News!!

10 Jenis Perniagaan Lumayan Yang Anda Boleh Ceburi Sekarang!

RAMAI di kalangan kita kian letih dengan kehidupan seharian, di mana lebih banyak masa terluang di pejabat serta tiada keseimbangan antara kerja dan masa peribadi. Waktu bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang dilihat sebab utama kebanyakan masyarakat mencari peluang perniagaan. Namun masih terdapat golongan beraspirasi tanpa hala tuju dalam memulakan perniagaan masing-masing.

Sekiranya anda merancang untuk menjadi seorang usahawan dan sedang mencari peluang perniagaan, jom kita tinjau 10 peluang perniagaan trending di Malaysia:

1. Fesyen

Industri fesyen Malaysia sedang berkembang pesat dan dibuktikan dengan acara fesyen kelas dunia yang diadakan di Kuala Lumpur setiap tahun, menghasilkan peluang keemasan untuk pereka fesyen dan penggemar fesyen di seluruh negara.

Selain itu, dengan peningkatan aktiviti beli-belah dalam talian, ramai mengambil peluang menjual produk fesyen tempatan melalui internet tanpa perlu risau tentang kos operasi seperti penyewaan premis dan simpanan stok.

2. Perniagaan dalam talian

Menurut Nielsen, 47 peratus rakyat Malaysia membeli produk melalui telefon pintar dan jumlah ini adalah tinggi untuk negara membangun. Ini membuktikan bahawa ramai rakyat Malaysia mula menyedari peluang besar dalam industri ini.

Pelajar dan graduan kolej memperoleh keuntungan lumayan dari pelbagai perniagaan dalam talian seperti menjadi ejen atau ‘dropshipper’, menawarkan perkhidmatan seperti pemasaran sekutu (affiliate) dan penulisan blog secara profesional.

3. Produk makanan

Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis makanan dari pelbagai bangsa dan budaya. Oleh itu, perniagaan makanan dan makanan ringan memberikan peluang besar kepada perusahaan besar dan kecil, di mana memulakan operasi memerlukan sedikit modal.

Makanan ringan seperti ais krim dan yogurt salah satu daripada banyak perniagaan makanan yang sedang berkembang di negara ini hari ini.

4. Sektor pelancongan

Sebagai hab perniagaan, Malaysia menerima kemasukan pelancong serta peniaga asing yang tinggi. Ia secara tidak langsung memberikan peluang besar untuk agensi pelancongan berkembang.

Ketibaan pelancong di Malaysia untuk 2016 mencatatkan kenaikan sebanyak 4.0 peratus, mencerminkan sejumlah 26.8 juta pelawat berbanding tempoh yang sama pada 2015.

Situasi itu menyumbangkan RM82.1 bilion kepada pendapatan negara dan ia membuka banyak peluang kepada perniagaan yang memenuhi keperluan serta kehendak pelancong mahupun peniaga luar negara. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk memulakan perniagaan bermodal rendah, menubuhkan agensi pelancongan adalah satu pilihan yang bijak.

5. Francais

Memulakan perniagaan adalah proses yang panjang dan mencabar, terutamanya tanpa bantuan kewangan dan pengalaman. Oleh itu, salah satu cara terbaik untuk memulakan perniagaan adalah dengan menggunakan jenama pihak lain.

Francais membolehkan anda menggunakan jenama atau produk syarikat bereputasi; serta mengamalkan prosedur operasi piawai mereka. Sokongan yang diberikan oleh pemberi francais mungkin menjadi faktor yang membantu anda untuk mengambil langkah pertama dalam perniagaan.

6. Perkhidmatan profesional

Dengan perkembangan perusahaan kecil baru muncul, pengusaha perkhidmatan perniagaan hari ini mempunyai pasaran yang semakin meluas untuk memenuhi keperluan peniaga-peniaga baharu.

Memandangkan kebanyakan perniagaan kecil memerlukan perkhidmatan profesional seperti simpan kira pada peringkat asas operasi mereka, mereka yang mempunyai latar belakang akauntan atau perakaunan mempunyai peluang besar di hujung jari mereka.

7. Perkhidmatan pengangkutan awam

Pelanggan kini mempunyai informasi yang lebih mendalam dalam pelbagai aspek sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan. Mereka mempunyai pilihan tersendiri dan isu keselamatan yang tidak dapat dipenuhi dengan sistem perkhidmatan teksi yang lama.

Ini terbukti dengan tinjauan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menunjukkan 76.4 peratus daripada 9,026 responden memilih untuk mengambil Uber atau Grab berbanding perkhidmatan teksi konvensional.

Malah perkhidmatan pengangkutan salah satu kemudahan yang paling menerima permintaan tinggi di Malaysia.

8. Pembaikan telefon pintar dan PC

Salah satu faktor yang paling utama dalam kemajuan teknologi adalah penggunaan telefon pintar dan komputer peribadi. Menurut Statista.com, jumlah pengguna telefon pintar di Malaysia pada tahun 2017 dijangka mencecah 19.9 juta dan laman web wearesocial.com melaporkan bahawa 35 peratus rakyat Malaysia memiliki komputer riba atau desktop.

Ini bermakna peluang besar menanti mereka yang mampu menyelesaikan masalah dengan peranti ini, menjadikannya tiket emas untuk membuat keuntungan lumayan.

9. Perkhidmatan kewangan mikro

Perniagaan baru terutama kecil muncul setiap hari di Malaysia dan memerlukan pembiayaan untuk berkembang dalam jangka panjang. Biasanya, dana diperoleh dari bank dan institusi kewangan mikro, menjadikan perbankan pembiayaan mikro sebagai peluang perniagaan yang besar bagi pelabur.

Individu memiliki latar belakang perbankan dan kewangan adalah operator yang berpotensi terutama apabila mereka mempunyai modal permulaan secukupnya.

10. Minyak & Gas

Industri minyak & gas sering dianggap sebagai perusahaan bernilai jutaan ringgit. Bagaimanapun, dengan beberapa ribu ringgit sahaja, anda layak menjadi peruncit untuk pelbagai produk minyak dan gas seperti gas asli dan minyak tanah.

Bagi mereka yang mempunyai jumlah belanjawan yang tinggi untuk melabur, membuka stesen pengisian akan menjadi permulaan terbaik.

Sumber: FMT

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: