News!!

“TAKDIR” – Yang Dikambinghitamkan dan Dipersalah Bila Berlaku Musibah

Tertarik dengan penulisan dari ZF Amir. Admin kongsikan pendapat dari beliau mengenai pandangan dari segelintir masyarakat Melayu mengenai isu di atas. Pastinya ada pelajaran yang wajar kita manfaatkan.

MINGGU lalu, seorang wanita bertanya kepada saya melalui Facebook Messenger berkenaan tulisan saya bertajuk ‘Mencari semula pendidikan kita yang hilang’ di kolum ini.

Pertanyaannya penuh emosi, seolah-olah tidak dapat menerima tesis awal saya berkait dengan tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah lebih seminggu yang lalu. Katanya, semua yang berlaku sudah ditulis dan ditentukan.

“Mengapa menyalahkan pusat tahfiz? Apa gunanya melawan takdir?” soalnya dalam mesej tersebut.

Saya tidak menjawab soalannya dan membiarkan kotak mesej itu kosong dipenuhi dengan emosinya selama beberapa hari.

Za’ba pada 1932 melalui bukunya Falsafah Takdir terbitan Jelutung Press telah menulis panjang lebar mengenai kesalahfahaman masyakarat Melayu pada waktu itu. Dalam bab pertama, Iktikad Nasib Dengan Iktikad Takdir beliau menulis:

“Bahawa iktikad Islam yang disebut takdir itu sangatlah malang apabila difahamkan oleh orang-orang kebanyakan sebagai ‘nasib’ atau ‘janji azali’. Sesungguhnya terlalu jauh daripada ertinya yang sebenar… Iktikad yang demikian itu menghilangkan kebebasan berikhtiar pada manusia. Hal itu menghapuskan kewajipan manusia menanggung akibat perbuatannya sendiri pada segala tingkah laku dan amalannya… Sesungguhnya mengikut ajaran iktikad takdir yang sebenar, manusia ini bukanlah diperanakkan dengan nasib yang telah ditetapkan. Manusia sendiri dikehendaki membuat nasibnya itu dengan amal dan usaha ikhtiarnya sendiri.”

Membaca semula tulisan Za’ba dalam Falsafah Takdir yang ditulis 85 tahun lalu ini sebenarnya membangkitkan persoalan yang lebih menyakitkan terhadap tragedi kebakaran pusat tahfiz tersebut; mengapa anak sekecil 11 tahun ditakdirkan untuk menjadi pembunuh?

Statistik Kanak-Kanak 2016 seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan menyatakan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dadah meningkat daripada 22.2% pada 2014 kepada 29.7% pada 2015. Jumlah pesalah juvana pada 2015 pula adalah sebanyak 4,569 orang dengan 4,152 kes adalah kesalahan pertama dan 417 lagi kesalahan berulang.

Ini bermakna, isu masalah sosial di Kampung Datuk Keramat bukan isu terpencil. Ia adalah isu sosio-ekonomi. Tragedi pusat tahfiz terbakar dan mengorbankan 23 nyawa ini adalah masalah ketidaksamarataan atau inequality. Hari ini bom jangka ini meletup dalam skala yang kecil dan masih menyimpan 1,001 masalah lain yang akan meletup jika masalah pengagihan ekonomi yang mengakibatkan orang miskin semakin miskin tidak diselesaikan.

Dalam bahasa lain, punca kebakaran ini bukanlah 6 atau 7 anak yang berkomplot untuk melakukan jenayah. Tetapi punca kebakaran yang sebenar adalah ketidakadilan sosial. Anak-anak yang hidup dan mungkin lahir di tengah Kuala Lumpur ini adalah mangsa sebenar. Mereka mungkin bersekolah tetapi tidak menamatkan persekolahan. Apakah yang sedang berlaku sebenarnya?

Mengapa mereka berhenti sekolah? Mengapa mereka bergaul dengan orang yang salah? Mengapakah dadah atau ganja begitu mudah didapati oleh anak sekecil ini? Jika mereka bersekolah, mengapa sekolah atau pendidikan tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan jenayah terancang ini? Di manakah institusi keluarga ketika mereka, anak kecil ini sangat memerlukannya?

Apakah ini semua mengejutkan? Tidak, kerana memahami punca akar kepada permasalahan ini adalah perkara paling jujur yang perlu kita mulai sekarang. Pertama, tragedi ini bukanlah takdir. Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya The Colour of Inequality: Ethinicity, Class, Income & Wealth in Malaysia (2017) menegaskan: “Jurang pendapatan bulanan isi rumah antara golongan 20% teratas (kaya) dan 40% terbawah (miskin) dalam masyarakat kita semakin melebar, jika pada 1970 jurangnya hanyalah RM659 sebulan, kini perbezaan pendapatan bulanan antara golongan ini meningkat kepada RM11,768!”

Beliau juga menegaskan: “Hampir 20% daripada jumlah keseluruhan isi rumah Malaysia dikategorikan sebagai miskin… Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan separuh daripada keseluruhan pekerja di Malaysia memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,600 sebulan pada tahun 2015…Data daripada Bank Negara Malaysia pada tahun 2016 menunjukkan sekiranya seseorang rakyat Malaysa hilang punca pendapatan, hanya 1 daripada 10 mampu bertahan lebih dari 6 bulan, di mana 1 daripada 5 pekerja yang hampir bersara mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM10,000.”

Kedua, ini bermakna, anak-anak yang melakukan jenayah ini adalah mangsa kepada ketidakseimbangan ekonomi yang sedang membengkak dan menunggu masa untuk meletup ini. Mereka berhenti sekolah kerana sekolah tidak lagi menawarkan tempat kepada mereka. Guru tidak dapat memenuhi keperluan psikologi dan emosi mereka. Pendidikan untuk anak-anak ini hanyalah buku-buku latihan dan rejim autoritarian seperti seragam sekolah, bukannya sebuah model untuk mereka mencari role model serta motivasi untuk terus hidup.

Dan realitinya, anak-anak ini datangnya daripada keluarga miskin, yang berantakan kerana ekonomi menghimpit mereka. Lebih sukar, keluarga ini dihimpit oleh pembangunan di Wangsa Maju, Setiawangsa, Setapak, Titiwangsa malah KLCC. Realiti yang lebih pahit adalah, negara semakin maju dengan pembinaan puluhan kondominium yang berharga ratusan ribu mengelilingi Kampung Datuk Keramat dengan kemudahan stesen LRT yang semakin cekap, tetapi rakyatnya hidup semakin melarat. Kemajuan yang sedang dibina oleh kapitalis dengan kerjasama kerajaan ini hanya boleh dilihat, tetapi tidak boleh dirasai oleh golongan miskin ini.

Maka anak-anak yang menjadi mangsa ini mula berhenti bermimpi dan hilang harapan. Saat mereka berpaling dari keluarga kerana keluarga terlalu sibuk mencari rezeki dan saat mereka berpaling dari sekolah kerana sekolah bukan lagi tempat untuk mereka menerima pendidikan, saat itulah dadah dan jenayah mula menghampiri mereka.

Realitinya hari ini, putus asa adalah program yang ditanam ke dalam minda golongan bawahan. Untuk keluarga miskin, mereka dilarang untuk mempunyai impian atau cita-cita. Dan kesalahan anak kecil yang melakukan jenayah baru-baru ini adalah kerana mereka berhenti bermimpi dan berhenti berharap. Negara kita mungkin kaya, tetapi rakyatnya tidak.

Dan tragedi kebakaran pusat tahfiz ini adalah simptom kecil yang sedang melarat dan meletup, menunggu bom jangka lain yang sedang mengira detik. Ia bukan saja boleh berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur, tetapi ia boleh berlaku di tempat lain seperti Kuala Nerang atau Sungai Petani. Ada ribuan anak-anak lain dari keluarga miskin seperti mereka di seluruh negara, dan mereka inilah mangsa sebenar.

Hujung minggu lalu, ketika saya sedang berkira-kira untuk membalas mesej wanita terbabit, sebuah mesej lain masuk lewat aplikasi yang sama dari seseorang yang pernah menggurui aku. Ia berbunyi: “Orang patut kutip derma untuk belahan masyarakat yang terbiar ini. Punca kebakaran adalah ketidakadilan sosial.”

Dan saya tidak punya jawapan mengapa orang kita terus-terusan menderma kepada pusat tahfiz berkenaan. – 25 September, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: