News!!

Tindakan Pantas Pelajar Selamatkan Nyawa Rakan – Tragedi Kebakaran STIAS

REMBAU 28 SEPTEMBER 2017. Keadaan asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kampung Nerasau,Kota yang terbakar hampir 80 peratus. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

REMBAU: Tindakan pantas seorang pelajar perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa yang terjaga daripada tidur sebaik melihat percikan api di siling asrama, menyelamatkan 36 rakannya yang lain.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Norazam Khamis, berkata Nur Atirah Izzati Shamsul Murfiz, 15, pada mulanya menyangka percikan api yang dilihat kira-kira jam 1.40 pagi adalah mimpi, tetapi kemudian tersedar semula dan bertindak mengejutkan rakannya supaya keluar dari bangunan satu tingkat itu.

Katanya, warden yang kemudian menyedari kejadian itu, menghubungi bomba yang tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Kira-kira 80 peratus asrama sementara itu termasuk katil, tilam dan barangan milik pelajar musnah namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Api dikawal dalam tempoh 15 minit dan dipadam sepenuhnya daripada merebak ke dewan dan surau yang terletak di bahagian belakang asrama kira-kira 30 minit kemudian,” katanya selepas mengadakan lawatan di asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Kampung Nerasau, Kota, di sini.

Awal pagi tadi, asrama sementara perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa yang menempatkan seramai 37 pelajar berusia 13 sehingga 17 tahun, terbakar.

Asrama itu terletak kira-kira dua kilometer dari Sekolah Tinggi Islam As Sofa dan asrama pelajar lelaki yang terletak di Chengkau di sini.

Norazam berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya akan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) bagi menyiasat unsur lain termasuk khianat dan kecuaian.

Katanya, pihaknya percaya percikan api yang dilihat seorang pelajar berpunca daripada peralatan elektrik di dalam asrama itu.

“Sekolah dan asrama ini mempunyai pelan keselamatan ditetapkan selepas pernah didenda pada tahun 2014 kerana tidak mengikut tahap keselamatan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya sudah memeriksa 40 pusat tahfiz berdaftar di negeri ini dan mengesahkan 10 daripadanya tidak mengikut piawai keselamatan ditetapkan termasuk tiada alat pemadam kebakaran.

Katanya, terdapat kira-kira 30 lagi pusat tahfiz di negeri ini yang akan diperiksa dalam tempoh terdekat.

Sumber: BH Online, NST

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: