News!!

CEO Proton, Ahmad Fuaad Bakal Akhiri Tempoh Jawatan Pada 30 Sept 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Fuaad Kenali akan mengakhiri tempoh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Bhd pada 30 Sept, 2017.

Dalam kenyataan hari ini, DRB-Hicom Bhd berkata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar, akan meneruskan jawatannya sebagai Pengerusi Proton Holdings keseluruhannya.

Syarikat itu turut berkata, Datuk Radzaif Mohamed akan kekal sebagai Timbalan CEO Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dan Abdul Rashid Musa akan terus memegang jawatan CEO Proton Edar Sdn Bhd.

Ahmad Fuaad dilantik sebagai CEO Proton Holdings pada 1 April 1, 2016 selepas menyandang jawatan​​​​​​Ketua Pegawai Operasi/Pengarah Kanan Kumpulan DRB-Hicom pada 2013.

Syed Faisal berkata, Proton telah memperkenalkan empat model baharu dalam tempoh lapan bulan​​​​​​ ketika di bawah tanggungjawab Ahmad Fuaad.

“Beliau juga berperanan penting dalam mengakhiri usaha syarikat pembuat kereta nasional itu bagi mendapatkan rakan kongsi strategik asing.

“Keperluan bagi mempunyai rakan kongsi strategik asing merupakan satu daripada keutamaan penting DRB-Hicom semasa pengambilalihan kami ke atas Proton Holdings pada 2012,” katanya.

Sementara itu, DRB-Hicom berkata, langkah korporat yang dilaksanakan bersama Zhejiang Geely Holding Group adalah hampir selesai.

Apabila ia diselesaikan, Geely Holding akan mencalonkan individu sesuai sebagai CEO PONSB, dengan menambah, bahawa satu pengumuman berkaitan komposisi lembaga pengarah, terdiri daripada wakil DRB-Hicom dan Geely Holding, akan dibuat dalam tempoh terdekat.

DRB-Hicom dan Geely Holding kini berusaha untuk memuktamadkan pelan perniagaan Proton Group, yang akan menggabungkan strategi mereka bagi bersama-sama membangunkan model baharu untuk pasaran dunia.

DRB-Hicom dan Geely Holding masing-masing memegang 50.1 peratus dan 49.9 peratus pegangan dalam Proton Group.

Ia terdiri daripada tiga entiti utama – Proton Holdings Bhd sebagai syarikat pegangan; anak syarikat Proton Holding, PONSB, sebagai syarikat pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran manakala​​​​​​​Proton Edar sebagai cabang pengedaran utama bagi kumpulan itu.

Bagi ketiga-tiga entiti itu, DRB-Hicom mempunyai satu kerusi tambahan dalam lembaga pengarah, menepati 50.1 peratus pegangan.

Sumber: Bernama

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: