News!!

Kempen Bersistematik Anti Minyak Sawit Kesatuan Eropah Jejaskan Industri Kita

SAMSUNG

KERAJAAN tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menjalankan kempen untuk memburuk-burukkan industri minyak sawit demi menjamin kehidupan 650,000 pekebun kecil, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang kempen anti minyak sawit dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang menggugat industri minyak sawit.

“Kita perlu bertindak terhadap semua kempen negatif terhadap minyak sawit. Kita harus bertindak balas secara rasional  dengan mengemukakan fakta dan angka mengenai isu penebangan hutan dan kemusnahan hidupan liar,” kata beliau pada Majlis Anugerah Kepimpinan Industri Minyak Sawit di Kuala Lumpur, malam tadi.

Zahid berkata, hari ini industri minyak sawit berdepan cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya dan terus menghadapi cabaran akibat kempen anti minyak sawit terutama di Kesatuan Eropah yang secara sistematik menjejaskan industri betrkenaan.

“Sebab itulah Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan menampilkan pensijilan yang mampan dan menggunapakai  amalan pertanian terbaik. Kita harus menjenamakan minyak sawit dengan baik kerana ia adalah minyak serba guna dan berkhasiat,” kata beliau.

Zahid kemudian menyampaikan Anugerah Kepimpinan Industrit Minyak Sawit ke-10 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Yusof Basiron sementara Ketua Pegawai Operasi, Sektor Perladangan Felda Global Ventures Holdings, S. Palaniappan menerima Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat.

Diperkenalkan pada 2008, anugerah itu memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh peneraju industri minyak sawit Malaysia yang memberi impak ke atas industri berkenaan pada tahun semasa atau tahun-tahun lalu.

Dalam pada itu, Zahid berkata Malaysia mesti berada di barisan hadapan untuk memanfaatkan teknologi baharu untuk menambah nilai kepada industri minyak sawit.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk menggunakan penjenteraan, pertanian jitu dan automasi dalam sektor huluan untuk mengurangkan penggantungan kepada tenaga buruh.

Tahun lepas, Malaysia menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit dengan jumlah eksport bernilai RM67 bilion.

Sumber: Bernama

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: