News!!

Akibat Perebutan Kuasa, Kerajaan Islam Andalusia Rebah Ke Tangan Kristian

Kami sajikan kepada anda siri perkongsian mengenai sejarah Kerajaan Islam Andalusia yang akhirnya tersungkur dan diambil alih semula oleh Kerajaan Kristian. Kami mengajak pembaca menilai sendiri punca kejatuhan Islam itu samada angkara musuh ataupun sebaliknya. Semoga kita semua mendapat pelajaran.

RECONQUISTA – SIRI 4: PERALIHAN KUASA ISLAM DI ANDALUSIA AKIBAT PEPERANGAN SAUDARA DALAM KERAJAAN ISLAM

Walaupun Kerajaan Islam berkembang luas di zaman Khalifah Abbasiyyah, pada zaman yang sama banyak kerajaan-kerajaan Islam lain muncul melalui agenda dan fahaman masing-masing. Banyak sekali faktor dalaman Islam sendiri yang membawa kepada perpecahan dan kejatuhan dalam masyarakat Islam.

Sejarah kejatuhan Andalusia adalah antara kesan dari peperangan sesama kerajaan Islam.

Bagaimana perebutan kuasa antara dua kuasa Islam di Utara Benua Afrika membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia? Ikuti kupasan ringkas ini.

BANTUAN KERAJAAN ISLAM AL-MURABBITUN DARI MAGHRIBI KEPADA ANDALUSIA

Pada siri yang lepas telah dijelaskan bahawa kejatuhan Khalifah Qurtubah di Andalusia telah menyebabkan perpecahan wilayah-wilayah Islam menjadi wilayah kecil dipanggil Taifa. Kejatuhan kerajaan Islam telah mendorong Kerajaan Kristian untuk bangkit menakluk wilayah-wilayah kecil ini.

Kejatuhan Khalifah Qurtubah (rujuk siri ke-3) disebabkan oleh perebutan kuasa pemerintahan dan kelemahan waris Khalifah sebagai pengganti. Peristiwa ini dikenali sebagai “Fitnah Al-Andalus”. Ia merupakan titik mula kejatuhan kerajaan Andalusia setelah berjaya mencapai kegemilangan sebelumnya.

Kerajaan Kristian hanya menantikan peluang. Satu demi satu wilayah Islam di utara Andalusia jatuh ke tangan Kerajaan Kristian, antaranya Kerajaan Leon, Kerajaan Castilia, Kerajaan Aragon dan Kerajaan Galicia.

Dalam keadaan huru-hara ini, pemerintah Islam di Cordoba ketika itu, Al-Mu’tamid cuba meminta pertolongan dari sebuah kerajaan Islam dari Maghribi di Afrika Utara.

PERANAN YUSUF IBNU TASHFIN – AMIRUL MUSLIMIN DI MARRAKESH, MAGHRIBI

Yusuf Ibnu Tashfin adalah ‘Amirul Muslimin’ kepada Kerajaan Islam Al-Murabbitun dari tahun 1061 sehingga 1106. Beliau telah menyahut seruan untuk membantu wilayah-wilayah Taifah ini dan memasuki Andalusia pada tahun 1086.

Dalam perang pertamanya, beliau telah mengalahkan Raja Alfonso IV dari Castilia dalam Perang Zallaqa.

Pada tahun 1091, Yusuf berjaya menawan semula wilayah-wilayah Taifa di Andalusia iaitu Taifa Sevilla, Taifa Badajoz, Taifa Granada, Taifa Almeria dan Taifa Malaga. Wilayah Taifa terakhir yang dikuasai ialah Taifa Valencia pada tahun 1100 Masihi.

Image may contain: one or more people and text

Walapun Kerajaan Al-Murabbitun menguasai wilayah-wilayah Andalusia, namun Kerajaan-Kerajaan Kristian Eropah telah meluaskan kekuasaan mereka di bahagian utara semenanjung Iberia. Separuh wilayah Islam telah dikuasai semula oleh Kristian.

Melalui penguasaan ini, kerajaan Kristian bukan sahaja menguasai semula istana dan kubu, malah mereka menyusun semula petempatan orang-orang Kristian untuk memenuhi kota-kota ini. Sebahagian besar orang-orang Islam dipaksa keluar dari kota-kota Kristian ini.

Ketika Islam di Andalusia mula bangkit dengan kerajaan Al-Murabbitun, segolongan pemberontak Islam pula muncul di Afrika Utara yang membawa agenda mereka sendiri.

PERSELISIHAN MAZHAB DAN SERANGAN PEMBERONTAK KE ATAS KERAJAAN AL-MURABBITUN

Pergolakan berlaku dalam kerajaan Al-Murabbitun akibat kebangkitan suku Masmuda yang tinggal di pergunungan selatan Maghribi. Kelompok ini digelar Al-Muwahhidun dan dipimpin oleh Abu Abdullah Muhammad Ibnu Tumart (Ibnu Tumart).

Ibnu Tumart ialah seorang guru dan ahli agama yang telah mengembara ke Andalusia dan Baghdad untuk menuntut agama Islam. Namun dia adalah bermazhab Zahiriyyah dan banyak mempersoalkan mazhab-mazhab lain seperti Maliki, Hanafi dan Syafie.

Ibnu Tumart sendiri telah diusir dari Baghdad ketika itu kerana ajaran Zahiriyyah yang bertentangan dengan Khalifah Abbasiyyah yang bermazhab Hanafi. Dia pula menentang Kerajaan Al-Muwahiddun yang ketika itu bermazhab Maliki.

Mazhab Zahiri menolak kaedah Qiyas yang diguna pakai oleh Mazhab Maliki, Hanafi dan Syafie ketika itu. Ibnu Tumart turut mengakui dirinya sebagai Imam Mahdi.

Kerajaan Al-Muwahiddun akhirnya berpisah dengan Khalifah Abbasiyyah dan mengumumkan kekhalifahan sendiri kerana berbeza mazhab.

Kerajaan Al-Murabbitun berjaya dijatuhkan pada 1147 apabila Ibu Kota Marrakesh jatuh ke tangan Al-Muwahiddun. Kejatuhan ini turut memberi kesan kepada kepimpinan Islam di Andalusia.

KERAJAAN AL-MUWAHHIDUN MEMASUKI ANDALUSIA

Image may contain: 1 person, text

Perluasan kuasa Kerajaan Al-Muwahhidun dilakukan oleh Amir ke DUA kerajaan itu iaitu Abu Yaqub Yusuf. Beliau telah memasuki Andalusia untuk menyatukan wilayah-wilayah Andalusia dengan Kerajaan Al-Muwahhidun.

Ibu kota pemerintahan Andalusia pula ditukarkan dari Cordoba ke Sevilla yang dibangunkan dengan istana, pusat ilmu dan kubu pertahanan sebagai pusat pemerintahan.

Abu Yusuf Ya’qub kemudian digantikan anaknya, Abu Yusuf Al-Mansur sebagai Amir ke TIGA pada 1184. Kerajaan Al-Muwahhidun terus makmur di Andalusia dengan perkembangan dalam pelbagai bidang pembinaan, falsafah dan sains selain menjadi pusat perdagangan yang maju.

Muhammad Al-Nasir merupakan Amir ke EMPAT Kerajaan Al-Muwahhidun di Andalusia. Pada zamannya, semangat peperangan orang Kristian terhadap orang Islam semakin memuncak, dibakar oleh semangat Perang Salib.

Bagaimana Perang Salib yang dimulakan untuk menawan Jerusalem memberi kesan kepada kerajaan Kristian di Andalusia?

KESAN PERANG SALIB – ANTARA PERPECAHAN DAN KESATUAN

Image may contain: 2 people, text

Perang Salib pertama yang diisytiharkan oleh Paus Urban III di Kota Rom telah membawa kemenangan kepada Tentera Salib di Jerusalem pada 1099. Gereja-gereja lain di Eropah turut menyusun Tentera-Tentera Salib dalam kerajaan masing-masing untuk melindungi agama Kristian.

Tentera-tentera Salib yang dipimpin oleh pihak gereja tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana kerajaan. Tentera ini akan bersatu dengan mana-mana kerajaan Kristian untuk berhadapan dengan kerajaan Islam.

Ketika kerajaan Islam berpecah, kerajaan Kristian pula mula membentuk kesatuan untuk menentang Islam.

Akhirnya pada tahun 1212, Kerajaan Islam Al-Muwahhidun mengalami kekalahan teruk dalam Perang Las Navas de Tolosa. Semua kerajaan-kerajaan Kristian bergabung dan dibantu oleh pasukan Tentera Salib memerangi Tentera Islam Andalusia.

Image may contain: 3 people, text

Puluhan ribu tentera Islam dibunuh. Amir Muhammad Al-Nasir turut melarikan diri ke Afrika Utara dan kembali ke Marrakesh Maghribi. Dia meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan dari peperangan tersebut.

Tanpa kepimpinan yang kuat di Andalusia, kesatuan hilang antara wilayah-wilayah Islam dan satu demi satu wilayah Islam jatuh ke tangan kerajaan Kristian.

RUMUSAN SIRI KE-4:

* Mazhab-mazhab tertentu telah mempengaruhi perkembangan sesebuah kerajaan. Kerajaan Al-Murabbitun dan Al-Muwahhidun berpecah juga hanya kerana PERBEZAAN MAZHAB dan pendapat.

* Keadaan Islam yang BERPECAH-BELAH memudahkan kemenangan Tentera Salib. KESATUAN kerajaan-kerajaan Kristian Eropah dan pihak gereja menguatkan tentera Kristian.

* Kerajaan Islam semakin lemah kerana menghadapi peperangan bukan sahaja dengan orang Kristian, tetapi juga Kerajaan Islam lain dan kumpulan PEMBERONTAK dari orang Islam sendiri.

* Perluasan wilayah kerajaan Kristian di Semenanjung Iberia telah mengurangkan jumlah penduduk Islam di Eropah. Penduduk Islam terpaksa BERPINDAH keluar dari Eropah ke benua Afrika dan Tanah Arab.

Kesan Perang Salib sangat kuat terhadap kebangkitan orang Kristian di Eropah. Siri akan datang bakal membincangkan serba sedikit permulaan Perang Salib dan perkembangannya.

Semoga Bermanfaat.

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

****** DIREKTORI******

Bagi anda yang baru bersama siri RECONQUISTA, boleh ikuti siri kajian sejarah kami melalui pautan berikut;

SIRI 1: KEBANGKITAN NEGARA-NEGARA KRISTIAN MENENTANG PEMERINTAHAN ISLAM DI EROPAH

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1581332511961221

SIRI 2: KEBANGKITAN KERAJAAN ISLAM ANDALUSIA MENCAPAI KEGEMILANGANNYA

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1588486094579196

SIRI 3: KEJATUHAN KHALIFAH QURTUBAH DAN KEMUNCULAN KERAJAAN ISLAM AL-MUWAHHIDUN

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1594677723960033

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: