News!!

Hubungan Uber Dan Putrajaya Kini Disiasat Di AS

UBER Technologies Inc., yang berpejabat di Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kemungkinan ada “aturan kewangan” antara syarikat itu dengan kerajaan Malaysia yang mungkin mempengaruhi keputusan Putrajaya berhubung operasi perkhidmatan pengangkutan itu di negara ini.

AS mempunyai undang-undang menyekat mana-mana entiti perniagaan di negara itu daripada terlibat dalam amalan rasuah ketika melakukan perniagaan di negara-negara lain.

Menurut laporan Bloomberg, firma guaman O’melveney & Myers LLP yang mewakili Uber kini meneliti satu derma korporat yang diumumkan Ogos tahun lalu berjumlah puluhan ribu dolar kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC), sebuah hub usahawan yang disokong kerajaan.

“Peguam sedang cuba memastikan apakah ada sebarang bentuk balas budi (quid pro quo),” lapor Bloomberg.

Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan sumbernya yang mengetahui hal ini memberitahu laporan Bloomberg itu tepat.

Channel News Asia pula melaporkan wakil Uber di Malaysia berkata mereka sedang “memberi kerjasama dengan siasatan.”

“Selain itu, kami tidak dapat memberi sebarang komen kerana siasatan sedang berjalan,” kata wakil yang tidak dinamakan itu kepada stesen berita televisyen Singapura itu.

Pada 26 September 2016, The Star melaporkan Kumpulan Wang Persaraan Pekerja (KWAP) pula mengumumkan telah melabur sebanyak RM124 juta (AS$30 juta) kepada Uber.

Perdana Menteri Najib Razak sebulan kemudian semasa membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober tahun lalu, berkata kerajaan mengalakkan golongan B40 untuk jadi pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber, terutamanya bagi pemilik kenderaan sendiri.

“Bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan rebat sebanyak RM4,000 bagi pembelian kereta Proton Iriz,” umum Najib, dalam belanjawan yang bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.

Uber Malaysia pada hari sama dalam reaksi terhadap pengumuman itu meluahkan rasa gembira dengan pengiktirafan Putrajaya ke atas Uber.

Pengurus Besarnya Leon Foong berkata dengan menyediakan pilihan mata pencarian di hujung jari kepada semua rakyat, ia membantu pemandu Uber menampung keluarga dan diri sendiri, tanpa kekangan dalam mengejar cita-cita mereka.

“Kami memuji kerajaan kerana membentangkan belanjawan yang pintar dan berteraskan rakyat.

“Inisiatif ini jelas menyediakan pertumbuhan ketara dan pemberdayaan ekonomi. Ini satu kemenangan untuk industri perkongsian kenderaan dan menunjukkan kepimpinan yang berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman dalam Bajet 2017 itu bagaimanapun dibantah oleh pengusaha dan persatuan pemandu teksi yang menganggap ia satu tindakan menghalalkan perkhidmatan kongsi kenderaan yang dari segi undang-undang kerana melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Siasatan Uber ke atas urusannya di Malaysia adalah sebahagian daripada semakan menyeluruh terhadap operasi syarikat itu di Asia, susulan siasatan yang dimulakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Selain Malaysia, Uber turut mengarahkan siasatan dalaman di sekurang-kurangnya empat lagi negara Asia — China, India, Korea Selatan dan Indonesia.

Laporan Bloomberg menyebut semakan Uber ke atas operasinya di Indonesia mendapati pegawainya menyogok polis di Jakarta. Seorang pegawainya dipecat manakala pengurus yang meluluskan suapan itu digantung kerja. — 20 September 2017

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: