News!!

Tragedi cuti sekolah – Remaja berkelah bersama keluarga mati lemas

MUHAMMAD Afiq ditemui lemas di air terjun Lata Kulim, Kampung Kenayat Gerik, tengah hari tadi - Foto ihsan bomba

GERIK: Kegembiraan satu keluarga berkelah di Air Terjun Lata Kulim, Kampung Kenayat, kira-kira 15 kilometer dari sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa Muhammad Afiq Ishak, 14, dikatakan mandi bersama-sama adiknya sebelum tiba-tiba dibawa arus air yang berpusar ke kawasan lubuk.

LOKASI Muhammad Afiq ditemui lemas di air terjun Lata Kulim, Kampung Kenayat Gerik, tengah hari tadi – Foto ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata ketika mangsa terkapai-kapai meminta tolong, bapa mangsa yang melihat kejadian itu terus terjun untuk menyelamatkan anaknya.

“Mangsa dikatakan sudah berjaya berpaut ke atas belakang badan bapanya tetapi terlepas semula kerana arus air yang laju. Bapa mangsa cuba mencari mangsa semula tetapi gagal menemuinya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ismail berkata, mangsa ialah pelajar Tingkatan 2 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu dan berasal dari FELDA Papulut dekat sini.

Katanya, mangsa dan 15 ahli kelurganya pergi ke air terjun itu untuk berkelah, mandi dan memancing sempena cuti umum.

Beliau berkata, mangsa pada mulanya mandi di kawasan air cetek dengan adiknya sebelum terjun di kawasan air yang dalam sebelum lemas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada keluarga mangsa pada jam 1.01 tengah hari sebelum enam anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

“Kami dibantu anggota polis dan 30 penduduk mencari mangsa sebelum menemuinya di dasar sungai sedalam tiga meter pada jam 2.45 petang tadi,” katanya.

Comments

comments

1 Comment on Tragedi cuti sekolah – Remaja berkelah bersama keluarga mati lemas

Leave a Reply

%d bloggers like this: