News!!

Kita Dijerut Dengan Common Law & Equity Inggeris Semenjak 1786 Lagi?

Sedar ataupun tidak, suka mahupun terpaksa, dari zaman nenek moyang sehinggalah sekarang, kita masih terus mendukung “Sistem Perundangan Penjajah” dalam mentadbir negara. Kesan dari itu, berlakunya bermacam masalah dan penyakit sosial umpama kudis yang kini semakin membarah. Admin kongsikan sedikit latar belakang mengenai “Undang-undang ciptaan penjajah ini” agar kita sedar diri atau masih lagi mahu selesa dengan keadaan yang sedia ada.

BERTAPAK dan merebaknya Common Law dan Equity Inggeris di Tanah Melayu mulai 1786 adalah disebabkan oleh penjajahan. Pendapat ini didukung kesarjanaan ramai pihak termasuk mendiang Prof. G.W. Bartholomew, pakar undang-undang Common Law Inggeris di Universiti Singapura pada tahun 1967.

Pendapat ini memang diterima secara am tetapi selepas kemerdekaan belum ada usaha tempatan untuk memperkenalkan nilai-nilai tempatan di dalam nas, falsafah dan penghakiman tempatan. Ruang dan peruntukan membenarkan syarat-syarat tempatan ada disebutkan di dalam Piagam-piagam keadilan atau Charter of Justice yang dikuatkuasakan Inggeris semenjak 1807 hingga 1956.

Setakat ini hanya perjuangan syariah atau perundangan Islam yang bangkit untuk sama setara mentadbir serta melaksanan kehakiman Islam. Itupun hanya dari sudut undang-undang keluarga.

Pandangan Bartholomew itu diasaskan pada bukti-bukti perancangan Inggeris di India, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Piagam Undang-undang Sivil 1807, 1826 dan 1873 cukup nyata mencerminkan pendapat ini. Akhirnya, setahun sebelum merdeka, Akta Undang-undang Sivil 1956 diperbuat dan dikuatkuasakan.

Di dalam instrumen piagam-piagam perundangan ini didapati peruntukan “mahkamah hendaklah pada menjalankan pentadbiran dan menegakkan keadilan mengguna dan memakai common law seperti di England pada 7 April 1956…”

Di bawah seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 memang ada klausa yang menyebut tentang “penyesuaian dengan keadaan tempatan dari semasa ke semasa”.

Soalnya, apakah butiran ubah suai yang telah diperbuat supaya undang-undang sivil kita tidak rata-rata dicorak dan ditentukan oleh common law Inggeris dan persekitarannya. Soalan inilah yang kini perlu dijawab dan diberi perhatian serius kerana undang-undang negara amat berpengaruh dan berkuasa mewujudkan sistem dan budaya yang tersendiri.

Sebahagian Ordinan Undang-undang Sivil 1956 bagi Semenanjung Tanah Melayu berasal daripada peruntukan Piagam Keadilan 1807 (Charter of Justice 1807). Undang-undang ini yang dijadikan oleh Kapten Francis Light, penguasa Syarikat India Timur (East India Company – EIC) sebagai undang-undang utama di Pulau Pinang mengawal perdagangan, ketenteraman awam, jenayah, kontrak dan hal ehwal sivil yang lain.

Sultan Abdullah Makaram Kedah diriwayatkan begitu intim dengan Francis Light, bersetuju sahaja memajakkan Pulau Pinang kepada EIC pada tahun 1791 dengan habuan 6,000 dolar Sepanyol setahun.

Pada tahun 1800 pula Seberang Perai dipajakkan kepada pihak sama dengan ‘pengeras’ 4,000 dolar Sepanyol. Antara syarat yang dikenakan ialah hubungan muhibah persahabatan dan jika Kedah diserang oleh Siam, Light hendaklah membantu mengusir musuh tersebut.

Inggeris melalui Light tidak menepati syarat membantu Kedah jika diserang. Dari segi undang-undang perjanjian atau triti, Pulau Pinang sepatutnya diambil balik atau dikuasai semula oleh Kedah. Perkara ini tidak pernah dilakukan.

Akan menjadi satu kes penting lagi menarik jika abaian ini diteliti semula dan diambil tindakan undang-undang sivil.

Di selatan Semenanjung pula, Stamford Raffles berintim dengan Temenggung Hussein yang menguasai Pulau Temasik atau Singapura. Akhirnya pada 1819 Singapura lepas ke tangan Inggeris dengan habuan di raja 3,000 dolar Sepanyol setahun.

Pada 1826 Piagam Keadilan tahun itu dikuatkuasakan pula di Singapura dan Melaka di ambang penubuhan Negeri-negeri Selat. Britain mentadbir Pulau Pinang, Melaka dan Singapura di bawah Piagam Keadilan 1826. Syarat undang-undang common law hendaklah dikuatkuasakan tertakluk kepada “ubah suai tempatan” atau local conditions terus tidak diberi perhitungan yang serius.

Wajar disebut bahawa pihak-pihak di raja tidak tampak tampil untuk memberi pembelaan kepada wilayah mereka yang dipajakkan. Perjanjian Inggeris-Belanda (Anglo Dutch Treaty) 1824 membutirkan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura sebagai jajahan British sementara Bencoolen (Bengkulu atau Bangka Hulu) diletakkan di bawah jajahan Belanda.

Di sebalik latar belakang sedemikian, undang-undang common law Inggeris dan equity terus menerus diutamakan dalam pelbagai bidang dan kegiatan. Namun klausa “ubah suai mengikut keadaan tempatan” tidak pernah diungkit atau disabitkan dengan tuntutan perundangan Semenanjung.

Keadaan di Sabah dan Sarawak juga begitu mudah dikawal di bawah Enakmen Undang-undang sivil masing-masing walaupun hal ehwal tanah penduduk asal (native land) diberi sebutan dan perhatian khas.

Menjelang 1874 iaitu tahun Perjanjian Pangkor dikuatkuasakan susulan peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak, Perak, ‘angin pentadbiran orang putih’ bertiup kencang. Menjelang 1889 Perak, Selangor Negeri Sembilan dan Pahang sebagai negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dinaungi British.

Sultan masing-masing hanya diberi kuasa mentadbir adat dan agama Islam sementara Inggeris mengukuhkan sistem BAnya (penasihat British). Pada masa ini Piagam Undang-undang Sivil 1873 dikuatkuasakan. Common law jenayah dan kanun prosedur jenayah British mula dikuatkuasakan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Kes Ujian

Salah satu kes ujian sama ada keadilan common law Inggeris benar-benar mengizinkan “ubah suai tempatan” atau tidak telah diuji melalui kes Fatimah lwn. Logan 1871. Kes ini berkaitan tuntutan hak perkahwinan dan perceraian di sisi agama Islam yang tidak dibenarkan oleh mahkamah sivil Pulau Pinang.

Beberapa kes yang semusim dengan Logan, Ong Cheng Neo (1872) dan lain-lain juga tidak mendapat pertimbangan wajar daripada mahkamah sivil common law Negeri-negeri Selat. Mahkamah mengetepikan rayuan berasaskan undang-undang keluarga penduduk tempatan. Sekali gus Inggeris sendiri tidak mematuhi piagam Charter of Justice mereka.

Kes paling terkenal yang tidak mengendahkan “tuntutan keadaan tempatan” ialah perbicaraan Natrah atau Hertogh 1950 di Singapura yang mencetuskan rusuhan kaum. Natrah dilarang mahkamah common law Inggeris daripada menetap dan mengahwini Mansor Adabi di pulau itu walaupun atas alasan sah di sisi Islam.

Natrah dilarikan oleh ibu bapanya balik ke Belanda lantas memisahkan antara Mansor dan Natrah buat selama-lamanya. Kes ini berupa kemuncak ketidakadilan Piagam Keadilan atau Charter of Justice 1873 atau yang sebelumnya.

Kini Malaysia masih dikongkong oleh seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956. Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak penerimaan dan pemakaian common law dan equity ke dalam sistem perundangan tetap gah dan utama. Suara untuk meminda kedua-dua seksyen ini masih semacam belum didengar.

Para hakim peringkat tinggi dan atasan belum pernah menyuarakan betapa perlunya Malaysia menerap nilai-nilai perundangan tempatan. Nas-nas tempatan seperti nilai-nilai Rukunegara, keadilan melalui perbilangan adat Melayu, dan sebagainya amat layak dijadikan asas dan punca keadilan untuk masa hadapan.

Sebenarnya seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 yang diceduk dari versi-versi 1807, 1826 dan 1873 membenarkan penggunaan “keadaan tempatan yang diperlukan” sebagai asas memasukkan petua-petua baru. Tetapi usaha ini tidak mendapat sambutan daripada pengamal undang-undang kita sendiri.

Keadaan ini mesti digegarkan lagi supaya kesedaran perundangan yang menyeluruh tersebar luas. Hakikatnya – kelumrahan common law dan equity Inggeris yang berasal dari zaman Anglo Saxon lagi (1066) lagi, memang tidak dinafikan.

Namun memakai segala prinsip turutan atau precedent kes-kes mereka tentunya tidak bijak dan tidak membantu memupuk keutuhan guaman serta kehakiman negara bangsa yang berdaulat.

Kemaraan sistem perundangan dan kehakiman syariah memang amat dibanggakan setakat ini. Tetapi ia sewajarnya mempunyai nas dan prosedur guaman serta kehakiman yang setara. Begitu juga penarafan para hakim syariah. Penyelarasan pentadbiran syariah di negeri-negeri amat diperlukan demi keselarasan keadilan.

Di samping itu usaha gigih untuk meminda Akta Undang-undang Sivil 1956, harus diutamakan agar nas dan prinsip perundangan melalui Rukunegara, adat, dan kebijaksanaan tempatan beroleh tahap utama dalam falsafah dan amali perundangan tanah air.

Penulisan dari Dr Rais Yatim – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia

Sumber: Ismaweb

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: