News!!

Kebakaran Tahfiz dan kaitan hal yang tak pernah selesai


Tahfiz terbakar dan hal-hal yang tak selesai
23 nyawa terkorban hanya kerana beranag diejek dalam tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017
SATU Malaysia terkejut dan bingung, marah dan hairan: bagaimana budak seumur begitu boleh bertindak membakar bangunan hanya dek berang kerana diejek?

Tujuh budak lelaki berumur antara 11 hingga 18 tahun jadi suspek kes kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebelum Subuh pada Khamis lepas, sehingga membunuh 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu.

Mereka ditahan reman tujuh hari sehingga 22 September. Kes bangunan terbakar kini disiasat sebagai jenayah bunuh dan khianat dengan api, kata polis.

“Polis percaya kes ini telah dapat diselesaikan dengan penangkapan tujuh suspek ini,” kata ketua polis Kuala Lumpur, Amar Singh.

Kes mungkin selesai, tetapi apakah masalah sudah terungkai?

Kita jangan salah membaca cerita. Kata orang, hendak tahu cerita, mesti tahu dahulu tajuknya.

[FOTO] TRAGEDI TERBURUK DALAM TIGA DEKAD

[FOTO] PENGEBUMIAN KORBAN TAHFIZ TERBAKAR

Bahawa 23 orang mati terbakar, itu suatu hal.

Bahawa kebakaran itu satu perbuatan khianat dan mereka itu mati dibunuh, itu hal yang lain pula.

Bahawa sebuah bangunan dijadikan pusat tahfiz dan asrama, dan beroperasi tanpa kelulusan, itu lagilah satu cerita yang lain pula.

Bahawa ada isu yang rumit tentang pengurusan sekolah agama di negara ini, itu juga satu cerita lain lagi.

Setiap satu cerita ini berkait-kait, terikat antara satu sama lain — kukuh dan kejap, tersimpul mati. Melihat satu cerita, akan ternampak cerita yang lain: seperti masuk ke sebuah ruang segi empat yang seluruh dindingnya terpasang cermin — melihat satu sisi, akan ternampak sisi yang lain, ternampak lagi sisi yang lain, dan ternampak lagi sisi yang lain.

Pengumuman oleh polis bahawa kes sudah selesai tidak sama sekali bermakna hal-hal yang lain juga terungkai.

Malapetaka

Sebuah pusat tahfiz terbakar kini jadi malapetaka sebuah kampung tradisi yang tumbuh bersama Kuala Lumpur tetapi terbantut dan tersepit di tengah kepesatan kota.

Sebuah pusat tahfiz terbakar asapnya menyesakkan nafas seluruh bangsa, seluruh negara.

Ini bukan lagi hanya masalah sebuah pusat tahfiz. Ada hal lain yang jauh lebih besar yang menuntut perhatian serius kita semua, namun ini bukan pula masalah sebuah kampung Melayu di tengah bandar semata-mata.

Ada yang terlalu pincang dalam masyarakat ini — tentang ekonomi dan pengagihannya, yang kemudian akan mempengaruhi keputusan di mana seseorang itu akan tinggal dan persekitarannya, mempengaruhi juga pendidikan anak-anaknya dan seterusnya masa depan; apakah anak cucunya akan membebaskan diri daripada belenggu masa kini dan menerokai dunia baru?

Kepincangan ini membuatkan orang jadi terlalu sibuk untuk mencukupkan hidup sehingga terlupa untuk memerhatikan kehidupan. Setiap sesuatu yang berlaku di sekelilingnya adakalanya tidak dipedulikan — tidak mampu lagi dia untuk peduli — kerana ada hal-hal lain yang lebih mendesak yang memerlukan perhatian.

Manusia membina tembok, masing-masing dalam petaknya sendiri. Kasih dan sayang menipis. Belas dan ihsan hampir tiada. Manusia jadi mesin kerja: hilang rasa, mati deria.

Kejut daripada tidur

Tragedi menjelang Subuh itu sepatutnya mengejutkan kita daripada lena. Ini sesungguhnya masalah kita semua. Kalau terapung, kita sama-sama hanyut; kalau terendam, kita sama-sama basah.

Tetapi ini bukanlah pula bermakna hanya itu satu-satunya masalah yang ada. Tahfiz terbakar ini menelanjangkan terlalu banyak perkara: penyerahan yang melampau kepada takdir; tidak hormat sistem, peraturan dan undang-undang; serta pemahaman dan sikap orang Melayu tentang agamanya yang mengelirukan — kritikan kepada pengurusan tahfiz dianggap sebagai penistaan ke atas agama.

Pengurusan tahfiz itu sendiri memang sudah banyak cabarannya. Ia banyak bergantung pada wakaf dan sedekah, termasuk sukarelawan yang mewakafkan harta, masa dan tenaga. Sehingga ini juga, tidak begitu jelas bagaimana sistem sekolah tahfiz dikawal selia sementara kawal selia yang ada bergantung pada majlis agama Islam yang berbeza mengikut negeri. Ini juga satu isu yang perlu ditangani.

Peranan pihak berkuasa dalam soal keselamatan bangunan wajar diberikan perhatian. Kenapa masih ada pihak yang berani menggadai nyawa tidak patuh peraturan? Apakah kerana kurang kesedaran atau apakah kerana lemahnya penguatkuasaan?

Sememangnya, ada banyak hal yang tidak selesai yang ternampak selepas sebuah pusat tahfiz terbakar. Sejak beberapa hari lalu, kita mendengar bermacam orang bercakap macam-macam. Jangan sampai nanti guruh kilat sabung-menyabung tapi ditunggu-tunggu hujan tak jadi.– 17 September, 2017

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter .
E-mel: azam@themalaysianinsight.com

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: