News!!

Wadar Penjara Putus Cuping Telinga Digigit Banduan Wanita Yang Dihukum Mati

Putus cuping telinga

BENTONG: WADAR penjara putus cuping telinga kira-kira lima sentimeter akibat digigit dan diserang banduan akhir iaitu warga Liberia ketika proses pemindahan ke blok lain dalam kejadian di Penjara Bentong, Pahang, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, wadar penjara berusia 37 tahun putus cuping telinga dan mendapat rawatan di Hospital Temerloh.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang pegawai dan tiga anggota mahu memindahkan banduan akhir berusia 46 tahun itu ke blok lain untuk pengasingan.

Bagaimanapun, katanya, banduan terbabit enggan menerima arahan lalu bertindak agresif menyerang mangsa dengan menumbuk muka hingga jatuh tertiarap, menindih belakang badan sebelum menggigit telinga kiri mangsa.

“Tiga rakan mangsa cuba menghalang suspek dan terpaksa menggunakan kekerasan. Banduan itu ditangkap dan dipindahkan ke blok lain untuk pengasingan, manakala mangsa yang putus cuping telinga kiri dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Lurah Bilut untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber itu berkata, banduan kategori akhir itu masuk ke Penjara Bentong pada 2016 kerana kesalahan mengedar dadah yang disiasat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pada 2005, dia dikenakan hukuman gantung sampai mati dan rayuan yang dibuat di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 2010 ditolak dengan hukuman dikekalkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

 

Sumber: Hmetro

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: