News!!

Warga Emas Cedera Dipukul Jiran Dengan Rotan Besar

Klang, 10 Sept 2017: LELAKI berusia 52 tahun cedera di beberapa anggota badan akibat dipukul dengan rotan bersaiz besar sebanyak 10 kali oleh jirannya dalam satu insiden perselisihan faham di rumah mangsa di Jalan Jarak, Klang, Rabu lalu.Difahamkan, mangsa terpaksa dirawat di hospital kerana cedera di bahu, paha, punggung, dan betis selepas dengan rotan sepanjang hampir satu meter itu.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi lebih seminit yang memaparkan mangsa dimaki dan dipukul seorang lelaki sambil disaksikan seorang kanak-kanak dan wanita yang menangis teresak-esak.

Sumber berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai memarahi seorang lelaki berusia 60 tahun di hadapan rumah itu ketika dia bertengkar dengan isterinya pada jam 3.15 petang.

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki (suspek) yang tinggal berdekatan datang dan memukul mangsa dengan rotan yang diambil dari rumah berkenaan. Ia berikutan mangsa memaki hamun lelaki yang juga rakan karib bapa suspek.

“Kejadian itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh seorang lelaki dipercayai rakan suspek lalu dimuat naik ke laman sosial Facebook (FB),” katanya.

Menurutnya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, sebelum tampil membuat laporan polis kelmarin.

Kata sumber itu, hasil pemeriksaan mendapati suspek tiada di rumahnya dan polis merampas rotan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan cedera menggunakan barang berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan termasuk mengesan suspek berkenaan.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: