News!!

‘Mike Tyson’ Kembali Ke Gelanggang UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Setelah hampir lima tahun melayari persada politik tanah air di pentas pembangkang, bekas naib presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib kembali ke gelanggang parti itu, sekali gus menggembleng usaha parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Muhammad, 72, yang juga bekas Menteri Besar Selangor selama 11 tahun dari 1986 hingga 1997 dan terkenal dengan nama jolokannya ? Mike Tyson’, mewarnai dunia politik walaupun tidak serik jatuh dan bangun dalam dunia politik demi perjuangan membangunkan orang Melayu.

Menyedari hanya UMNO sahaja berupaya memperjuangkan nasib rakyat dan memajukan negara, beliau memutuskan untuk kembali kepada parti itu, parti politik pertama yang disertainya pada 1964, seperti yang diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, Muhammad merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali bagi empat penggal iaitu dari 1982 hingga 1999 dan dilantik menjadi Menteri Besar Selangor pada Ogos 1986 serta menjadi antara tokoh UMNO paling popular.

Beliau meletakkan jawatan menteri besar pada 14 April 1997 berikutan pertuduhan membuat pengisytiharan palsu di Brisbane, Australia atas cubaan membawa keluar RM2.4 juta dari negara itu.

Kerjaya politik beliau nyata tidak malap dalam arena politik negara apabila beliau dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Selangor pada 26 Okt 2004.

Pengalamannya selama 47 tahun dalam politik negara juga menjadi antara kayu ukur kepada lantikan beliau sebagai senator pada 17 Nov 2006 untuk tempoh tiga tahun oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.

Berikutan pelantikan itu, Muhammad dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bermula 18 Mac 2008 sebelum berakhir pada 9 April 2009 setelah berlaku rombakan Kabinet oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Muhammad kalah kepada kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti untuk penggal 2008 hingga 2011.

Selepas menyepikan diri daripada dunia politik, Muhammad memutuskan untuk menyertai PAS pada 22 April 2013.

Bagaimanapun, keanggotaannya di dalam PAS hanya seketika apabila disingkirkan parti itu pada Julai 2015 setelah beliau didapati terlibat dalam Gerakan Harapan Baharu yang dipimpin bekas Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu.

Muhammad meninggalkan PAS untuk menyertai PKR pada 11 Sept 2015 .

Sumber: Bernama, The Star Online

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: