News!!

Risiko Dijangkiti HIV Antara Sebab Perkhidmatan “Doktor Gigi Palsu” Diharamkan

Para pengamal profesion kedoktoran gigi kesal dengan kekurangan kesedaran daripada orang awam berhubung keseriusan isu doktor gigi haram atau tanpa lesen kerana masih ada lagi orang yang mendapatkan khidmat rawatan pergigian daripada para pengamal tanpa tauliah, kata Malaysian Dental Association (MDA).

“MDA telah mengikuti secara teliti kejadian dan berita berhubung ‘doktor gigi tanpa tauliah’ mengamalkan ‘pergigian palsu’ terhadap warga negara Malaysia,” kata MDA dalam sebuah kenyataan hari ini.

MDA merupakan persatuan sah bagi pengamal perubatan pergigian di Malaysia.

“MDA mengambil peluang ini untuk memberitahu orang ramai bahawa amalan pergigian diletakkan di bawah Akta Pergigian 1971 (Akta 51) bertujuan menjaga keselamatan pesakit di negara ini.

“Orang ramai mesti berhati-hati memilih pengamal perubatan pergigian yang sah berdaftar dengan Malaysian Dental Council (MDC) sahaja,” kata kenyataan itu.

Risiko komplikasi kesihatan

Kenyataan MDA dibuat susulan laporan berita berkaitan kegiatan doktor gigi haram di Malaysia.

“Sebarang bentuk prosedur pergigian mesti dilakukan oleh pengamal berdaftar di dalam kemudahan penjagaan kesihatan awam atau di bawah persekitaran klinikal di dalam premis yang didaftarkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

“Jadi ia dilihat sebagai pelanggaran akta, suatu kesalahan di bawah undang-undang jika individu tidak berdaftar, termasuklah ‘pengamal kecantikan’ yang melakukan kegiatan yang disebut ini,” kata kenyataan itu lagi.

MDA juga memberi amaran kesan negatif akibat mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tidak berdaftar termasuklah komplikasi kesihatan.

“Kawalan jangkitan sering diambil mudah dan risiko mendapat jangkitan berbahaya seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C, dan wabak udara seperti Tuberculosis berlaku bukan sahaja kepada pesakit tetapi kepada ‘doktor gigi palsu’ itu sendiri.

“Kekurangan pengetahuan perubatan di kalangan pengamal perubatan tidak berdaftar juga menyebabkan para pesakit menambah risiko komplikasi dan kesan-kesan yang tidak dimahukan berikutan rawatan, malah boleh membawa risiko maut,” tambah MDA lagi.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula menegaskan pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam membantu membebaskan ‘doktor’ berkenaan.

Hujung September lalu, Bernama melaporkan seorang lulusan Kolej Vokasional didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media pada September 2017 lalu turut mengingatkan orang awam untuk waspada dengan apa-apa rawatan pendakap gigi (braces) yang diberikan oleh pengamal pergigian haram.
Sumber: Malaysiakini

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: