News!!

Warga Emas Berwatak Alim Antara 25 Penagih Yang Dicekup

LELAKI berkopiah dan berperwatakan alim antara 25 penagih ditahan polis hari ini dalam serbuan di kebun pisang di Kampung Datuk Syed Ahmad, Pendang.

Mereka ditahan dalam serbuan Ops Tapis Bersepadu di kampung berkenaan dan Kampung Baru Sungai Tiang antara jam 6 pagi hingga 2 petang tadi.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai masuk ke ‘port’ itu pada waktu pagi setiap hari untuk melepaskan gian sebelum melakukan rutin harian bekerja kampung.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, sepasukan enam anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin dan dua anggota dari Balai Polis Pendang serta lapan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Katanya, dalam serbuan itu 25 individu diperiksa dan 23 daripadanya ditahan dipercayai positif dadah manakala dua lagi ditahan kerana memiliki dadah.

“Daripada jumlah itu, 24 daripadanya adalah lelaki berusia 19 hingga 50 tahun manakala seorang wanita berlagak lelaki (tomboi) berusia 22 tahun turut ditahan kerana disyaki menagih dadah.

“Difahamkan, dua lokasi itu terletak berhampiran dan dipercayai menjadi port untuk penagih melepaskan gian dadah.

“Disebabkan itu, anggota polis masuk ke kawasan itu lebih awal sekitar jam 6 pagi untuk melakukan intipan kerana biasanya penagih memasuki port itu sekitar jam 6.30 hingga 7 pagi setiap hari,” katanya dihubungi tadi.

Fadzil berkata, pihaknya turut merampas 0.27 gram dadah syabu dan 0.46 gram heroin bernilai RM40.

Beliau berkata, dua kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 untuk semua penagih yang ditahan.

“Semua mereka dibawa ke IPD Pendang untuk menjalani ujian saringan awal air kencing bagi membantu siasatan,” katanya.

 

SUMBER: HMETRO

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: