News!!

Memahami Fungsi Majlis Raja-Raja, Menurut Perlembagaan Persekutuan

Sedikit perkongsian agar kita faham dan jelas mengenai kedudukan sebenar kekuasaan Institusi Raja kita yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

1. Yang duduk di atas kerusi roda ini ialah YAA Tun Abdul Hamid Mohamad, Mantan Ketua Hakim Negara. Beliau hadir menyampaikan ucaptama semasa Seminar 120 Tahun Majlis Raja-Raja Melayu pada 19 September lalu, dan berkongsi sangat banyak perkara dan pengalamannya semasa menjawat jawatan tersebut.

2. Sekalipun uzur, ia tidak menghalang beliau untuk hadir menyampaikan ucaptama atas jemputan UKM. Ini adalah biasa bagi beliau, malah pernah beberapa kali beliau hadir atas jemputan majlis ilmu sebegini dengan diusung di atas katil dari hospital, semata-mata memenuhi jemputan, juga bagi terus berkongsi dan mengingatkan tetamu tentang kepentingan Islam, Melayu dan institusi Raja di negara ini.

3. Dalam masa bertugas sebagai Ketua Hakim Negara beliau juga memerhati malah terlibat rapat dengan institusi Majlis Raja-Raja (MRR) Melayu, yang pada hemat beliau sesuatu yang bersifat sebagai pasak penimbang dan kestabilan negara.

4. Beliau menyatakan dalam ucaptamanya bahawa di dalam Malaysia, tidak pernah ada sesiapapun yang lebih tinggi dari undang-undang dan perlembagaan. Itu jelas dan perlu difahami semua.

5. Atas desakan wakil Raja-Raja Melayu dan UMNO, walaupun ditentang oleh Parti Buruh Malaya, Suruhanjaya Reid akur untuk mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing, memperuntukkan pelantikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) juga penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu (MRR).

6. Kedudukan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing adalah sebagai raja berpelembagaan. Bentuknya sama dengan kedudukan YDPA, dan berasaskan model Raja England.

7.Semasa beliau masih berjawatan, beliau sendiri pernah mengadili sebuah kes di mana seorang Raja Melayu dari sebuah negeri diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar sejumlah USD 1 juta kepada sebuah bank atas sebab yang tidak beliau nyatakan.

8. Raja Melayu ini pada ketika dan saat itu masih lagi merupakan ketua kerajaan dan sultan yang masih bersemayam di takhta kerajaan di negerinya sendiri.

9. Begitulah beliau menggambarkan betapa tingginya perlembagaan negara ini, hatta seorang raja pun tidak terlepas darinya.

10. Beliau juga ada mengingatkan akan tugas MRR ini bukanlah berdasarkan telunjuk atau pujuk rayu belas mana-mana pihak. MRR bertindak atas perlembagaan yang telah diperuntukkan ke atas mereka, sesuai dengan istilah Raja Berpelembagaan.

11. Sesungguhnya, Raja-Raja kita sejak Merdeka adalah Raja-Raja yang rasional, berhemah tinggi, meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan lain dan melaksanakan fungsi mereka seperti apa yang sepatutnya dilakukan.

12. Menurut Tun, buktinya, kita rakyat seperti dapat mengagak siapa yang akan dilantik sebagai YDPA apabila MRR bersidang untuk tujuan itu.

13. Ini menunjukkan kematangan yang tinggi MRR dalam membuat pertimbangan, sedangkan mereka boleh sahaja bertindak mengikut budi bicara mereka sendiri.

14. Tun juga menggambarkan kegusarannya apabila menyatakan bahawa rakyat kini hanya nampak akan fungsi MRR sebagai institusi yang menentukan tarikh puasa dan hari raya, selain melantik YDPA semata-mata. Sedangkan fungsi MRR lebih dari itu.

15. Selepas menggariskan lebih 20 tugas dan tanggungjawab MRR yang lain, beliau turut menyentuh isu-isu berkaitan perlembagaan dan MRR, antaranya berkaitan pindaan Perkara 153.

16. Tun berkata, untuk meminda Perkara 153 memerlukan persetujuan MRR. Peruntukan Fasal (5) Perkara 38 pergi lebih jauh dari itu. MRR perlu dirundingi terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa perubahan tentang dasar menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.

17. Tun melontarkan persoalan untuk difikirkan semua, adakah perubahan dasar mengenai pengambilan pelajar-pelajar ke universiti awam daripada sistem kuota kepada meritokrasi dalam tahun 2002 itu termasuk dalam apa yang dimaksudkan oleh Fasal (5) Perkara 38 dan jika ya, adakah MRR dirundingi terlebih dahulu?

18. Selain itu, Tun menjelaskan akan seperkara pertama yang mesti difahami rakyat teramai, ialah kedudukan Raja-Raja kita sebagai Raja-Raja berpelembagaan.

19. Kedua MRR bukanlah Badan Eksekutif (Executive), Badan Perundangan (Legislature) atau Badan Kehakiman (Judiciary) yang merupakan tiga badan kerajaan yang berkuasa membuat keputusan dalam bidangkuasa masing-masing tertakluk kepada pembahagian kuasa (separation of powers).

20. Evolusi politik di England yang mengambil masa beratus-ratus tahun menukarkan status rajanya dari berkuasa mutlak kepada raja berpelembagaan, begitu juga di negara ini. Ini bermaksud apabila raja bersedia menyerahkan kuasanya untuk dilaksanakan oleh jemaah menteri, ia memberi makna persetujuan untuk mengekalkan Raja sebagai Ketua Badan Eksekutif, melainkan di dalam beberapa perkara tertentu di mana Raja perlu mengikuti “nasihat” jemaah menteri.

21. Dalam konteks ini, perkataan “nasihat” lebih sedap didengar daripada “arahan”. Kerana hal inilah menurut Tun, apabila kita menerima pakai sistem raja berpelembagaan ala British, maka kita juga perlu mempelajari dan menerima pakai konvensyennya.

22. Tun berpendapat bahawa krisis perlembagaan yang pertama pada tahun 1983 mengenai fungsi YDPA memperkenankan rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ia menjadi akta; lihat Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan sebenarnya tidak sepatutnya berlaku, jika kedua pihak faham dan menghormati konvensyen perlembagaan.

23. Tun Abdul Hamid menegaskan bahawa menerima pakai sistem raja berpelembagaan tanpa konvensyennya adalah umpama mentafsir Al-Quran tanpa Hadis.

24. Sememangnya, perkara-perkara yang perlu rundingan MRR semestinya datang daripada kerajaan. Demikian juga dengan perkara-perkara yang perlu dibawa kepada MRR untuk ditimbang dengan teliti. Inilah pemahaman yang paling asas dan penting sekali dijelaskan semasa membuat penggubalan perlembagaan.

25. Tun Abdul Hamid dalam ucaptamanya turut membidas akan usaha sesetengah pihak seperti NGO dan individu-individu yang beria-ia sekali mahu MRR menubuhkan mahkamah khas bagi membicarakan kes murtad atau status agama anak bukan Islam yang ibu atau bapanya memeluk Islam.

26. Beliau bukan tidak membantu kumpulan ini, tetapi juga tidak melayan permohonan tersebut malah tidak setuju ia didengar oleh Mahkamah Khas MRR yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara.

27. Beliau berpendapat, ini akan hanya meletakkan orang-orang murtad juga anak hasil perkahwinan sivil itu lebih tinggi dari kedudukan YDPA dan Raja-Raja Melayu, kerana hanya kes berkaitan YDPA dan Raja-Raja Melayu sahaja yang dibicarakan dalam mahkamah tersebut.

28. Beliau juga menegas dan mengingatkan betapa MRR ini bukanlah kaunter aduan dimana NGO-NGO atau rakyat boleh mengadu dan memohon apa sahaja kemahuannya. MRR dan setiap ahlinya adalah institusi dan Raja-Raja Melayu dan YDP yang telah ditetapkan oleh perlembagaan, dan kuasanya juga terhad dalam ruang lingkup perlembagaan.

29. Namun beliau secara peribadi tetap berpendapat bahawa dalam hal ehwal yang melibatkan dasar negara, situasi di mana rakyat juga mengharapkan NGO membantu dan mendengar pandangan mereka, maka munasabah sekiranya ia didengar oleh kerajaan sebelum dibawa merujuk kepada MRR untuk diberikan pula pandangan MRR, sebelun keputusan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

30. Tun Abdul Hamid dikahir ucaptama beliau menjelaskan lagi bahawa sebarang tuntutan, laporan, memorandum atau permintaan dari NGO atau rakyat hendaklah melalui saluran yang betul. Beliau menegaskan juga bahawa sebarang tunjuk perasaan atau demonstrasi yang berlandaskan emosi atau melalui perbuatan kurang sopan di hadapan pintu masuk Istana Negara tidak sewajarnya dilayan.

31. Menurut beliau lagi, orang-orang yang tidak tahu menghormati adat dan adab berhadapan Raja-raja dan kesultanan Melayu tidak patut dilayan oleh Majlis Raja-Raja.

32. Jika setiap Raja-Raja Melayu dan institusi Majlis Raja-Raja Melayu boleh bertindak, tunduk dan akur menurut landas-landas perlembagaan dan undang-undang, mengapa tidak kita?

Sumber: The Patriots

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: