News!!

Apabila Manuskrip Kita Setaraf Surat Khabar Lama

Tersentuh dengan artikel menarik ini kami kongsikan bagaimana khazanah Melayu yang dipersia-siakan oleh kita sendiri. Kesedaran untuk merungkai kembali zaman kegemilangan Bangsa Melayu Islam perlu dikemaskan lagi. Perlukah usahasama secara lebih agresif dimulakan agar kita dapat keluar dari jajahan minda yang selama ini terus menjarakkan anak muda kita kepada asal usul.?

Mengapa Manuskrip Melayu Berakhir Di Pasar-Pasar Karat?

Perbezaan manuskrip Melayu Petani dan Aceh adalah daripada kekemasan khatnya. Di Aceh penerbitan kitab atau risalah menjadi suatu industri yang dijalankan secara besar-besaran menyebabkan ‘demand’ produksi yang terlalu tinggi mengurangkan cermatan pengarang. Sesetengah pengarang telah menyertakan tulisan “untuk dijual kepada” membayangkan nilai komersialnya di sana.

Berbeza di Semenanjung naskhah naskhah yang dikarang dibuat kebanyakannya sebegitu cermat khasnya di Petani kerana ia biasanya khas untuk akses patron patron diraja dan bangsawan Melayu.

Seperkara yang menarik minat saya ketika meneliti manuskrip-manuskrip Melayu di suatu institusi di Kuala Lumpur siang tadi adalah dapat mengetahui ‘features’ unik yang boleh diamati padanya.

“Teknologi Melayu adalah pada penghasilan manuskripnya.”

Jelas Dr. Fauzi menerangkan kekuatan orang Melayu yang menjadi kegilaan Raffles dan orientalis Eropah lainnya.

Kita perlu memahami dari sudut pandang indigenis bahawa kekuatan kita bukan terletak pada gahnya monumen-monumen berupa Angkor Wat mahupun Borobudur tetapi pada anjung pemikiran, pada falsafat kerohanian, intelek yang menjadi budi atau psyche orang Melayu selama berkurun lamanya.

Terlopong juga saya apabila mengetahui yang satu keunikan manuskrip Petani yang tidak dapat ditemui pada yang lainnya di Alam Melayu selain bentuk khat dan ragam hiasnya(iluminasi) kami buat pertama kalinya diberitahu bahawa khat Petani adalah satu-satunya yang mempunyai tulisan rubrikasi berwarna ungu. Apabila saya tanya apa material pembuatannya, lagi terlopong apabila dinyatakan ia diambil daripada ekstrak tumbuhan senduduk.

“Raja Ungu.”

Ini nama yang timbul dalam benak fikiran saya dan saudara-saudara pelangi baginda apakah dinamakan bersempena dengan meriahnya industri penghasilan warna celupan di Petani.

Alangkah majunya orang kita sehingga mampu membuat proses penghasilan dakwat yang bukan senang. Kami dimaklumkan juga bahawa kebanyakan kertas yang digunakan di Petani semenjak kurun ke-16 masihi datangnya dari satu keluarga penghasilnya di Italia. Dr Fauzi menyatakan ketika berkunjung ke Petani dahulu dia dapati ada kertas-kertas tersebut yang masih kosong baru dibawa keluar untuk ditulis oleh pelajar-pelajar pondok. Bayangkan berapa lama!?

Macam-macam lagi keajaiban manuskrip Melayu yang saya buat pertama kalinya menghayatinya secara ‘by hand” termasuklah berhadapan dengan manuskrip berbalut ‘cover’ kulit pokok tapi apabila dibuka didalamnya ada ilmu navigasi lama. Ilmu baru juga buat kami apabila mengetahui buku dahulu tidak ditaruh angka mukasurat sebaliknya ditandakan pada helaian berikutnya dengan perkataan terakhir yang tertera pada helaian sebelumnya.

Cuma daripada semua keajaiban dan ketakjuban seni penulisan intelektual tersebut sekali lagi terketuk kerana datang cerita-cerita klise bagaimana profesor profesor Melayu sendiri mempertikaikan usaha memelihara khazanah bangsa kita. Juga ramai yang menjadi sumber dapatan manuskrip kebanyakannya datang dari kalangan orang Melayu yang tidak reti membaca tulisan jawi. Bayangkan kitab-kitab yang ditulis oleh datuk mereka dan disimpan akhirnya dijual dengan harga RM 10 kerana anak cucu tak reti menilai. Jika mahu dijual pun juallah dengan harga yang bermaruah. Selebihnya tinggal sejarah banyak yang habis hayat di pasar-pasar karat, loken tempatan. Mesti lawak membayangkan riak muka pemburu manuskrip dari Singapura, Jepun atau Amerika jika mereka tahu hakikat ini.

Apabila ditanya apa isi maka ada yang menjawab “diari” sedangkan apa yang hendak diserahkannya itu adalah kitab sains lama nenek moyang dia sendiri.

Kebebalan anak bangsa kita begitu ketara sehinggakan ada satu kisah di sebuah galeri, satu kain batik lepas Petani orang kita pandang sebelah mata dan tidak diketahui gunanya sehinggalah satu hari menganga orang kita apabila datang sarjana mat saleh mengatakan “ini kain kebal” yang ditulis sebagai azimat masuk ke medan perang. Mengapa dia boleh tahu dan kita orang sini tidak tahu? Ini satu fenomena yang amat pelik.

Isu ini berlaku sebenarnya akibat pencairan intelek bangsa kita setelah gemilang beratus-ratus tahun. Kita mengatakan ini kerana seni dan teknologi tampak orang Melayu sebenarnya menggambarkan anjung dunia pemikiran(weltenschaung) mereka dan tatkala kita melihat hilangnya kefahaman dan penghasilan estetika orang Melayu maka tampaklah bahawa minda falsafah mereka kian terungkai.

Contoh satu lagi adalah dengan membandingkan seni tampak zaman klasik dengan hari ini kita dapat membaca perubahan minda Melayu yang semakin simplistik, hilang kehalusannya. Mengenang kata-kata seorang sahabat saya bahawa keris itu sendiri dipermuliakan dan dijinjing, disisip ke merata rata tempat dijulang sebagai simbolisme Melayu kerana ia adalah ’embodiment’ paling komprehensif identiti, intelek, falsafah dan sains teknologi Melayu. Ia dibawa ke hulu ke hilir melambangkan perjalanan dan memori panjang bangsa Melayu dan roh ini hilang dengan ketibaan undang-undang British yang melihatnya semata-mata sebagai perkakasan militan lantas diharamkan. Mujurlah ada raja-raja Melayu yang saban tahun memeliharanya dalam sekian istiadat-istiadat itupun hendak dibuang juga.

“Buat membazir duit rakyat saja..” adalah kata-kata yang keluar dari mulut kita sendiri.

Ini bahana modenisasi dan materialisasi masyarakat yang diasuh untuk menjadi kaku, gersang dan hidup dalam kitaran ‘rat race’ kapitalis dan saki baki kepentingan berbau era kolonialis. Meminjam kata-kata seorang ilmuan dari Yayasan Karyawan, anak-anak kita tidak diajar dengan semua ini. Apa yang diajar adalah bila besar nanti nak jadi apa.

Kita perlu membina kembali kemahiran falsafah Melayu ini kerana ia ibu kepada pembangunan segala aspek material mereka. Mereka perlu disedarkan untuk menghargai dengan menyimpan hatta catatan-catatan kecil milik mereka sendiri demi faedah untuk anak cucu dan bangsa seratus mahupun lima ratus tahun akan datang. Harta intelek ini jangan dimuziumkan kerana ia bukan barang lapuk tetapi sentiasa hidup memberi faedah dan khasiat meneruskan pengaliran intelek lampau ke masa kini dan masa hadapan.

Sumber: The Patriots – Nabil Nadri

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: