News!!

5 Pasaraya Giant Bakal Ditutup, Petanda Sektor Runcit Semakin Lemah?

Giant merupakan antara pasaraya terkemuka di Malaysia apabila ianya sudah beroperasi menjangkau 73 tahun di Malaysia. Walaupun berstatus “Giant”, mereka terpaksa akur dengan edaran semasa serta keadaan ekonomi yang tidak berapa stabil ketika ini. Ianya bukanlah satu perkara yang pelik kerana syarikat multinasional seperti Petronas, Maybank turut melakukan penyusunan semula tenaga kerja mereka sebagai langkah penjimatan.

LIMA cawangan pasaraya Giant akan ditutup serentak pada 5 November, berikutan keputusan untuk tidak menyambung perjanjian pajakan premis yang telah tamat.

Pemilik Giant, GCH Retail Malaysia dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight semalam berkata, pihaknya memutuskan untuk menamatkan operasi di Sri Manjung, Sungai Petani, Shah Alam City Centre Mall, Sibu dan Selayang Lama yang telah tamat tempoh perjanjian pajakan di premis.

Kenyataan itu menyebut, penutupan lima cawangan itu dibuat selepas semakan semula operasinya bagi meningkatkan keberkesanan dan produktiviti.

Ditanya mengapa perjanjian pajakan berkenaan tidak disambung, jurucakap syarikat terbabit bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Jurucakap terbabit juga enggan mengulas berhubung nasib pekerja di lima premis terbabit.

Penutupan itu berlaku kerana sektor runcit Malaysia menghadapi sedikit penangguhan jualan pada suku kedua tahun ini, berbanding dengan tiga bulan pertama tahun 2017.

Jualan runcit berkembang pada 4.9% dari April hingga Jun, membalikkan prestasi buruk dari Januari hingga Mac apabila jumlah jualan merosot 1.2% tahun ke tahun.

Bagaimanapun, pemain industri berkata peningkatan itu hanya sementara dan dijana oleh perbelanjaan untuk sambutan Hari Raya, dan menambah kelemahan dijangka berterusan sepajang tahun ini kerana pengguna mula berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Subsektor pasar raya dan hipermarket melaporkan penurunan yang lebih buruk daripada jangkaan dalam kadar pertumbuhan 4.8% pada suku pertama tahun 2017, yang paling teruk di kalangan subsektor runcit.

Persatuan Peruncit Malaysia berkata, pengendali pasaraya dan supermarket dijangka akan mengalami penurunan jualan 2.5% pada suku ketiga tahun ini.

Baru-baru ini Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendedahkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenal 2015 menjejaskan peniaga-peniaga Melayu sehingga menyebabkan mereka menutup operasi.

Berikutan penutupan itu, tinjauan The Malaysian Insight Giant SACC Mall Shah Alam mendapati ramai pelanggan menyerbu pasaraya terbabit untuk memborong barang-barang yang dijual.

Harga barang dijual serendah RM1 untuk penghabisan stok.

“Saya hendak beli barang biasa tapi nampak barang dengan harga murah saya terus borong. Saya rasa rugi kalau tak ambil sebab harga semua murah sampai bekas makanan pun jual RM1,” kata salah seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Johan.

Syarikat yang berusia 73 tahun itu sinonim dengan jualan barang runcit yang menawarkan harga rendah. Bagaimanapun, selain daripada melawan corak perbelanjaan pengguna yang lemah, rangkaian pasaraya itu juga menghadapi persaingan daripada peruncit baru di pasaran. – 29 Oktober, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: