Dalam kejadian pukul 4.40 petang itu, kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun bersama tiga lagi rakan mereka datang ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta Proton Wira dan Proton Persona seterusnya meletakkan kenderaan mereka di belakang kereta pemilik Proton Saga FLX bagi menghalang kenderaan tersebut keluar.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kelima-lima lelaki berkenaan kemudian menghampiri pemilik kereta Proton Saga FLX berusia 33 tahun dan mahu merampas kunci kenderaannya tanpa memperkenalkan diri.

“Kejadian itu menakutkan pemilik kereta Proton Saga FLX yang kemudiannya bertindak mengundurkan kenderaannya ke belakang untuk melarikan diri kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Ketika mengundurkan kenderaan, pemilik kereta tersebut telah melanggar kereta Proton Wira yang menghalang laluannya sebelum meninggalkan tempat tersebut,” katanya di sini hari ini.

Ali memaklumkan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kedua-dua belah pihak telah membuat laporan berkaitan kejadian tersebut.

Tambah beliau, selain penahanan dua suspek, keterangan beberapa saksi juga telah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

Dalam satu video tular di media sosial berdurasi satu minit itu, pemandu kereta Proton Saga FLX dilihat mengundurkan kenderaan dan melanggar kereta Proton Wira yang menghalang laluannya.

Menurut maklumat awal yang tular, kejadian itu dipercayai berlaku kerana pemandu Proton Wira yang merupakan penarik kereta cuba mengambil kunci Proton Saga FLX tersebut untuk dipulangkan semula kepada pihak bank atas alasan kegagalan lelaki tersebut menjelaskan bayaran bulanan. – UTUSAN ONLINE