News!!

Nafi Letak KPI Untuk Pegawai Audit – LHDNM

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) menafikan menetapkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan cukai berjumlah RM6 juta bagi setiap pegawai auditnya, seperti mesej yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Lembaga itu berkata sasaran kutipan tahunannya ditetapkan oleh kerajaan dan dimaklumkan kepada umum semasa pembentangan bajet tahunan negara oleh Menteri Kewangan.

Justeru, katanya inisiatif dan strategi LHDNM bagi mencapai sasaran tersebut telah dirancang seawal November 2016 dan dilaksanakan mulai Januari 2017.

“Adalah dimaklumkan juga bahawa inisiatif, strategi, sasaran dan pencapaian ini dipantau oleh Kementerian Kewangan dan Anggota LHDNM, di mana Anggota LHDNM terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mesej WhatsApp yang tular itu mendakwa LHDNM sedang agresif mengutip cukai bagi mencapai sasaran berjumlah RM127 bilion pada tahun ini, dengan setiap pegawainya perlu mencapai KPI sebanyak RM6 juta. LHDNM berkata pihaknya juga memandang serius tohmahan bahawa pegawainya bertindak tidak profesional semasa menjalankan audit gara-gara sasaran yang ditetapkan itu.

Menurutnya trend pencapaian kutipan semasa menunjukkan peningkatan positif berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Selain itu, katanya perkembangan ekonomi negara sebanyak 5.8 peratus dalam suku kedua tahun ini, seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara pada 18 Ogos lepas, menunjukkan ekonomi Malaysia mampu melepasi unjuran yang ditetapkan pada sekitar 4.3 hingga 4.8 peratus.

Justeru, LHDNM berkata perkembangan ekonomi positif yang dipacu oleh strategi penguatkuasaan dan pendidikan cukai LHDNM pada tahun ini, lembaga itu akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemungut hasil utama negara berdasarkan perundangan percukaian yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, LHDNM juga mengingatkan pembayar cukai untuk menyimpan semua rekod berkaitan pendapatan dan perbelanjaan selama tujuh tahun, seperti yang termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi memudahkan semakan sekiranya diaudit oleh LHDNM.

Orang awam juga dinasihatkan untuk menghubungi LHDNM sekiranya menghadapi sebarang kemusykilan semasa proses audit dijalankan menyertakan maklumat lengkap berkenaan nama pegawai, waktu audit dan isu yang berlaku perlu bagi memudahkan tindakan pihaknya.

Sumber: BERNAMA

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: