News!!

Dengan Status “Muallaf”, Snouck Mudah Mendapat Maklumat Sebenar Aceh

Melalui artikel terdahulu, kita dapat melihat sendiri bagaimana usaha pengkajian Snouck disokong oleh beberapa Orientalis Barat yang hebat dan mendahului dalam kajian mengenai Islam. Di dalam artikel terkini, penulis bakal kongsikan bagaimana liciknya Snouck sehingga mampu bersahabat dan menerima maklumat dari seorang yang PAKAR mengenai selok belok kerajaan & umat di Aceh. Semoga kita terus diberikan kesedaran dan kekuatan untuk terus menggali sejarah silam kita.

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 6: HABIB ABDURRAHMAN AZ-ZAHIR – TOKOH PERANG PENASIHAT SNOUCK HURGRONJE
.

Terima kasih kami ucapkan kepada seluruh pembaca hasil kajian kami yang terus setia menantikan kupasan sejarah yang segar untuk sama-sama kita kaji dan fahami kepentingannya kepada generasi kita pada hari ini.

Bagi anda yang baru bersama siri penggalian sejarah ini, WAJIB BACA hasil penggalian kami sebelum ini yang akan menjelaskan misi mengapa perkongsian sejarah ini ditulis melalui link berikut;

KENAPA HASIL KAJIAN SEJARAH INI PERLU DITULIS SEMULA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1558905024203970

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 1: SIAPAKAH DALANGNYA?

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1559867924107680

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 2: STRATEGI SNOUCK HURGERONJE MEMASUKI MEKKAH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1560747314019741

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 3: STRATEGI SNOUCK YANG MEMANFAATKAN FOTOGRAFI

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1561678307259975

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI 4 : PEMERHATIAN SNOUCK TENTANG ORANG ISLAM DAN MASYARAKAT MEKAH.

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1562845483809924

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA – SIRI KE-5: PENGENALAN BEBERAPA ORIENTALIS YANG BERKERJASAMA DENGAN SNOUCK HURGRONJE

https://www.facebook.com/akademiprihatin/posts/1563688290392310

********** SIRI 6 ********

SIRI 6: HABIB ABDURRAHMAN AZ-ZAHIR – TOKOH PERANG PENASIHAT SNOUCK HURGRONJE

Semasa Snouck Hurgronje tinggal di Jeddah, dia telah berjumpa dengan seorang Arab berasal dari Hadramawt, Yaman dikenali sebagai Habib Abdurrahman Az-Zahir. Habib Abdurrahman ialah seorang tentera bersara yang telah berjuang bersama Turki dan dalam peperangan terakhirnya dia menjadi salah seorang ketua perang di Aceh. Atas beberapa sebab, dia telah menyerahkan diri kepada Belanda dan terpaksa meninggalkan Aceh dihantar ke Jeddah untuk bersara di sana.

Image may contain: 1 person, text

Habib Abdurrahman banyak berkongsi dengan Snouck Hurgronje berkenaan situasi peperangan di antara Kerajaan dan Penduduk Islam Aceh dengan Penjajah Belanda. Melaluinya, Snouck Hurgronje didedahkan dengan konflik dan pertikaian yang berlaku di kalangan pemimpin Aceh terutamanya di kalangan Hulubalang Aceh, peranan dan kedudukan Ulama’ di kalangan masyarakat Aceh dan kepentingan gelaran serta pangkat untuk mendapat tempat dan kehormatan di sana.

HABIB ABDURRAHMAN DI ACEH

Habib Abdurrahman tiba di Aceh sekitar tahun 1864 dan disambut dengan baik oleh Sultan Aceh sebagai Ulama’ dari bumi Arab. Dia sendiri adalah dari keluarga pedagang yang banyak mengembara ke serata dunia. Pemakaiannya mewah, segak dan bergaya menampakkan status kehidupannya yang tinggi. Dia tidak kekok untuk bertemu Sultan dan menjalinkan hubungan yang baik dengannya. Melalui pengetahuannya yang baik tentang agama, Sultan juga memberi kepercayaan kepadanya untuk mengajar dan menjadi penasihat dalam urusan agama. Dia pernah kembali ke Arab pada tahun 1873 dan kembali semula ke Aceh pada tahun 1874 untuk membantu menyelesaikan konflik di Aceh.

Habib Abdurrahman diceritakan sebagai seorang yang mempunyai kehidupan yang mewah. Dia mengakui diberikan 36,000 dollar setahun di Aceh, suatu jumlah yang sangat besar ketika itu. Dia pernah menawarkan kepada Belanda untuk membantu dalam perbincangan damai antara Belanda dan Aceh dengan bayaran sebanyak 50,000 dollar atau sara hidup 500 dollar sebulan. Walaupun permintaan ini ditolak, tetapi sikap Habib Abdurrahman yang mahukan kekayaan sangat terserlah. Setelah beberapa lama terlibat membantu Aceh memerangi Belanda, akhirnya Belanda setuju untuk membayarnya 1000 dollar sebulan untuk dia meninggalkan Indonesia dan kembali ke Tanah Arab.

PENERIMAAN OLEH MASYARAKAT ACEH

Habib Abdurrahman mempunyai pengetahuan agama yang baik untuk menjadikannya diangkat sebagai Ulama dan hakim di Aceh. Dia sendiri turut mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Sultan sehingga dilantik menjadi Ketua Agama dan Imam di Masjid Besar Aceh. Situasi istana yang dalam keadaan lemah dalam mengawal pemimpin dan masyarakat membuka peluang kepadanya untuk memberikan nasihat dan pendapat kepada Sultan. Pengalamannya yang luas dalam bidang pengurusan telah banyak membantu pentadbiran Istana Aceh. Perkahwinan dengan seorang wanita dari keluarga pemimpin Aceh menguatkan lagi kedudukannya di Aceh.

Habib Abdurrahman dinampakkan sebagai orang yang tegas dalam perlaksanaan hukum di Aceh. Dia telah bertindak tegas terhadap kesalahan-kesalahan besar seperti menghisap candu, amalan judi dan juga homoseksual. Dia juga turut mendirikan beberapa masjid dan kemudahan awam untuk masyarakat Aceh. Kestabilan yang diwujudkan membantu dalam penyatuan masyarakat Islam di Aceh dan membentuk angkatan yang lebih besar dalam peperangan menentang Aceh.

Namun begitu, usaha-usaha ini mengundang musuh dari kalangan pemimpin tempatan, Ulama dan Hulubalang. Kebencian ini timbul disebabkan oleh denda yang tinggi untuk perlanggaran kesalahan, pengutipan dana yang banyak untuk pembinaan Masjid dan menganggu amalan-amalan menghisap candu dan berjudi yang menjadi budaya masyarakat.

Fitnah turut berlegar di kalangan pembesar Aceh sehingga sampai kepada Sultan. Sultan ketika itu iaitu Sultan Ibrahim tidak mempercayai fitnah yang disuarakan dan ini menambahkan lagi kebencian pembesar-pembesar Aceh. Sultan Ibrahim digantikan oleh Sultan Mahmud selepas kematiannya dan Habib Abdurrahman masih mengekalkan kedudukannya di Istana. Pergolakan demi pergolakan di kalangan pembesar menimbulkan ketidak selesaan kepada dirinya sebelum akhirnya dia meletakkan jawatan dan pulang ke Mekah.

KEMBALI KE ACEH

Habib Abdurrahman dihubungi oleh beberapa pemimpin Aceh yang mahukan pertolongan melawan kerajaan Belanda. Dia diberitakan tentang kematian Sultan Mahmud dan peperangan yang berlaku di antara Aceh dan Belanda. Dia bertindak untuk menghubungi kerajaan Turki dan beberapa negara Eropah yang lain untuk menghantar bantuan ke Aceh.

Tetapi usahanya menemui kegagalan apabila Turki dan negara-negara Eropah lain termasuk kerajaan British telah berkecuali daripada perang Aceh dan Belanda disebabkan beberapa perjanjian yang telah termeterai di kalangan negara-negara Eropah berkenaan hal-ehwal di Nusantara.

Habib Abdurrahman kembali ke Aceh pada Tahun 1874 tetapi dia diekori oleh perisik Belanda di sepanjang perjalanannya. Dia terpaksa menyamar dan merubah perwatakannya sebagai orang India untuk mengelak dari diekori. Dia telah menemui ketua-ketua tempatan dan memanggil mereka untuk bersatu menentang Belanda. Dia menerima sokongan dari kalangan pemimpin dan masyarakat Aceh sehingga berjaya mengumpulkan lebih 10,000 tentera.

Namun begitu, setelah empat siri peperangan, Habib Abdurrahman tidak melihat peluang untuk Aceh menang ke atas Belanda. Dia melihat tiada kesatuan dalam tentera Aceh dan arahan-arahan yang diberikan tidak diikuti.

Habib Abdurrahman mencari jalan untuk menghentikan peperangan secara damai. Setelah usul pertamanya kepada Belanda ditolak, Habib Abdurrahman mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya dari peperangan di Aceh dan menyerah diri kepada Belanda pada tahun 1878. Belanda menghantarnya pulang ke Jeddah dengan duit persaraan bulanan sebanyak 1000 dollar. Dia mengambil keputusan tersebut selepas tidak mendapat sokongan daripada pemimpin tempatan Aceh terutama apabila dia mencadangkan rundingan damai dengan penjajah Belanda untuk mengelakkan peperangan berpanjangan.

Image may contain: 1 person, text

PELAJARAN BUAT SNOUCK HURGRONJE

Apa yang telah dilalui oleh Habib Abdurrahman Az-Zahir memberi banyak idea kepada Snouck Hurgronje dalam mengatur gerakan di Aceh. Dia melihat perlaksanaan hukum Islam yang berat akan mendapat tentangan dari kalangan Hulubalang Aceh kerana menganggu amalan mereka. Ini membuka peluang kepada dia dan kerajaan Belanda untuk memecah-belahkan masyarakat Islam di Aceh. Ulama’-ulama dan tokoh agama yang membawa idea Jihad perlu ditentang dan dihapuskan sementara Hulubalang dan pemimpin tempatan perlu disokong dengan mengekalkan kuasa, dan memberikan kekayaan.

Perlaksanaan Mahkamah Agama juga perlu dihadkan kepada hal-hal keluarga, amalan ibadah dan perkara asas agama sementara hal-hal berkaitan kebudayaan dan cara hidup masyarakat perlu dihukum menggunakan hukum adat. Ini membolehkan amalan berjudi dan menghisap candu diteruskan sebagai satu amalan dan budaya tempatan.

Image may contain: 1 person, text

Snouck juga melihat pangkat Habib dan Sayyid yang digunakan oleh Habib Abdurrahman mendapat tempat yang sangat tinggi di kalangan masyarakat Islam Aceh. Melalui pengetahuan agama Islam, Habib Abdurrahman mampu mempengaruhi golongan Istana dan mencorakkan masyarakat termasuk menjadi pengajar, hakim, ketua perang selain mendapat kepercayaan untuk berkahwin dengan wanita dari kalangan keluarga terhormat.

Habib Abdurrahman juga berpendapat bahawa masyarakat Islam boleh tinggal di bawah kekuasaan kerajaan kafir melalui hukum yang disebut Ahkam al-Darurat, yang terpaksa dihadapi apabila kekuasaan dimenangi oleh orang Kafir. Apatah lagi jika kerajaan kafir itu dapat membuktikan pemerintahan yang lebih baik. Snouck Hurgronje menerima pendapat ini dengan terbuka dan melihat sebagai peluang untuk menyeru masyarakat Islam Aceh untuk menerima kerajaan Belanda.

Image may contain: 1 person, text

KESIMPULAN

Snouck Hurgronje bijak menggunakan statusnya sebagai seorang MUALLAF untuk mengumpul maklumat dari orang-orang penting seperti Habib Abdurrahman. Mungkin Habib Abdurrahman sendiri tidak terfikir bahawa dia akan menjadi satu ancaman dan terlibat dalam penjajahan masyarakat Islam Aceh. Segala maklumat diambil dengan teliti oleh Snouck Hurgronje dan setiap kelemahan umat Islam disenaraikannya untuk dimanfaatkan dalam perancangan penjajahan Belanda.

Habib Abdurrahman sememangnya seorang pejuang agama yang bertindak dengan ilmu dan ketegasan walaupun mempunyai tabiat hidup bermewah-mewah yang menjadi kelemahannya. Dia berusaha untuk mendapatkan bantuan Turki dan negara Eropah lain tetapi kebijaksanaan negara-negara penjajah untuk membahagi-bahagikan kawasan dan tidak boleh diganggu oleh kuasa lain di kawasannya menyebabkan usahanya gagal.

Habib Abdurrahman juga berusaha untuk menyatukan penduduk Aceh tidak berhasil disebabkan dendam sebahagian Ulama dan Hulubalang di Aceh yang menimbulkan perpecahan. Budaya dan amalan Hulubalang serta masyarakat Aceh sukar untuk dihapuskan biarpun bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Dia berputus-asa setelah melihat semua kelemahan ini dan akhirnya membawa dirinya ke Jeddah setelah menerima habuannya dari Belanda.

Sememangnya Islam perlu dibangunkan dan diperjuangkan oleh orang yang tidak mempunyai kepentingan diri biarpun terhadap pangkat, harta mahupun wanita. Ketiga-tiga sembahan ini akan membawa kepada perpecahan dan kedengkian di kalangan ahli masyarakat terutamanya di kalangan pemimpin. Budaya jahiliyah nenek-moyang yang menebal turut menjadi halangan dalam perlaksanaan sistem Islam sebenar.

Masyarakat Islam yang berilmu perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum memberikan kefahaman terhadap hukum-hakam Islam untuk penerimaan yang lebih rasional dan mudah. Dalam satu sudut yang lain, Sultan dan pembesar kerajaan juga perlu juga mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam dan tidak semata-mata berharap kepada Ulama’ atau Mufti untuk menyelesaikan masalah umat.

Pembacaan tambahan boleh merujuk kepada: – – Journal ‘Indonesia’ Vol. 13 (1972) – Habib Abdur-Rahman Az-Zahir (1833-1896), terbitan Cornell University.
– The Achehnese Vol. 1 (1906) – terbitan Leiden University.

Nantikan hasil penggalian seterusnya yang akan mengupas perancangan Snouck dan rakan sekutunya dalam misi menjatuhkan Islam di Nusantara. Satu kupasan yang WAJIB kita kongsikan kepada keluarga dan anak cucu kita.

Semoga bermanfaat,

Sumber:

Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: