News!!

Islam Menolak Kedaifan Melalui Perniagaan & Keushawanan

SUMBER rezeki manusia pada asasnya boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pendapatan tetap (menerusi gaji dan upah) dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Menurut kebanyakan ulama, kategori kedua lebih afdal (lebih mulia). Diriwa-yatkan oleh Rifa’a bin Rafi’, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang peker-jaan yang paling mulia lalu baginda menjawab, “Lelaki yang bekerja dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang diberkati iaitu yang tiada penipuan di dalamnya.” (Subulus Salam hadis no. 742/1).

Islam menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan kerana bidang ini merupakan penjana kepada kebanyakan aktiviti ekonomi yang lain. Selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan, perniagaan juga penting kerana ia mampu mempertingkatkan taraf kualiti hidup manusia. Oleh yang demikian, terdapat banyak nas al-Quran dan hadis Rasulullah yang menyeru umat Islam berusaha dalam bidang ini.

Di antaranya ialah firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan apabila sembahyang telah ditunaikan, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) ALLAH dan ingatlah ALLAH sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya.” (Al-Juma’ah: 10). Kalimah ‘carilah’ menunjukkan bahawa rezeki yang dimaksudkan bukan sekadar ‘makan gaji’ tetapi ia menurut supaya umat Islam berusaha sendiri.

Rasulullah juga menyanjung tinggi para sahabat yang bijak memanfaatkan peluang bagi tujuan perniagaan. Diriwayatkan ‘Urwa Al Baqiri bahawa Rasulullah telah memberi beliau 1 dinar untuk membeli seekor kambing bagi dijadikan korban. Beliau membeli dua ekor kambing (dengan harga 1 dinar) kemudian menjual semula salah seekor kambing tersebut dengan harga 1 dinar dan kembali kepada Rasulullah dengan seekor kambing dan 1 dinar. Rasulullah memuji beliau atas kebijaksanaannya berniaga dan bersabda; “Kalaulah dia (Urwa) membeli debu sekalipun dia akan membuat keuntungan dengannya.”

Rasulullah tidak pernah menga-jar umatnya hidup dalam kedaifan sehingga terpaksa meminta sedekah, sebaliknya  menyeru umat Islam bekerja mencari rezeki yang halal terutama dengan cara berniaga.

Galakan dan dorongan Rasulul-lah supaya masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan tidak digambarkan dengan kata-kata sahaja bahkan Baginda sendiri, sebelum diutus menjadi Nabi merupakan peniaga berjaya. Pada usia muda lagi Baginda telah berniaga hingga ke bumi Syam dan sungguh amanah dalam mengurus perniagaan Siti Khadijah sehingga digelar Al-Amin. Contoh ini telah diteladani ramai sahabat baginda. Abu Bakar as Siddiq dan ‘Uthman ‘Affan umpamanya menjalankan perniagaan pakaian sementara Umar al Khattab pula menguruskan perdagangan biji-bijirin.

Islam menekankan agar perniagaan yang diusahakan mestilah didasari keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH. Matlamat utama perniagaan Islam bukanlah sekadar mendapatkan keuntungan dunia sahaja, sebaliknya diusahakan demi melaksanakan kewajipan manusia sebagai khalifatullah di muka bumi. Justeru, Islam menolak anggapan golongan sekular yang percaya kegiatan perniagaan adalah aktiviti duniawi semata yang tiada kaitan dengan akhirat.

Seorang usahawan Islam  mes-tilah  jujur, amanah, bertanggung-jawab, bersungguh-sungguh, pemu-rah dan telus mengendalikan perniagaan. Dalam sebuah hadis diriwayatkan, pada suatu hari Rasulullah berjalan-jalan di pasar. Baginda melintasi seorang peniaga buah tamar dan memerhatikan cara dia mempamerkan barang jualan-nya. Peniaga tersebut meletakkan buah tamar yang baik di bahagian atas manakala yang buruk diso-rokkan di bahagian bawah. Lalu baginda menyeluk tangan di bahagian bawah seraya bersabda; “Sesiapa yang menipu dia bukan di kalangan kami.” (sahih Muslim hadis no. 280)

Hal sama juga berlaku pada zaman ‘Umar al Khattab apabila beliau menghukum seorang peniaga menjual susu yang dicampurkan air. Menurut Ibn Taimiyyah, tindakan Umar bukan kerana susu tersebut tidak boleh diminum tetapi kerana peniaga terbabit telah memanipulasi persepsi pelanggannya. Sebarang bentuk penipuan, penindasan dan eksploitasi dalam urusan perniagaan dianggap sebagai ‘memakan harta sesama manusia secara batil’.

Firman ALLAH: “Wahai orang-orang beriman jangan kamu makan harta sesama kamu dengan cara batil melainkan melalui perniagaan yang diredai sesama kamu.” (An Nisa’:29) “Celakalah untuk orang-orang yang menipu. Apabila mereka menyukat daripada orang lain (untuk diri) mereka sempurnakan. Dan apabila menimbang atau menyukat untuk orang lain mereka kurangkan”. (Al-Muthaffifiin:1-3)

Kejayaan hakiki dalam bidang perniagaan bergantung kepada sejauh mana sumbangannya kepada masyarakat. Namun, visi dan misi tersebut mungkin sukar dicapai tanpa asas iman yang kukuh dan kesedaran moral tinggi.

Sumber: Sinar Online

* Prof Madya Dr Amir Shaharuddin Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: