News!!

75% Rakyat Malaysia Sukar Untuk Menyimpan ? – BNM

RAKYAT Malaysia tidak beringat apabila tiba bab berbelanja, menyebabkan hutang yang tinggi dan persediaan kewangan yang rendah hingga menjadikan mereka terdedah kepada kejutan kewangan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour.

“Pemerhatian ini selalunya benar terutamanya di kalangan generasi sekarang ini. Mereka lebih bersemangat mengikuti gaya hidup digital terkini,” katanya pada Persidangan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) 2017 di Kuala Lumpur hari ini.

Rashid menyebut satu kajian dibuat Institut Kewangan Asia pada 2015 yang mendapati majoriti belia akan hidup dengan kos pinjaman yang tinggi – 38% belia bergantung kepada pinjaman peribadi, sementara 47% terlibat dalam pinjaman kad kredit mewah.

“Kebiasaannya mereka dapati hutang-hutang ini membebankan dan membawa kepada masalah kewangan.”

Rasheed berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini, data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan  lebih daripada 3,400 peminjam berumur antara 20 dan 30 tahun meminta bantuan khidmat agensi itu, berbanding 3,450 peminjam pada 2016.

Beliau juga menyebut Kajian Kemasukan dan Keupayaan Kewangan yang dibuat pada 2015 yang mendapati lebih daripada 75% rakyat Malaysia sukar untuk menyimpan walaupun sebanyak RM1,000 untuk kecemasan.

Kajian itu mendapati 32% rakyat Malaysia hanya dapat menampung perbelanjaan untuk seminggu, sekiranya mereka hilang punca pendapatan.

Rasheed berkata setiap keluarga perlu ada penimbal kewangan untuk tiga ke enam bulan dalam simpanan.

Rasheed berkata majoriti rakyat Malaysia tidak mempraktikkan perancangan kewangan jangka masa panjang iaitu 40% beranggapan dari segi kewangan mereka bersedia untuk bersara, walaupun kos sara hidup di Malaysia makin meningkat.

Garis kemiskinan di Malaysia pada masa ini ialah RM950 sebulan. Dan berdasarkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seorang pesara memerlukan sekurang-kurangnya RM228,000 apabila bersara supaya dapat menjana penadapatan di atas garis kemiskinan untuk 20 tahun akan datang.

Bagaimanapun, menurut Institut Penyelidikan Khazanah, simpanan purata KWSP bagi mereka yang berumur 51-55 tahun adalah kira-kira RM160,000.

“Kurangnya kesedaran kepada pentingnya simpanan yang cukup untuk bersara boleh membawa kepada kepayahan melalui hidup selepas bersara,” kata Rasheed.

Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia masih kurang faham tentang risiko dan keuntungan, serta tidak dapat membuat keputusan kewangan yang rasional.

“Kita tetap terdedah kepada penipuan dan penyalahgunaan kewangan.”

Rasheed juga memetik rekod polis iaitu jumlah penipuan kewangan yang dilaporkan di Malaysia telah meningkat kepada 1,883 kes antara 2015 hingga suku pertama 2017, mengakibatkan kerugian sebanyak RM379 juta.

“Daripada pemerhatian ini, masih banyak yang perlu dilakukan bagi merealisasikan  kestabilan kewangan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – 3 Oktober, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: