News!!

Menyedihkan, Walaupun Sudah 60 Tahun Kemerdekaan, Diskriminasi Kaum Masih Wujud

Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 60 dengan penuh gilang gemilang. Namum disebalik “Kemerdekaan” yang kita laungkan, kesan dari peninggalan pemerintahan penjajah British, masih lagi belum dapat dikikis sepenuhnya.

Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah telah menjadi antara punca wujudnya jurang antara kaum serta diskriminasi sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum.

Ikuti perkongsian penulisan Sheridan Mahavera dari Malaysian Insight untuk kita memahami dan menilai sendiri isu diskriminasi yang masih menebal.

PERKAUMAN kini menjadi lebih ketara dan semakin banyak digunakan untuk pecah dan perintah masyarakat, lapor Pusat Komas dalam Laporan Diskriminasi Kaum 2016.

Pergerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan keharmonian komunal itu menambah diskriminasi rentas kaum “semakin banyak” berlaku seterusnya menghalang warga Malaysia untuk meraikan kebersamaan identiti Bangsa Malaysia.

Dan yang sangat membimbangkan, kata Komas adalah masih ramai yang percaya sikap perkauman dan tindakan diskriminasi boleh dilakukan kerana alasan tertentu, walaupun Malaysia kini sudah meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Pengarah Program Pusat Komas Adli Zakuan Zairakithnaini memberitahu The Malaysian Insight yang situasi ini masih berleluasa walaupun wujud usaha kerajaan untuk menyemarakkan keharmonian antara kaum.

“Ada tanggapan yang hanya kerana kita meraikan pelbagai perayaan agama yang berlainan, kita ada keamanan dan semuanya masih baik.

“Apatah lagi kalau dibandingkan dengan Myanmar atau Sri Lanka, kita masih okay. Sedangkan hakikatnya perjalanan kita masih jauh,” kata Adli menjelang persidangan Komas ke-7 tentang hak budaya dan diskriminasi di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung esok.

Persidangan itu adalah ruang untuk agensi kerajaan, pergerakan masyarakat sivil dan kumpulan belia untuk bertemu dan membincangkan strategi bagi menghapuskan diskriminasi kaum dan menyuburkan idea Bangsa Malaysia.

Menurut laporan Komas 2016, kejadian-kejadian diskriminasi kaum ini dipecahkan berdasarkan kejadian dalam media sosial dan internet serta dunia realiti. Laporan itu turut menyertakan beberapa contoh tindakan provokatif perkauman.

Kejadian tersebut diletakkan dalam 10 kategori:

1. Diskriminasi kaum dalam sektor pendidikan
2. Jenayah disandarkan kaum
3. Perkauman dalam persekitaran perniagaan
4.Diskriminasi berasaskan kod pakaian dan penyampaian perkhidmatan
5.Kumpulan, agensi dan individu yang menggunakan sentimen provokasi perkauman
6.Kumpulan politik, ucapan kebencian dan kenyataan perkauman
7. Tabiat diskriminasi perkaumana dalam kalangan rakyat Malaysia
8. Diskriminasi kaum atas nama agama
9. Diskriminasi kaum dalam industri lain seperti hiburan
10. Tingkah laku xenophobia kepada warga asing

Walaupun laporan itu tidak menghimpunkan semua kejadian berkaitan perkauman dan diskriminasi, ia menyenaraikan 42 contoh paling serius dalam 10 kategori tersebut.

Ini termasuklah penderaan dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak Orang Asal di sekolah di Kelantan, layanan tidak sama rata terhadap pelanggan Melayu dan bukan Melayu dan pembentukan kerusi Parlimen tertumpu kepada keseragaman etnik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Laporan itu turut meletakkan isu serius lain seperti ahli parti pemerintah Umno yang menggunakan perkauman sebagai agenda politik mereka, aktivis pelampau Melayu yang mengadakan protes berbaur perkauman menentang DAP dan perlindungan kerajaan kepada penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Tingkah laku xenophobia rakyat Malaysia juga ditimbulkan dan beberapa contoh yang menunjukkan tingkah laku menghina kepada rakyat Afrika, Bangladesh dan China turut dilaporkan.

“Laporan ini tidak mengira sepenuhnya insiden perkauman di negara ini, tetapi manifestasinya. Perkauman adalah pandangan kehidupan sementara tingkah laku diskriminasi adalah manifestasi pandangan tersebut,” kata Adli lagi.

Kepercayaan yang diskriminasi mempunyai alasan adalah bersandarkan kombinasi salah tafsir Perlembagaan dan politik berasaskan kaum yang wujud sejak Merdeka.

“Kami juga mendapati dalam sebahagian orang Melayu sendiri misalnya, ada yang percaya usaha kerajaan (yang diketuai parti Melayu Umno) untuk komuniti masih tidak mencukupi,” kata Adli.

“Mereka merasakan diskriminasi terhadap komuniti lain ada justifikasinya”.

Ketika perasaan komunal semakin membarah dalam beberapa kelompok orang Melayu, ia juga menyebabkan kumpulan minoriti menjadi lebih konservatif.

“Ini adalah trend tempatan dan global. Kita menyaksikan misalnya, kebangkitan nasionalisme orang kulit putih, Sarawak untuk orang Sarawak dan orang Malaysia,” katanya lagi.

Sekelompok rakyat Malaysia berketurunan India pula menerima parti perkauman India Hindu, BJP sebagai sumber pemerkasaan kaum mereka kerana komuniti itu merasakan mereka semakin dipinggirkan, katanya.

Bagi menghapuskan diskriminasi dan menyuburkan keterangkuman, Adli percaya Malaysia perlu menghentikan dasar berasaskan kaum dan berusaha untuk membentuk politik yang tertumpu kepada keperluan berbanding identiti kaum.

Dia melihat wujudnya petanda positif dalam bagaimana parti orang Melayu baru, Bersatu yang berjaya meraih sokongan orang Melayu tanpa mempergunakan hak Melayu.

“Walaupun politik berasaskan kaum yang menggerakkan kita selama ini, kami rasa gembira melihat banyak parti alternatif lain yang mahu membentuk politik baru yang tidak mendiskriminasi.”

Sumber: The Malaysian Insight

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: