News!!

Anak parah bapa himpit kereta bekas isteri

ALOR SETAR: Budak berusia lima tahun yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Jalan Anak Bukit di sini semalam selepas tindakan bapa mangsa menghimpit kereta dipandu bekas isterinya, masih tidak sedarkan diri dan kini dalam keadaan kritikal.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata mangsa yang kini dirawat di wad penjagaan rapi pediatrik Hospital Sultanah Bahiyah itu, mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan patah tiga tulang rusuk kanan hingga menyebabkan paru-paru kanannya cedera.

“Kanak-kanak tersebut turut mengalami luka koyakan pada pergelangan tangan kanan serta kesan luka di muka, kedua-dua anggota tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail, berkata kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila Jafrul Nizam Jaafar, 38, yang memandu Perodua Myvi mengejar dan menghimpit kereta Perodua Myvi dipandu bekas isteri, Marziana Mahadzir, 37, yang turut dinaiki anak lelaki mereka.

Akibat himpitan itu, kereta Marziana terbabas dan melanggar sebatang pokok di atas pembahagi jalan manakala kereta Jafrul Nizam pula hilang kawalan lalu melanggar Proton Saga yang dipandu seorang anggota tentera, Faizal Baharom, 36.

Difahamkan sebelum kejadian itu, Jafrul Nizam dipercayai bergaduh dengan bekas isterinya itu berhubung hak penjagaan anak mereka.

Dr Norhizan berkata, ibu kanak-kanak terbabit yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta patah tulang tangan kanan antara siku dengan pergelangan tangan, sudah pun sedar dan berada dalam keadaan stabil.

“Bapa kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan teruk dan dia dalam keadaan sedar serta stabil namun dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut.

“Faizal dalam keadaan sedar dan stabil dan dia mengalami patah serta keretakan pada tulang di bahagian muka,” katanya. — BERNAMA

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: