News!!

Pelajar Sekolah Tiada Lesen Ditahan, Ibubapa Disaman

Subang Jaya – 7 September 2017: Ibu bapa beri ‘lampu hijau’ dan ‘lesen besar’ untuk menunggang motosikal tanpa lesen.

Itu antara jawapan popular diberikan golongan pelajar sekolah yang ditahan polis selepas didapati menunggang motosikal tanpa lesen serta tidak memakai topi sepanjang operasi Op Didik dijalankan anggota Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di empat sekolah di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sebanyak 187 saman dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu dijalankan.

Beliau berkata, polis menahan 99 pelajar yang melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar selain 72 saman dikeluarkan terhadap ibu bapa.

“Operasi berkenaan dijalankan bertujuan mendidik pelajar dan ibu bapa yang tidak mengendahkan peraturan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan cukai jalan sudah tamat tempoh.

“Operasi yang dijalankan dengan kekuatan dua pegawai dan lapan anggota dari IPD Subang Jaya ini turut memeriksa 86 pelajar di hadapan sekolah berkenaan,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, kesalahan tidak memakai topi keledar mencatatkan saman paling tinggi iaitu sebanyak 99 saman manakala tidak memiliki lesen sebanyak 56 saman.

“Kesalahan lain adalah tiada perlindungan insurans dan cukai jalan tamat tempoh.

“Ibu bapa memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak mereka, malah mereka juga perlu mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan walaupun di kawasan pinggir bandar dan jarak antara rumah ke sekolah dekat,” katanya.

Katanya, polis turut menasihati ibu bapa yang menghantar atau mengambil anak ke sekolah supaya tidak meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Perbuatan sebegini membahayakan keselamatan semua pihak selain turut menafikan hak pengguna jalan raya lain untuk bergerak dengan selesa.

“Pihak Polis memohon kerjasama semua pihak lebih bertimbang rasa demi kepentingan semua pengguna jalan raya,” katanya.

 

Sumber – HMETRO

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: