News!!

Apa Yang Berlaku Bila Sistem Pendidikan Kita Di KONTRAKKAN?

Mencari semula pendidikan kita yang hilang – ZF Zamir

Kita masih lagi dihantui dengan tragedi kebakaran sebuah pusat tahfiz di Keramat baru-baru ini. Berbagai spekulasi dan andaian yang keluar sehinggalah punca sebenar dapat dikenal pasti apabila 7 suspek telah ditahan oleh pihak PDRM. Masyarakat masih lagi bersedih dengan kematian mangsa kebakaran disamping rasa marah dan dendam terhadap mereka yang berbuat khianat.

Tertarik dengan isu yang dikongsikan oleh seorang penulis di laman web  The Malaysian Insight, Admin kongsikan agar kita selaku masyarakat yang prihatin dapat menilai situasi yang sebenar.

“Mencari semula pendidikan kita yang hilang”

PETANG itu awan mendung dan langit gelap. Tetapi hujan tidak turun, seolah-olah yang di atas ingin memberitahu sesuatu.Satu mesej melalui Whatsapp masuk ke dalam telefon, ketika aku sedang duduk minum di kedai mamak Pelita di depan bangunan Maju Junction di tengah kota raya Kuala Lumpur. Sebenarnya sedang berlangsung juga pada hari itu acara sastera oleh kawan-kawan dalam buku hiliran iaitu KL LePark.

Aku membaca mesej yang memaparkan nama Raihan sebagai penghantarnya. Raihan bertanya, adakah aku sudah melihat televisyen. Aku menyatakan tidak kerana aku kini di luar. Aku meneka adakah ia berkenaan kes Pusat Tahfiz Ittifaqiyah yang sebenarnya sudah tersebar di Whatsapp.

Lewat petang itu, wajah tujuh orang suspek berumur seawal 12 tahun tersebar lewat Whatsapp. Mereka dituduh menyebabkan kebakaran yang meragut 23 nyawa pada awal pagi Khamis, 14 September yang lalu. Malah ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ganja.

Pulau Pinang mencatatkan nisbah penagih tertinggi dengan 32 penagih untuk setiap 1,000 orang, menjadikan bilangan penagih terkumpul sebanyak 54,022 orang, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 47,632 orang dan Selangor 47,216 orang.

Trend statistik ini pula seolah-olah mahu menceritakan sesuatu kepada kita. 13,481 penagih baru dikesan pada 2013 menjadikan jumlah 20,877 orang di seluruh negara.

Pada 2014, 13,605 orang dikesan serta mencatatkan peningkatan jumlah keseluruhan kepada 21,777. Tetapi pada 2015 sahaja, 20,289 orang penagih baru dikesan iaitu peningkatan sebanyak 6,808 orang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan penagih dadah di negara ini adalah 26,668 orang. Masalahnya, daripada 26,688 orang ini, 80% atau 21,335 adalah kaum Melayu dengan hanya 7.94% sahaja kaum Cina dan 7.92 sahaja kaum India. Apakah yang berlaku sebenarnya?

Lewat malam itu aku berbual dengan seorang teman di sebuah kedai mamak di Cheras. Dia bertanya kepadaku, apakah yang sudah berlaku terhadap sistem pendidikan negara sehingga memungkinkan tragedi seperti ini terjadi?

Bagaimana mungkin, seorang anak sekecil 11 tahun atau remaja seawal 18 tahun tergamak membakar premis orang lain semata-mata kerana dendam?

Aku menerangkan kepadanya secara ringkas, isu pendidikan nasional kita bukan sahaja bermasalah dari segi struktural, tetapi juga dari sudut falsafah. Pemusatan oleh Putrajaya melalui Kementerian Pendidikan telah menyebabkan sekolah sedia ada kehilangan autonomi masing-masing.

Isu struktural ini beranak-pinak hingga sekecil-kecil masalah seperti penempatan guru menyebabkan guru yang sudah berkahwin tidak dapat tinggal bersama. Tetapi aku jelaskan juga, isu struktural seperti latihan guru dan pentaksiran murid adalah kesan falsafah pendidikan yang bermasalah.

Kemudian dia bertanya adakah ini hasil sistem pendidikan Barat yang mengutamakan material, mengambil kira hujah Profesor Saedah Siraj, seorang profesor kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dalam bukunya bertajuk “Remaja & Strategi Penyelesaian Masalah”.

Buku itu menerangkan kiblat pendidikan Barat bermasalah kerana kurikulumnya menanam ciri-ciri haiwan dengan meninggalkan aspek roh (jiwa) serta berpegang kepada aspek material dan keduniaan dengan mengambil kira teori-teori tokoh Barat seperti teori “Rasional” oleh Descartes dan Kant, teori ‘Empirikal’ oleh Alfred Ayer serta teori IQ oleh Binet dan Simon, serta kesan aliran falsafah Realisme dan Eksistensialisme ke atas sistem pendidikan moden Barat.

Aku merenung lama persoalan ini sambil melihat semula industri pusat-pusat tahfiz di negara kita. Pusat-pusat tahfiz ini dibina untuk menanam aspek roh ke dalam diri anak-anak. Ramai ibu bapa yang merasa tugas pendidikan roh ini boleh diserahkan kepada kontraktor luar dan akhirnya menyerahkan bulat-bulat kepada industri tahfiz untuk menyelesaikannya.

Lebih teruk, sebahagian besar pusat tahfiz ini tidak dikendalikan dengan profesional, menyebabkan dana menjadi isu. Anak-anak akhirnya menjadi mangsa untuk ke hulu ke hilir meminta derma di kedai-kedai makan untuk menyokong pusat tahfiz mereka secara bulanan.

Akhirnya terdapat dua kasta pusat Tahfiz yang wujud iaitu pusat tahfiz profesional yang dibiayai oleh ibu bapa berkemampuan, sebahagian besarnya menyerahkan anak-anak mereka untuk dipulihkan sama ada daripada masalah akhlak.

Pusat tahfiz kedua ialah pusat tahfiz yang dibiayai oleh masyarakat secara minimal, kebanyakannya mengambil anak yatim dan tidak menerima dana yang mencukupi secara konsisten dan terpaksa menghantar anak-anak ini ke seluruh negara untuk menjadi peminta sedekah profesional.

Pusat tahfiz yang pertama tadi malangnya bolehlah dikatakan dipenuhi oleh anak-anak bermasalah, kerana kebanyakannya adalah anak-anak orang kaya yang bermasalah, bergaduh, menghisap rokok dan dadah di sekolah sehingga tidak lagi diterima di sekolah asalnya sebelum diterima oleh pusat tahfiz.

Mereka ini adalah produk kepada kegagalan sistem kekeluargaan yang jarang sekali kita bincangkan. Masyarakat sebenarnya takut untuk membicarakan kegagalan institusi ini kerana ia akhirnya akan menuding semula semua jari kepada ibu dan bapa. Bukan sekolah. Bukan pusat tahfiz. Bukan guru. Bukan ustaz-ustaz yang membina pusat-pusat tahfiz ini.

“Jadi sebenarnya, sebelum kegagalan sistem pendidikan nasional, yang mula-mula gagal adalah ibu dan bapa sendiri?” soalnya lewat hujung perbualan kami.

Aku termenung lama sebelum menghabiskan minuman. Hari ini, pendidikan yang sepatutnya dimulakan di rumah oleh ibu dan bapa sendiri telah lama hilang dan tidak wujud. Ibu bapa zaman sekarang melihat pendidikan bukan tugas mereka, bukan lagi tanggungjawab mereka.

Mereka fikir pendidikan itu tugas sekolah dan tugas guru. Mereka fikir melalui wang mereka boleh gajikan sekolah dan guru ini sebagai kontraktor untuk menyelesaikan pendidikan anak mereka. Mereka lupa, anak itu lahir awalnya dari cinta. Dan cinta menuntut tanggungjawab.

Mereka fikir, pendidikan boleh diselesaikan oleh kontraktor yang mereka pilih. Inilah kesalahan paling besar ibu bapa apabila tidak melihat pendidikan itu harus bermula di rumah. Anak-anak adalah cerminan kepada siapa diri kita yang sebenarnya.

Jika hari ini anak-anak masyarakat bersikap bobrok dan memualkan, ia mencerminkan diri kita sendiri, sebagai masyarakat yang begitu bodoh dan buruk.

Dan yang paling sukar dijawab adalah, mengapa bangsa kita, bangsa Melayu yang kuat agama, tidak minum arak, kurang berparti, mempunyai aliran sekolah agama, gemarkan ceramah agama sama ada di masjid atau di televisyen, mempunyai  akademi fantasi realiti berunsurkan agama, kumpulan-kumpulan usrah dan komuniti Islamik, tetapi menghasilkan sehingga 80% daripada penagih dadah seluruh negara setiap tahun? – 18 September, 2017.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

Sumber: The Malaysian Insight

 

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: