News!!

Tanam Sayur Di Bandar?

Salah satu alternatif bagi kita untuk menghasilkan sumber makanan yang sihat disamping mengurangkan kebergantungan kepada sumber yang dijual di pasaran.

Satu ketika dahulu pertanian bandar mungkin agak asing dalam masyarakat khususnya di kawasan bandar.

Bagaimanapun, menerusi penggunaan teknologi dan inovasi terkini menyebabkan ia semakin popular setiap tahun.

Apatah lagi, masyarakat ini mula menyedari keperluan tanaman hijau dan bijak untuk menggunakan ruang kecil di kawasan kediaman mereka untuk tanaman sayuran atau bunga-bungaan.

Walaupun tanpa halaman dan ruang terbuka yang luas seperti di balkoni apartmen atau rumah teres, aktiviti penanaman boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah seperti kotak tanaman, hidroponik, penanaman vertikal atau teknik berkebun kecil.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah melihat situasi rumah:

Pangsapuri dengan balkoni:

– Bekas tanaman yang mudah alih dengan saiz dan susunan yang boleh disesuaikan mengikut ukuran balkoni.

– Bekas tanaman guna semula seperti bekas plastik, botol plastik pelbagai saiz, beg guni dan bekas polisterin.

– Taman gantung atau menegak (vertikal).

– Hidroponik/ aquaponik/ Nutrient Flow Technique (NFT) yang boleh dilakukan sama ada di dalam rumah atau di balkoni.

Pangsapuri tanpa ruang luar:

– Aquaponik yang menggunakan sumber cahaya lampu bagi menggantikan keperluan cahaya matahari dan boleh diubah suai mengikut keadaan rumah.

– Tanam dalam bekas kecil di tepi tingkap yang mendapat cahaya matahari yang mencukupi untuk tanaman.

– Penanaman gantung, dinding atau vertikal di tingkap yang tidak memerlukan sebarang ruang lantai.

Rumah teres dengan kawasan bertanam yang kecil:

– Penanaman dalam pasu mudah alih atau kotak tanaman yang dibina daripada kayu atau logam.

– Hidroponik/ aquaponik/ NFT diubah suai kepada bertingkat mengikut keluasan kawasan.

Tanah di kawasan perbandaran yang lapang:

– Membina kebun bandar secara komuniti dengan mendirikan kotak tanaman yang dibina daripada kayu, logam atau bahan terpakai.

Seterusnya, penggunaan media tanaman seperti tanah campuran, tanah atas (top soil) dan media selain tanah seperti air, perlite, arang, lecca ball, cocopeat dan peatmoss.

Bagi media tanaman di dalam pasu, media seperti yang disenaraikan boleh digunakan.

Untuk penanaman di kotak tanaman, seelok-eloknya tanah atas digunakan dan digaul bersama baja organik seperti baja tahi ayam atau baja kompos. Ini bagi memastikan nutrien sudah tersedia untuk tanaman.

Penjagaan pokok

Amalan bercucuk tanam di kawasan persekitaran tempat tinggal menjadi lebih mencabar jika tidak menggunakan baja dan racun kimia.

Serangan musuh seperti serangga perosak dan penyakit di peringkat awal boleh dikawal dengan cara berikut:

– Kutip dan buang bahagian pokok yang bermasalah seperti rosak, patah, berlubang dan layu. Bahagian pokok ini boleh menjadi perumah kepada perosak.

– Kutip dan buang perosak yang kelihatan seperti ulat bulu, koya, hama, belalang, lalat buah kepinding dan kumbang.

– Buat pemeriksaan kerap ke atas pokok terutamanya di bahagian bawah daun.

– Cabut dan buang pokok selain yang ditanam (rumpai). Ini bagi mengurangkan persaingan untuk mendapatkan keperluan asas pokok seperti cahaya, air, nutrien dan ruang.

– Balut buah semasa buah putik. Ini bagi mengurangkan serangan oleh serangga perosak kerana semakin buah meningkat ke peringkat masak, ia akan mengeluarkan bau yang boleh menarik serangga perosak.

– Lakukan pemangkasan sekiranya daun pokok telah melampai dan berjurai. Ia boleh mendedahkan bahagian dalam pokok supaya cahaya boleh masuk dan menggelakkan perosak seperti koya, hama dan teritip menyerang.

– Sentiasa menggembur tanah bagi menggalakkan pengudaraan pada akar pokok dan supaya benih-benih rumpai yang dorman dapat dimusnahkan ketika proses membalik-balikkan tanah

Kesimpulannya, amalan pertanian di bandar secara organik sangat digalakkan.

Ini akan dapat membantu penduduk bandar mengeluarkan sendiri bekalan makanan selamat, mengurangkan belanja dapur serta mempertingkatkan kualiti alam sekitar serta tahap kesihatan yang baik jika diuruskan secara terancang.

Rencana oleh:
DATUK AHMAD ZAKARIA MOHAMAD SIDEK
Ketua Pengarah Pertanian Malaysia
JABATAN PERTANIAN

Sumber: Kosmo Online

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: