News!!

Bekas Penghuni Rumah Kebajikan Merana Tiada Pengenalan Diri, Salah Siapa?

SEORANG wanita bekas jagaan rumah perlindungan mengadu sering ditindas dan ditipu oleh majikan yang mengambilnya bekerja hanya kerana dia tidak memiliki kad pengenalan.”Apabila tiada IC (kad pengenalan) saya sering kena tindas. Kalau kerja kilang, gaji orang lain dapat sembilan ratus (ringgit), saya hanya dapat lima ratus (ringgit) sahaja,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Nisha.Dia pernah cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tetapi Nisha hampa apabila agensi kerajaan itu memberitahu ia sudah lepas tanggungjawab kerana umurnya sudah lebih 18 tahun.

Kata Nisha, dia ada surat pengesahan daripada JKM yang mengatakan dia anak bekas jagaan rumah kebajikan dan tidak memiliki kad pengenalan.

Surat pengesahan itu dikeluarkan bagi tempoh tertentu, misalnya enam bulan.

Nisha, 27, adalah antara lebih kurang 1,000 bekas jagaan JKM yang sehingga ini masih bukan warganegara kerana tidak memiliki kad pengenalan, kata Presiden Persatuan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Muhammad Khairul Hafiz.

Perbak adalah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak bekas penghuni rumah kebajikan.

 

Selepas rumah kebajikan, mereka hidup terbuang

Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Rohani Abdul Karim baru-baru ini mengumumkan pengenalan kad identiti khas untuk anak-anak bekas jagaan kebajikan yang terbuang setelah tidak lagi layak tinggal di rumah kebajikan.

Perbak dalam reaksinya menggesa kementerian supaya jangan bersikap acuh tidak acuh menangani isu kemanusiaan ini.

Menurut laporan Kosmo, kad kenal khas tersebut akan diberikan kepada anak bekas jagaan kebajikan yang berusia 18 tahun ke atas dan telah keluar dari rumah kebajikan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat pekerjaan dan pendidikan.

Menurut Khairul, masalah Nisha dengan kad pengenalan ini timbul kerana JKM tidak menyemak surat beranak wanita itu ketika dia diserahkan kepada rumah kebajikan semasa berumur empat tahun.

Menurut Nisha, dia pernah ada kad pengenalan tetapi dirampas oleh pihak berkuasa pada 2010, dua tahun selepas dia meninggalkan rumah kebajikan di Arau, Perlis.

“Sewaktu umur 4 tahun, saya dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak oleh bapa saya. Saya ada surat beranak. Tetapi tiba-tiba dua tahun saya keluar dari JKM, IC saya kena rampas sebab kata saya guna identiti kakak saya.

“Apalah nasib saya. Kalau betul itu bukan surat beranak saya kenapa dari awal mereka tidak kesan. Saya mahu IC saya semula,” katanya.

Dia diserahkan kepada keluarga angkat “begitu saja” selepas berumur 18 tahun dan JKM sekali lagi gagal memeriksa keadaannya selepas diserahkan kepada keluarga itu.

Di rumah keluarga angkatnya itu, Nisha berkata dia dilayan seperti hamba abdi.

“Saya rasa tertekan sangat. Mereka buat saya macam orang gaji. Suruh saya cuci tahi anjing. Buat macam-macam. Saya ikut saja kerana tiada tempat bergantung kalau mereka halau.

“Tapi lama-lama saya tak tahan dan minta mereka hantar balik ke rumah JKM,” katanya yang tinggal beberapa bulan dengan keluarga angkatnya itu.

Khairul mendakwa kecuaian jabatan itu turut menyebabkan ada anak bekas jagaan kebajikan yang sehingga sekarang tidak memiliki kad pengenalan.

Mira, 27, sehingga ini masih sukar dapat kerja tetap untuk menyara hidup biarpun sudah sembilan tahun berdikari, hanya kerana dia tiada kad pengenalan.

Dia yang berketurunan India ditempatkan di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Kuala Lumpur semasa berumur 3 tahun kerana kes anak terabai.

Surat beranaknya bagaimanapun tidak ada status kewarganegaraan dan JKM dengan cuainya tidak mengemas kini surat beranaknya selama 15 tahun Mira dalam jagaan mereka.

“Selepas keluar, saya sukar cari kerja. Mula-mula nak hidup saya gunakan duit simpanan JKM dua ribu (ringgit). Saya jimat dan bayar duit sewa bilik.

“Ramai tidak mahu ambil kerja sebab takut saya tiada IC. Mujur ada mak angkat bantu beri saya tinggal di rumahnya lima bulan. Dia dulu pun bekas jagaan JKM,” kata ibu anak dua yang kini menetap di Pulau Pinang.

 

Masuk Islam selepas keluar rumah kebajikan

Seperti kebanyakan rakan-rakannya anak jagaan kebajikan berketurunan India, Mira masuk Islam setahun selepas keluar dari rumah kebajikan.

“Masa umur saya 19, saya ke Kedah. Saya peluk Islam dan belajar sekolah pondok di Sungai Petani. (Selama) Setahun. Selepas itu saya cuba hidup berdikari,” katanya.
Dengan masuk Islam, Mira boleh bergantung kepada kad identiti beragama Islam yang dikeluarkan oleh jabatan agama dan surat pengesahan bekas penghuni JKM agar tidak ditangkap pihak berkuasa.

Mira kini berada di Putrajaya untuk memohon kad khas yang diumumkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi bekas penghuni rumah JKM.

Namun bagi Nisha, dia pun mahu masuk Islam kerana sudah sebati dengan cara hidup Islam di JKM.

“Saya hendak masuk Islam. Bukan nak main-main. Saya dari kecil duduk di rumah kebajikan. Dulu saya pergi JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dia (pegawai) kata dengan saya, awak boleh masuk tapi tiada dokumen (pengenalan diri) masa depan susah.

“Kebanyakan kawan-kawan saya yang India, bila mereka keluar rumah (JKM) banyak yang masuk Islam. Ada kawan saya kenal dua tiga orang.

Difahamkan, pihak KPWKM kini masih dalam proses mengenal pasti identiti dan mengesan bekas penghuni JKM kerana ia tidak mempunyai sebarang rekod mengenai mereka.

The Malaysia Insight masih menunggu maklum balas daripada kementerian. – 7 Oktober, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: