News!!

Bawa Kereta Seperti Dirasuk, Budaya Rakyat Malaysia?

BUDAYA dan tabiat memandu laju antara sebab rakyat Malaysia sering kali melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.

Kosmo! pada 11 September lalu, melaporkan rakyat Malaysia didapati gila memandu melebihi had laju apabila lebih 90 peratus atau hampir 200,000 kes kesalahan jalan raya dilaporkan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) sejak 15 April hingga 16 September lalu.

Menurut Pakar Psikologi Trafik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Rozmi Ismail, kecenderungan untuk berasa kemalangan tidak berlaku ke atas diri sendiri sebaliknya hanya berlaku kepada pengguna lain turut menjadi salah satu pendorong kepada pemandu untuk memandu laju.

“Walaupun sudah tahu ia adalah satu kesalahan, namun mereka tidak menganggapnya sebagai satu perkara serius yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain.

“Jika disaman sekali pun mereka rasa masih mampu membayarnya sekali gus mengambil remeh undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, pemandu di Malaysia seolah-olah mempunyai dua personaliti.

“Di luar kenderaan kita baik, namun masuk sahaja ke dalam kereta, kita seperti dirasuk dengan memandu laju di atas jalan raya,” ujarnya.

Beliau yang sebelum ini bertanggungjawab menjalankan beberapa kajian khusus tentang sikap pemandu di jalan raya, menyifatkan selagi perkara asas iaitu tingkah laku individu itu sendiri tidak diubah, masalah yang semakin menghantui negara tidak akan selesai.

“Kita kena ubah pemikiran. Selagi sikap individu tidak diubah, selagi itu kadar kesalahan jalan raya di negara ini tidak akan berkurangan,” jelasnya.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu serius melaksanakan hukuman atau penguatkuasaan kerana tanpa usaha tersebut pemandu tidak akan serik untuk melakukan kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye mempersoalkan, kerajaan sering melaungkan pembudayaan minda kelas pertama kepada rakyat, tetapi adakah budaya itu benar-benar diamalkan.

“Saya melihat para pemandu Malaysia berbeza dengan pemandu-pemandu di negara lain. Perbezaan ini adalah berkaitan dengan budaya dan cara hidup mereka.

“Di negara-negara maju, mereka mengaplikasikan aspek keselamatan sebagai suatu perkara penting dalam kehidupan. Bila naik kenderaan, mereka akan sentiasa berhati-hati agar berasa selamat. Segala aktiviti semasa dalam perjalanan, akan dipastikan mengikut peraturan,” katanya.

Jelas Lam Thye, dari sudut undang-undang dan pengadilan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) wajar menjadikan Singapura dan Australia sebagai negara contoh dalam pengawalan undang-undang.

“Di Singapura dan Australia, pihak berkuasa mereka sangat tegas mengambil tindakan terhadap pemandu yang melanggar peraturan. Bagi kesalahan memandu laju dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain, mereka boleh ditangkap serta-merta dan boleh dikenakan hukuman penjara oleh pihak berkuasa di sana.

“Denda dan undang-undang mereka yang ketat membuatkan orang ramai takut untuk melakukan kesalahan.

“Situasi berkenaan pula berlainan di Malaysia, hanya denda maksimum sehingga RM300 dikenakan bagi kesalahan memandu laju,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, pelbagai kempen kesedaran jalan raya dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi seperti PDRM, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Kita selalu mengingatkan orang ramai untuk mematuhi undang-undang jalan raya kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa mereka tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.
Sumber: Kosmo Online

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: