News!!

4 Jenis Pekerjaan Penghidap Autisme Dan Yang Terakhir Boleh Dibuat Di Rumah

Setiap kelahiran manusia di muka bumi ini Allah ciptakan dengan kelebihan dan fungsinya yang tersendiri. Walaupun ianya dilahirkan tidak sempurna di mata kita, anak autisme mempunyai potensi untuk hidup seperti manusia normal sekiranya ibu bapa bijak menguruskan mereka. Ikutilah perkongsian ini untuk mengetahui lebih lanjut.

BEKERJA dengan golongan penghidap autisme dianggap mencabar kerana kesukaran mereka dalam berkomunikasi, tidak memahami orang lain serta tidak memiliki kebolehan intelek yang luas.

Faktor ini dilihat antara penyebab tidak banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada mereka, sekaligus membuatkan mereka hanya bergantung hidup kepada ahli keluarga masing-masing.

Bagi pengetua IDEAS Autism Center, Sharifah Salleh, 50 tahun, penghidap autisme sebenarnya mampu untuk memenuhi pasaran kerja sekiranya kemahiran mereka diasah dan diberi peluang untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.

Tiga perkara tentang Autisme

Berikut empat kerja yang boleh dilakukan oleh penghidap autisme:

1. Pembungkusan

Masyarakat perlu memahami bahawa spektrum autisme adalah sangat luas. Mereka memiliki kemampuan mendengar arahan dengan teliti dan bersistem. Oleh itu mereka boleh melakukan pekerjaan mudah yang berulang-ulang seperti membungkus barangan.

Penghidap autisme mampu untuk membezakan jenis pakaian, warna dan fabrik kain. Mereka boleh memahami konsep asas menggunakan mesin basuh serta membezakan penggunaan suhu air untuk membasuh pakaian.

3. Bekerja di kafeteria

Menyedari peluang pekerjaan untuk golongan autisme adalah sangat terhad, Mohd Adli Yahya, 45 tahun, telah menubuhkan Autism Cafe Project bagi memberi sokongan kepada anaknya yang juga penghidap autisme untuk berdikari dan hidup seperti remaja normal yang lain.

Mohd Adli Yahya telah menubuhkan Autism Cafe Project untuk memberi peluang pekerjaan kepada penghidap Autisme

Di kafe tersebut, pekerja diambil berdasarkan kepada kecenderungan dan kemampuan mereka terhadap sesuatu.

“Jika ada di antara mereka dilihat suka bermain dengan air, maka kita beri dia tugas untuk basuh pinggan. Jika ada yang suka bercakap, maka kita akan tempatkan di bahagian khidmat pelanggan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

4. Pengurusan rumah

Penghidap autisme boleh melakukan pekerjaan mudah seperti mencuci lantai, menyusun barang dan mengelap meja. Kemahiran ini hanya perlu dilatih dan diajarkan kepada mereka. Ini akan membuka peluang kepada mereka untuk bekerja di sektor perhotelan.

Menurut Sharifah lagi, penghidap autisme adalah seseorang yang sangat fokus dan mustahil untuk mereka menipu atau curi tulang semasa bekerja.

“Terdapat tiga tahap autisme iaitu sangat ringan (mild), sederhana (moderate) dan parah (severe). Proses melatih individu yang menghidap autisme untuk menguasai sesuatu kemahiran bergantung kepada kebolehan dan emosi mereka.

“Rumah penjagaan perlu diwujudkan agar mereka dapat belajar bagaimana untuk berdikari dan pada masa yang sama, dilatih supaya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat,” jelas Sharifah.

Beliau berharap peluang dan kepercayaan perlu diberikan kepada penghidap autisme untuk membangunkan kehidupan mereka.

Sumber: Astro Awani

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: