Mayat Nik Aiman Nik Abdul Malik ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 2.15 petang, kira-kira 80 meter dari lokasi mangsa lemas.

Pengecaman dilakukan oleh bapanya sebelum mayat dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa segera dilakukan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut semalam.

Katanya, operasi tersebut melibatkan 10 anggota polis, tujuh anggota bomba, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 14 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lima penduduk kampung.

“Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan di bahagian permukaan dan dalam sungai tersebut namun sehingga pukul 6.30 petang semalam mayat mangsa masih gagal ditemui.

“Usaha mencari mangsa bagaimanapun terpaksa dihentikan disebabkan hari semakin gelap sebelum diteruskan hari ini bermula pukul 8 pagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang disambung hari ini berjaya menemukan mayat Nik Aiman dalam keadaan terapung kira-kira enam jam kemudian.

“Siasatan awal mendapati, sewaktu kejadian berlaku, terdapat saksi yang berada berhampiran sungai bertindak terjun ke dalam sungai tersebut untuk menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, saksi itu melihat mangsa tenggelam ke dalam sungai kira-kira 50 meter dari lokasi dia terjatuh. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE