News!!

Pelabuhan Dikuasai China Ancam Keselamatan Negara? – MP Kuantan

Semua pihak perlu bimbang apabila kepentingan strategik negara dimiliki negara asing, kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Beliau berkata, ia sama sekali tidak wajar dan malah menggugat keselamatan negara.

Beliau mengulas laporan khas Malaysiakini berhubung pengaruh pelaburan China di Kuantan, khususnya Taman Industri Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan pemilikan negara itu dalam Pelabuhan Kuantan.

Menurut laporan itu, syarikat milik kerajaan China Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd yang menguasai 49 peratus pegangan dalam MCKIP, turut memiliki 40 peratus pegangan dalam Pelabuhan Kuantan.

Pelabuhan yang menghadap Laut China Selatan itu menjadikannya aset strategik dalam tuntutan China terhadap sebahagian besar kawasan laut itu yang turtu menjadi laluan perdagangan antarabangsa.

“Membenarkan 40 peratus pegangan kepada satu syarikat milik negara asing boleh menggugat keselamatan negara kita.

“Wajarkah dan patutkah perkara ini di benarkan?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, warga Kuantan berhak berasa bimbang dengan perkara itu, kerana risiko ancamannya “jauh lebih besar” berbanding pencemaran akibat perlombongan bauksit tidak terkawal yang dihadapi mereka sebelum ini.

Beliau turut membangkitkan usaha sama Guangxi Beibu dan IJM Corp untuk membangunkan terminal laut dalam baru bernilai RM4 bilion, di Pelabuhan Kuantan.

“Terminal ini boleh membenarkan kapal-kapal besar berlabuh. Siapa yang akan mengawal dan memastikan ia tidak menggugat keselamatan warga Kuantan dan rakyat Malaysia?”

Fuziah berkata, kerajaan pimpinan BN bertanggungjawab membenarkan China menguasai aset strategik negara.

“Bagaimana warga Kuantan boleh berasa selamat di saat 40 peratus (pegangan) pelabuhannya dikuasai syarikat milik negara asing?

“Kita mahukan pembangunan dan peluang pekerjaan, menambah jumlah perdagangan melalui Pelabuhan Kuantan. Tetapi perlukah kita berkompromi dalam isu keselamatan?” soalnya lagi.
Sumber: Malaysiakini

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: