugalah yang diajarkan Nabi Khidir apabila melihat pemimpin yang zalim perlulah kita membocorkan bahtera itu supaya kezaliman tak mampu menguasai kita.
.
Itulah yang telah dirakamkan Allah di dalam al-quran bagaimana kejayaan Nabi Musa melemaskan Firaun sehingga ditelan laut. Apabila sistem manusia dikalahkan dengan petunjuk Allah sehingga manusia mampu bangkit dan menenggelamkan pemimpin yang zalim.
.
Selagi sistem pengaturan yang menguasai sesebuah bahtera itu bukan dari Allah kita akan melihat kezaliman dan kerosakan moral manusia sepertimana yang dilalui Nabi Yunus a.s dicampak ke lautan lalu ditelan ikan besar, tinggallah kita di dalam kegelapan sehingga kita dimuntahkan di dataran yang kering dan tandus kemudian diberikan pokok labu, satu perumpamaan pokok yang tak mampu memberi naungan kepada manusia. (Surah Ibrahim 14/26)
.
Berbeza pula dengan Nabi Musa a.s yang membocorkan bahtera tadi mampu membelah lautan (umat manusia) kepada dua dan ianya akan menengelamkan Firaun bersama pengikutnya. Semua pengikut yang bersama-sama si Firaun yang telah berkomplot dan menyokong kleptokrasinya diseret bersama-sama, lemas dan tenggelam di dalam kebangkitan umat.
.
Habis segala kerosakan dan kezaliman mereka dimuntahkan semula, kebenaran yang disembunyikan dibangkitkan lalu membongkar segala salah laku mereka. Itulah yang berlaku kepada para pengikut Firaun.
.
KESIMPULAN
.
Bahtera Islam perlu dikuasai oleh pemerintah dan ulama’ Islam supaya sistem Islam dapat dijalankan dengan sempurna. Nabi Yunus A.S. dizalimi dengan sistem undi sehingga terpaksa keluar kapal, ditelan ikan besar lalu tercampak di tanah tandus.
.
Dirakamkan di dalam Surah As-Saffat – 37:146, bahawa Nabi Yunus turut diberikan 100,000 orang atau lebih. Memang ramai pengikut beliau tetapi sayang, Allah gambarkan bagaimana sakitnya beliau untuk membawa umat yang sudah rosak dengan sistem yang tidak kukuh akarnya, senang dicabut dan dirosakkan manusia. Surah Ibrahim – 14:24.
.
Ikutilah Nabi Nuh yang mampu membina dan melabuhkan bahtera berdasarkan petunjuk Allah. Tidak bergantung pada kata-kata manusia yang menuduhnya gila walaupun ditentang oleh ahli keluarga sendiri. Yakinnya baginda dengan sistem Allah melebihi yang lain.
.
Di dalam surah Attaubah Allah perintahkan agar kita bina masjid sendiri dari hari pertama dengan asas TAQWA. Bukan menumpang masjid yang dibina oleh orang munafiq. Ikutlah sistem Allah dari hari pertama, bukan kita memilih untuk ikut sistem yang dicipta oleh manusia. (Attaubah 9/108)
.
Walaupun akhirnya umat yang mengikut Nabi Nuh hanyalah berjumlah 80 orang sahaja berbanding seratus ribu umat Nabi Yunus, tetapi bukan kuantiti (majoriti) yang dikehendaki Allah tetapi adalah umat yang berkualiti (solidariti) di dalam menegakkan sistem Allah.
.
Nabi Nuh A.S. tidak memerlukan majoriti untuk menang dan berkuasa di atas bahteranya. Cukup dia mengumpulkan orang yang beriman dan sabar lalu membantunya menyiapkan bahtera yang kuat lagi kukuh. Biarpun sedikit, umat Islam yang beriman dan sabar mampu mengalahkan yang ramai (Surah Al-Anfal, 8:65).
.
Lihat sendiri bagaimana orang-orang yang ditenggelami lautan seperti isteri dan anak Nabi Nuh A.S. Begitu juga dengan kaum Nabi Lut dan juga Firaun serta konco-konconya. Itu semua gambaran orang-orang yang ingkar dengan sistem Allah, hanya kebinasaan yang menunggu mereka.

Allah SWT berfirman:

كَذٰلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ اَنْۢبَآءِ مَا قَدْ سَبَقَ ۚ وَقَدْ اٰتَيْنٰكَ مِنْ لَّدُنَّا ذِكْرًا

“Demikianlah Kami ceritakan kepadamu, sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami peringatan.” (QS. Ta-Ha 20: Ayat 99)

Share dan sebarkan supaya lebih ramai orang dapat belajar seni mentadabbur ayat-ayat Allah dari kisah-kisah para Nabi terdahulu.

Semoga bermanfaat,

Jabatan Siasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Sumber: https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1766651950095942

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: