News!!

Larangan Membuka Aurat Sudah Termaktub Semenjak 1985 – JAHEAIK

UNDANG-UNDANG yang melarang orang Islam membuka aurat sudah termaktub sejak 1985, kata jabatan agama Islam negeri Kelantan dan ia tidak seharusnya menjadi isu yang diperbesarkan.

Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) Che Mohd Rahim Jusoh, di bawah Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985, umat Islam yang berpakaian tidak menutup aurat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan.

“Undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam me­makai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat,” katanya.

Sebelum diambil alih kerajaan PAS pada 1990, Kelantan diperintah oleh Barisan Nasional.

Pada 25 September lalu, seorang lelaki Islam didenda RM1,000 oleh pihak berkuasa agama Kelantan kerana memakai seluar pendek untuk bermain futsal.

Wan Khairul Hayye Wali diberikan notis yang mengarahkannya menghadiri sesi kaunseling dan sekiranya gagal berbuat demikian akan dihadapkan ke mahkamah syariah dan boleh didenda sekiranya didapati bersalah.

“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dengan bukan Islam di negeri ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Mengulas insiden itu pengarah Jaheaik berkata, tindakan yang sama juga akan diambil terhadap mereka yang bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut.

“Bagaimanapun setakat ini, tidak ada lagi tindakan diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Katanya, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan tersebut.

“Peraturan tersebut bukan untuk menghukum, sebaliknya ingin memberi kesedaran supaya mereka lebih bersopan dalam adab berpakaian.

“Setakat ini, dua orang telah dikenakan denda berhubung kesalahan tersebut,” katanya. – 4 Oktober, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: