News!!

Lebih 20,000 Manuskrip Tamadun Melayu Dikesan Di Seluruh Dunia?

Copyright ? 1994-98 Pixel Translations Incorporated.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kini dalam misi mengumpulkan lebih 20,000 manuskrip berkaitan ketamadunan Melayu termasuk lebih 15,000 manuskrip yang kini berada di luar negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Nafisah Ahmad berkata, pihaknya mahu mewujudkan sebuah pangkalan data induk mengumpulkan manuskrip yang dapat diakses oleh semua pihak untuk tujuan kajian dan pembelajaran

“Tahun hadapan kita sasarkan untuk ada sebuah pengkalan data induk manuskrip Melayu. Walaupun kita masih tak ada salinannya tapi kita dapat kesan kewujudannya.

“Dua tahun lalu kita dapat kesan lebih 20,000 manuskrip di seluruh dunia dan hanya 4,884 sahaja naskah asal yang disimpan di sini (di PNM). Selebihnya ada di Rusia, Algeria, selain di Jerman. Kita akan teruskan usaha pengesanan manuskrip ini,” katanya.

Nafisah berkata demikian selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2017 di PNM hari ini.

Jelasnya, PNM hanya mempunyai 4,884 manuskrip asal dan kira-kira 2,000 salinan yang dikumpulkan dari seluruh dunia.

Nafisah turut menjelaskan bahawa mengikut definisi PNM, manuskrip Melayu adalah karya yang bertulis tangan dalam tulisan Jawi yang dihasilkan dalam lingkungan awal abad ke-16 sehingga awal abad ke-20.

Manuskrip-manuskrip tersebut mengandungi pelbagai bidang seperti kesusasteraan, sejarah, undang-undang, warkah, perubatan tradisional, syair dan nazam, kitab agama, ketatanegaraan, petua, azimat, kitab ramalan dan sebagainya.

Sehubungan itu, menurut Nafisah lagi, pihaknya kini bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk di luar negara bagi tujuan pengesanan, pengesahan dan carian manuskrip-manuskrip tersebut.

Institusi yang terlibat adalah institut Kajian Diraja Asia Tenggara dan Carribean (KITLV) di Leiden, Belanda, Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) dan Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Persidangan tiga hari itu menampilkan 162 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik daripada Malaysia dan Indonesia yang mengupas manuskrip-manuskrip yang telah berjaya dijumpai.

Antara manuskrip yang menarik perhatian yang dikupaskan adalah manuskrip resepi masakan lama termasuk resepi nasi beriani yang berusia lebih 200 tahun daripada Pontianak, Indonesia.

Selain itu terdapat juga manuskrip yang dikatakan manuskrip paling bernilai yang kini dipamerkan di PNM iaitu Bustan-as-Salatin (Taman Raja-raja) yang ditulis oleh Syekh Nuruddin Al-Raniri, pendakwah dari Gujerat, India yang bekerja dan melawat Sultan-sultan di Acheh dan Nusantara.

Manuskrip penting lain yang dalam simpanan PNM ialah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.

Ahli akademik dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Manuskrip Melayu Dr Harun Mat Piah menyatakan terdapat banyak manuskrip penting yang akan dikupas pada persidangan tiga hari itu yang bermula hari ini.

“Saya mengambil satu dua contoh naskah yang dikeluarkan pada 1639 dari Syeikh Nuruddin al-Raniri di Acheh. Bustan as-Salatin mengenai perubatan. Apabila pengkaji baca sekarang ia memuatkan asas terbaik ilmu sains perubatan Melayu. Malah ia boleh menjadi rujukan perubatan selain (rujukan) sejarah masa kini,” katanya.
Sumber: Malaysiakini

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: