News!!

Benarkah Parameswara Seorang Refugee Seperti Rohingya?

Pertama, istilah refugee dari sudut sejarah itu sendiri datang daripada Bahasa Perancis Kuno, iaitu refuge yang bermaksud “tempat menyorok.” Dalam sejarah, terdapat beberapa buah undang-undang yang menepati seakan-akan undang-undang refugee moden, tetapi tidaklah setepat konvention 1951.

Antara undang-undang tersebut adalah apabila Aethelberht daripada England yang meletakkan gereja sebagai tempat untuk mendapatkan perlindungan bagi mereka-mereka yang tertindas pada abad ke-7 Masihi. Namun, ia masih belum cukup untuk menepati istilah refugee moden sebab sempadan geografi moden masih belum wujud. Kerana ketika itu, orang tidak perlukan pasport untuk masuk ke mana-mana wilayah sehinggalah sekurang-kurangnya pada lewat abad ke-18.

Ya, aku akui terdapat beberapa buah screenshot dari buku sejarah oleh Haikal yang menyebut Parameswara sebagai refugee. Namun, buku-buku tersebut tidaklah membahaskan lebih dalam kenapa dan mengapa dipanggil sebagai refugee. Apatah lagi dalam isu rohingya ini yang status refugee mereka boleh disematkan pada Konvensyen 1951 kerana pada zaman sebelum itu, belum ada bukti bertulis dan dokumentasi yang menjelaskan definisi sebenar dengan JELAS tentang seorang “refugee.” Tak sangka Haikal yang jenis mengutuk Melayu di twitter mengulangi perangai segelintir Melayu yang suka “bertaklid buta” pada satu ayat yang tak dibahaskan dengan mendalam isi maksudnya.

Definisi terakhir refugee ialah pada tahun 2011 di mana dinyatakan adalah seperti berikut oleh UNHCR: “…who are outside their country of nationality or habitual residence and unable to return there owing to serious and indiscriminate threats to life, physical integrity or freedom resulting from generalized violence or events seriously disturbing public order.”

Suka saya petik “who are outside nationality dan country” yang disebut dalam konteks konvensyen tersebut sebab perbahasan kita kali ini adalah dalam membahaskan tentang maksud nationality dan country pada zaman moden dan medieval untuk kita noktahkan sama ada Parameswara adalah seorang refugee atau tidak.

Pertama, saudara Haikal dapat membuktikankah sama ada ketika itu sudah wujud sempadan geografi moden yang membentuk sebuah “country” di Kepulauan Melayu serta kalau benar sudah wujud, boleh berikan kepada saya keluasan country Parameswara yang dilanggar oleh Majapahit? Apakah ketika itu sudah wujud semangat kebangsaan (nationality) yang wujud seperti lewat zaman koloni yang membentuk istilah negara moden seperti hari ini?

Kedua, kalau kita tidak dapat membuktikan sempadan geografi ketika itu, adalah sukar untuk mengatakan seseorang itu “outside of his country” kerana macam yang saya perkatakan, mereka tidak melihat dunia seperti mana kita melihat dunia hari ini. Ketika itu tidak wujud sebarang kad identiti atau PASPORT yang mengatakan anda ialah rakyat Palembang atau Singapura Tua (tempat yang dibahaskan sebagai asal usul Palembang).

PASPORT ini sangatlah penting dalam meletakkan identiti kebangsaan anda. Kalau ikut sejarah, sesuatu yang bentuknya seakan-akan pasport, atau permulaan kepada pasport moden adalah dimulakan oleh King Henry V of England yang menuntut rakyatnya mempunyai dokumen untuk membuktikan rakyat mereka sebagai rakyat England apabila berada di tanah asing. Boleh rujuk pada 1414 Act of Parliament England ketika itu. Ia hanya kemudian pada 1548 barulah diwajibkan untuk setiap rakyat England mempunyai dokumen rasmi ketika mengembara ke tanah asing.

Hanya pada Perang Dunia Pertama barulah kita dapat melihat bagaimana untuk memasuki sempadan kerana ketika itu, British cuba untuk mengawal populasi imigrant yang cuba masuk ke dalam negaranya. Hanya pada 1920 di mana PBB membuat persidangan membincangkan tentang pasport sebelum hanya pada 1980 setiap pasport setiap negara diseragamkan.

Oh bercakap tentang sempadan, ia sangatlah penting dalam hal ini. Apakah ketika itu Parameswara sudah mengenali istilah sempadan seperti mana yang kita kena kenali hari ini? Apakah apabila Parameswara menjejakkan kaki ke Tanah Melayu ketika itu, dia sudah memasuki negara baru di mana dia diminta untuk mempersembahkan pasportnya, menghadapi pemeriksaan sempadan oleh kastam dan tentera yang bertugas? Apakah ketika itu di Melaka sudah ada kerajaan sah atau negara yang sah seperti mana Rohingya lari dari Myammar lalu ke Malaysia yang merupakan negara bebas dengan undang-undang, sempadan geografi moden serta sama ada terikat pada perjanjian dengan UNHCR?

Atau apakah ketika itu Parameswara melihat Kepulauan Melayu ini bukanlah sebagai negara yang berasingan seperti kita hari ini kerana Malaysia, Tanah Melayu dan Indonesia tidak akan wujud tanpa Anglo-Dutch Treaty of 1824 di mana dua penjajah ini dengan tidak tahu malunya membahagikan sebuah wilayah yang dianggap satu ini kepada dua tempat yang berasingan, memisahkan adik-beradik, memisahkan keluarga, memisahkan tanah dan sebagainya. Kalau ya, bagaimana tiba-tiba Parameswara boleh mendirikan sebuah kerajaan secara tiba-tiba?

Sebelum wujud perjanjian ini, wilayah di Nusantara ini dianggap sebuah wilayah yang satu. Kebudayaan, bahasa, genetik, semuanya adalah sebuah keserumpunan. Jadi, Parameswara ketika itu tidaklah lari ke negara lain untuk menepati definisi refugee dalan Konvensyen 1951 kerana ketika itu, wilayah Nusantara ini adalah satu. Buktikan pada 1400 atau tarikh lebih awal 1262, orang di Kepulauan Melayu menganggap bahawa Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Pulau Jawa sebagai sebuah negara yang berasingan.

Dalam sejarah raja-raja Melayu, bukan Parameswara seorang sahaja yang “lari” akibat kalah perang, tewas dalam perebutan takhta politik dan sebagainya. Balaputradewa, seorang Maharaja Melayu Srivijaya yang tersingkir ke Sumatera dari Pulau Jawa selepas kalah dalam permainan politik takhta Sailendra. Ohh dia bukan refugee kerana kalian melihat Sumatera dan Pulau Jawa ialah sebuah wilayah Indonesia bukan? Samalah juga macam kalian melihat Sultan Mahmud lari ke Johor selepas Melaka ditakluk oleh Portugis dan membina Kesultanan Johior di sana? Oh Sultan Mahmud bukan refugee ya pada pandangan anda sebab ikut sempadan geografi moden, Melaka dan Johor dalam satu negara iaitu Malaysia?

Ini sangat penting sebab istilah refugee yang dilekatkan pada pelarian Rohingya adalah berdasarkan konvensyen 1951, di mana istilah nationality dan country di dalamnya adalah berdasarkan definisi moden.

Justeru, saya nak tegaskan di sini bahawa Parameswara tidaklah melarikan diri dari negaranya, untuk menepati definisi paling asas seorang refugee itu sendiri, tetapi Parameswara adalah sekadar bergerak dalam wilayah kekuasaan dan wilayah tempat tinggalnya. Ia seperti hari ini apabila Kedah ditakluk oleh Siam, lalu kau membawa diri ke Perak. Atau mungkin ketika Lahad Datu dilanggar Sulu, kau ke kawasan yang berhampiran dengan Lahad Datu untuk menjamin keselamatan kau.

Lagipun kebiasaan dalam sejarah, bukan dalam sejarah Melayu sahaja, seorang raja itu tidaklah menabalkan dirinya sahaja. Ia adalah peranan pembesar dan rakyat sendiri menabalkan mereka. Demang Lebar Daun yang menabalkan Sang Sapurba sebagai raja berdasarkan perjanjian antara mereka masih diingati sehingga ke hari ini. Demang Lebar Daun dianggap mewakili suara ribuan rakyat berjanji dengan Sang Sapurba sebelum Sang Sapurba menjadi raja. Sang raja haruslah berlaku adil manakala rakyat haruslah setia selagi raja adalah seorang yang adil.

Gambaran paling dekat boleh kita lihat ialah bagaimana House Of Stark dalam Game Of Thrones ditabalkan sebagai raja. Robb Stark mahupun Jon Snow ditabalkan oleh para bangsawan untuk menjadi raja. Para bangsawan sendiri melutut dihadapan Stark, sambil menjulang pedang dan memanggil Stark sebagai raja. Sengaja saya berikan contoh dari tv series sebab saya lihat saudara Haikal peminat tv series tersebut, jadi contoh paling dekat ialah berdasarkan TV Series tersebut. Contoh dari sejarah sudah saya paparkan di atas, contoh dari TV Series untuk ia lebih dekat dengan jiwa saudara Haikal.

Kenapa saya bangkitkan tentang ini? Kerana sudah tentu apabila Parameswara menjadi raja di Melaka yang terbukti terdapat bukti arkeologi bahawa terdapat penempatan disana sebelum Melaka lagi, apabila dia ditabalkan oleh para bangsawan dan rakyat sebagai raja Melayu di sana, makanya Parameswara mempunyai claim sendiri ke atas Melaka seperti keturunan raja, daulat empayarnya yang pernah sampai ke sana yang dianggap kukuh oleh rakyat dan orang Melaka sendiri. Kalau tak rakyat dan pembesar setempat dia tak akan akur dari segi politik.

Beritahu saya, adakah pelarian Rohingya menerima keistimewaan seperti di atas?

Kata putus daripada saya. saya tidak merasakan Rohingya dan juga Parameswara ialah satu perbandingan yang tepat seperti mana yang diperkatakan oleh saudara kerana situasinya sendiri sudah berbeza seperti mana yang saya bahaskan di atas. Mereka dari zaman yang berbeza yang memandang dunia dari sudut yang berbeza daripada kita hari ini.

Dan ya, maaf bro kalau topik ini sangatlah mendalam. Ia tidak terhad pada sekadar “google” sahaja.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: