News!!

Setakat Manakah Sebuah Bangsa Itu Dikategorikan Sebagai Bertamadun?

Setiap bangsa mempunyai tamadun mereka sendiri namun apakah nilaian yang menampakkan ketamadunan sebuah bangsa?. Admin kongsikan cetusan dari penulis yang mengupas secara ringkas tentang isu tamadun ini melalui artikel yang bertajuk ” Antara Tamadun Melayu Dan Tamadun Barat”

Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering digunakan ialah ‘civilization’ dalam bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban dalam bahasa Melayu, maddana, umran dan hadarah dalam bahasa Arab. Setiap istilah ini mempunyai tafsirannya tersendiri. Selain itu, definisi tamadun juga berbeza antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu masing-masing.

Bagi sarjana Islam, tamadun bermula dengan pengutusan nabi dan rasul. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk memandu kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Sebenarnya masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh atau sebahagian besar tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material.

Menurut sarjana Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman kegelapan.

Ibn Khaldun menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:

• Aspek keagamaan atau kerohanian
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni tulis dll.

Sekarang kita lihat pula apakah yang dimaksudkan dengan Tamadun Melayu itu? Tamadun Melayu sebenarnya merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan sebagai kumpulan orang rumpun Melayu, tertumpu kepada wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu gugusan Kepulauan Melayu- Indonesia, Nusantara, Alam Melayu, dan Tanah Jawi. Satu perkara penting yang mewarnai tamadun wilayah ini ialah bahasa Melayu, yang menjadi bahasa perhubungan luas di seluruh kawasan ini.

Tidak semua unsur-unsur atau ciri-ciri tamadun itu wujud dalam sesebuah masyarakat bertamadun. Hal ini disebabkan sebahagian daripadanya dihadkan oleh sumber alam, pandangan semesta atau falsafah hidup dan keadaan sekeliling yang mempengaruhi tindakan golongan manusia yang dimaksudkan. Orang eskimo misalnya mempunyai kepakaran dan teknologi dalam mekanikal seperti dalam pembinaan Iglu serta pembuatan peluncur ajing salji, tetapi dari sudut sistem politik dan social adalah masih kasar dn tidak sistematik. Tamadun barat pula walaupun mempunyai kemajuan dalam bidang material seperti sains dan teknologi namun mereka sangat kurang pencapaian dan penghayatan dalam bidang kerohanian dan keagamaan.

Malah mereka menolak campurtangan agama dalam bidang keilmuan serta kehidupan seharian yang menyebabkan terbentuknya fahaman sekularisme. Jika kita lihat dengan masyarakat tamadun Maya dari Amerika Tengah, mereka mahir membina bangunan-bangunan batu yang besar-besar dan mengkagumkan tetapi pencapaiannya dalam bidang seni logam dan persenjataan pula adalah amat daif dan tertumpu pada logam berharga seperti emas dan perak sahaja yang tidak sesuai dijadikan senjata. Tamadun mereka juga kurang pencapaian dalam bidang maritime atau pelayaran.

Hal ini berbeza pula dengan Tamadun Melayu yang memang kaya dengan pencapaian maritim serta penciptaan alat-alat pelayaran seperti aoutrigger serta kapal-kapal yang boleh bertahan didalam ribut. Oleh sebab itu kita tidak boleh mengukur kemajuan sesebuah tamadun itu hanya berpandukan kepada tinggalan material sahaja seperti bangunan-bangunan besar serta istana-istana yang gah sahaja.

Jika bangsa anda Pembina istana-istana besar sekalipun tetapi masyarakat tamadun anda masih tidak mempunyai nilai-nilai moral sebagai seorang insan atau manusia yang berakhlak dan beradab, ini bermakna anda masih lagi bangsa yang gasar.

Sebagai contohnya di Perancis pada zaman sebelum dan semasa Revolusi, keadaan masyarakat di Paris dan Bandar-bandar utama Perancis tidak kira masyarakat biasa atau golongan atasan hampir langsung tidak mementingkan kebersihan persekitaran dan kebersihan diri mereka.

Seperti yang saya pernah sebut sebelum ini jika anda seorang pembina istana Versailles sekalipun namun tidak tahu untuk mencuci punggung selepas buang air besar, adalah lebih baik belajar dahulu caranya dari tamadun lain. Inilah baru dikatakan peminjaman dan pertembungan diantara tamadun. Bukannya mengatakan bahawa tamadun anda lah yang terbaik dan masyarakat tamadun-tamadun lain harus mengikut corak tamadun anda.

Sebenarnya istana-istana besar dan gah yang kita biasa lihat di Europa bukanlah lambang ketamadunan tinggi yang sebenar, sebaliknya ia adalah lambang keangkuhan dan nafsu manusia serta lambang penindasan terhadap gologan rakyat biasa, petani dan hamba yang terpaksa menjadi buruh kasar serta membayar cukai untuk membina istana-istana tersebut.

Bangunan-bangunan ini tidak memberi apa-apa makna kepada para petani yang sedang kelaparan dan tinggal di dalam rumah yang diperbuat dari ranting-ranting serta tanah liat. Sedangkan golongan atasan dan pemerintah dengan senang lenang memenuhkan perut mereka dengan makanan-makanan mewah dan kemudian melepaskan sisa-sia makanan yang telah terproses dalam lambung mereka itu di tempat dimana mereka makan itu juga.

Hal Ini berbeza dengan tamadun-tamadun timur terutama tamadun Melayu yang mana bangunan-bangunan batu yang besar kebanyakannya adalah bangunan keagamaan dan adalah untuk manfaat dan kegunaan setiap lapis masyarakat dan bukan golongan pemerintah sahaja. Tradisi ini diteruskan pada zaman kedatangan Islam dimana kita dapat lihat bahawa kebanyakan kerajaan-kerajaan Melayu yang kuat mempunyai binaan masjid yang diperbuat daripada gabungan kayu dan batu serta besar ukurannya berbanding bangunan-bangunan lain yang diperbuat dari kayu.

Faktor alam, bentuk muka bumi dan cuaca juga memainkan peranan dalam hal tersebut. Namun ini tidak bermakna tamadun Melayu tidak mampu untuk menghasilkan binaan-binaan hebat seperti tamadun-tamadun barat. Sebagai contoh lihat sahaja pembinaan Borobudur, Angkor, Prah Vihear, Candi Prambanan, kompleks Candi Lembah Bujang, Cham tower dan banyak lagi di seluruh Asia tenggara. Hal ini memperlihatkan bahawa masyarakat tamadun rumpun Melayu pada zaman dahulu lebih mementingkan aspek kerohanian dalam ketamadunan berbanding keduniaan tidak seperti tamadun barat.

Sekian, Wallah hua’lam.

Sumber: Al Semantani Jones – The Patriots

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: