News!!

Tawan Semula Selangor, 3 Bekas MB Bergabung

MUHAMMAD Muhammad Taib yang kembali ke pangkuan Umno minggu lalu akan dibantu oleh dua lagi bekas Menteri Besar Selangor untuk mengukuhkan kempen Barisan Nasional merampas semula negeri berharga itu dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata tiga bekas menteri besar itu akan diberikan peranan bagi membantu Umno negeri.

“Saya sudah bincang, Tan Sri Mat Taib akan balik pada kita bukan sahaja seorang diri, tetapi Insya-Allah, bekas-bekas menteri besar.

“Kita juga ada Tan Sri Abu Hassan (Omar), kita juga ada Dr Khir Toyo. Insya-Allah bekas-bekas tiga menteri besar ini kita akan berganding bahu bersama-sama dengan saya untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional,” kata Noh pada satu sidang media di Cheras, Selangor, hari ini.

“Mereka ingin melihat apa yang telah mereka laksanakan dahulu ada kesinambungannya.

“Ini kerajaan negeri Selangor apa dia (PKR) buat? Ini semua waktu BN yang buat,” katanya

Noh sementara itu enggan mengulas dakwaan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bakal lompat parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

“Itu kena tanya Azmin,” kata Noh.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan sidang media Perdana Menteri Najib Razak pada Ahad lepas sepatutnya lebih daripada sekadar mengumumkan Muhammad kembali ke pangkuan Umno semula.

Beliau sepatutnya membawa bersamanya lapan ADUN PKR dan menyebabkan pentadbiran Azmin tumbang.

Namun kerana ada campur tangan daripada pihak berkepentingan yang berkuasa di Selangor, akhirnya, Presiden Umno Najib Razak hanya ada Muhammad seorang untuk muncul pada sidang media yang digembar-gemburkan sejak sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, ADUN-ADUN PKR Selangor menafikan kemungkinan itu akan berlaku. – 21 September, 2017.

Sumber: The Malaysian Insider

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: