News!!

Tragedi Pulau Bidong: Kedaulatan Diancam, Jangan Sampai Diulangi Rohingya

Jumaat, September 01, 2017 : Kedatangan suku kaum Rohingya kini menjadi kerisauan rakyat Malaysia. Mana tidaknya, setiap hari, semakin banyak cerita yang kurang sedap didengari tentang mereka.

Ikuti tulisan saudara Mohd Faizal Zulkifly yang bakal membuka mata kita semua sebagai rakyat Malaysia tentang bahaya menerima pelarian dari negara yang sedang bergolak.

Rohingya Pulau Bidong

TRAGEDI PULAU BIDONG, KEDAULATAN DIANCAM, JANGAN SAMPAI DIULANGI ROHINGYA

Keputusan kerajaan Bangladesh menggazetkan sebuah pulau tak berpenghuni di wilayah selatan Chittagong untuk menempatkan pelarian Rohingya telah menyebabkan ramai yang mempersoalkan kenapa kerajaan Malaysia tidak mencontohi tindakan berkenaan iaitu dengan menggazetkan satu kawasan khas untuk menempatkan pelarian Rohingya.

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 untuk melindungi pelarian secara tetap di negara kita demi menjamin kedaulatan negara. Sungguh pun begitu, kita tetap mengizinkan mana2 pelarian untuk transit di negara kita sebelum dihantar ke negara ketiga.

Tahukah anda, Malaysia pernah diancam kedaulatannya dek kerana terlalu bermurah hati dengan menerima pelarian di negara kita satu ketika dahulu? Ia digelar tragedi Pulau Bidong.

Kisahnya bermula apabila Malaysia mengambil keputusan untuk menerima pelarian dari negara Vietnam yang meninggalkan negara mereka melalui jalan laut dek kerana peperangan yang tercetus di negara mereka. Oleh kerana jumlah mereka yang begitu ramai, Malaysia terpaksa mencari satu kawasan khas untuk menempatkan mereka di negara kita.

Keputusan menerima pelarian Vietnam menyaksikan kerajaan Terengganu terpaksa mengisytiharkan Pulau Bidong, sebuah kawasan tak berpenghuni di pesisir pantai Terengganu, kira2 40km dari tanah besar sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990. Ketika itu, ramai pelarian Vietnam ketika itu mendarat di pantai dan pulau di perairan Pantai Timur. Dianggarkan seramai 252,390 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia dan seramai 4,535 bayi mereka dilahirkan. Jumlah pendaratan paling tinggi ialah dengan kapal Hai Hong di Pelabuhan Klang, yang membawa 2,400 orang pada 1978.

Keputusan Malaysia ini dilihat sebagai satu keputusan kemanusiaan, dalam menangani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Ia juga menyaksikan kedudukan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN semakin kukuh dan membuka mata dunia luar terhadap Malaysia. Tapi persoalan yang timbul, kenapa perlu Malaysia yang menjadi hero dalam pergolakan dan krisis di negara ASEAN? Kenapa kerajaan Myanmar sendiri terus membisu walhal ia membabitkan rakyat negaranya sendiri?

Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang seolah-olah memandang sebelah mata mengenai isu berkaitan dengan pelarian Rohingya. Kewujudan Pulau Bidong suatu masa dulu dilihat sebagai sifat kemanusiaan sebuah negara kecil yang sedang membangun dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Tetapi, di sebalik sifat kemanusiaan ini, timbul satu permasalahan membabitkan penduduk tempatan dan nelayan di sekitar Pulau Bidong, yang memperjuangkan hak mereka dan mahu kawasan itu dijadikan kawasan bebas kepada nelayan. Bagi nelayan sekitar Pulau Bidong, pulau itu bukan saja menjadi lubuk sotong tetapi juga menjadi kawasan tangkapan ikan Zon B, iaitu untuk nelayan pukat jerut dan pukat tunda.

Rohingya Pulau Bidong

Tindakan kerajaan mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai kawasan keselamatan pada tahun 1976 menghalang nelayan untuk menangkap ikan berhampiran Pulau Bidong. Beberapa kes nelayan dihalau oleh Pasukan Petugas Pendatang Haram Vietnam (VII) kerana dikatakan menceroboh kawasan larangan sewaktu bot mereka menghampiri Pulau Bidong untuk berteduh daripada ribut, menyebabkan mereka terpaksa meredah laut bergelora untuk berteduh di pulau terdekat, iaitu Pulau Cendering.

Malah, nelayan di kawasan berkenaan, khususnya di Batu Rakit, Meras, Mengabang Telipot, Merang dan Setiu, mendakwa kerugian kira-kira RM2 juta setahun kerana tidak dibenarkan menangkap ikan berhampiran Pulau Bidong. Ramai nelayan berhijrah ke tempat lain seperti Mersing, Johor dan Kedah.

Kemarahan mereka memuncak pada Februari 1989 apabila Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) bercadang menuntut ganti rugi sebanyak RM36 juta daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Alasan Penentu ialah kira-kira 3,000 nelayan terjejas pendapatan kerana penempatan pelarian di pulau itu menyebabkan mereka tidak boleh menangkap ikan di sekitar pulau terbabit.

Mendengar rintihan rakyat membuatkan wujudnya konflik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, disusuli dengan memorandum kerajaan negeri pada 16 Disember 1988, meminta pulau itu yang terletak kira-kira 50 batu nautika dari Kuala Terengganu, tidak dijadikan sebagai penempatan pelarian Vietnam. Konflik ini berakhir pada 30 November 1991 selepas kerajaan mengumumkan Pulau Bidong akan ditutup daripada menjadi pusat penempatan sementara pelarian Vietnam.

Rohingya Pulau Bidong

Upacara penyerahan yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba kepada Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, menandakan Pulau Bidong yang menempatkan pelarian Vietnam sejak 1975 bebas daripada `jajahan’ rakyat asing. Permintaan nelayan tempatan untuk mendapatkan semula lubuk hidupan laut itu akhirnya terkabul.

Menurut pemerhati politik ketika itu, keputusan menutup Pulau Bidong sepatutnya sudah lama dibuat oleh kerajaan setelah hampir 12 tahun masalah penempatan semula pelarian ke negara ketiga menjadi semakin rumit. Keputusan kerajaan menutup Pulau Bidong untuk selama-lamanya kepada pelarian dapat mengelakkan golongan itu meninggalkan negara mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Lebih penting, ia melenyapkan imej Pulau Bidong, sebagai pusat tarikan pelarian, khususnya dari Vietnam.

Namun, penutupan Pulau Bidong ini bukanlah pengakhiran kepada masalah pelarian dan pendatang asing ke Malaysia. Selepas Pulau Bidong ditutup, pelarian ini dipindahkan ke Kem Pelarian Sungai Besi dengan satu harapan agar masalah pelarian ini dapat diatasi. Jangkaan semua pihak itu nyata meleset apabila bilangan pelarian Vietnam ini bertambah dan menjadikan Kem Pelarian Sungai Besi seolah-olah daerah keramat mereka.

 

PULAU BIDONG : KISAH SAIDUN BERDEPAN DEMONSTRASI BERDARAH PELARIAN VIETNAM

SAIDUN PULAU BIDONG

SAIDUN PULAU BIDONG

Selepas hampir 12 tahun Malaysia menempatkan pelarian Vietnam atau ‘orang hanyut’ di Pulau Bidong, Terengganu bermula tahun 1978, jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an. Tunjuk perasaan itu bermula apabila tersebarnya berita mengatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan untuk mengeluarkan mereka dari situ untuk dihantar ke negara ketiga.

Memang itu yang mereka impikan, tetapi mereka tidak mahu melalui proses saringan, syarat yang perlu dilalui untuk layak dihantar ke mana-mana negara. Akhirnya saki baki 16,000 pelarian yang berada di situ nekad untuk mengadakan tunjuk perasaan membantah keputusan mengadakan saringan.

Penguasa Penjara, Saidun Othman, adalah antara pegawai dan anggota keselamatan, yang berdepan detik getir bersama lima rakan setugas Jabatan Penjara, 15 anggota polis serta dua anggota tentera.

Pasukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu turut dibantu 30 Ikatan Relawan Malaysia (RELA), namun jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan 16,000 penghuni Pulau Bidong.

Ketika ini, Saidun yang dipanggil Kapten dalam kalangan penghuni pulau mengakui, keputusan PBB itu tidak dimaklumkan lebih awal kepada mereka menyebabkan pasukan khas itu tidak menyangka akan berlaku demonstrasi di depan bilik gerakan mereka.

“Ketika berita itu tersebar, mereka menyerbu pejabat pasukan kami. Mereka berkumpul, bermula dengan kumpulan kecil sehinggalah hampir semuanya berada di depan bilik gerakan kami. Kawasan kami dikerumuni hampir 16,000 penghuni.

Mereka marah dan menunjuk perasaan membantah keputusan PBB kerana mahu membuat saringan memilih yang layak ke negara ketiga. Mereka beranggapan semuanya layak dan tidak mahu dihantar pulang.

“Kami bimbang jika demonstrasi itu bertukar menjadi tegang dan ganas. Maklumlah, mereka kecewa dan emosi itu boleh bertukar menjadi marah dan ganas. Kami mula berbincang dengan ketua mereka dan menjelaskan, itu kuasa dan keputusan PBB,” katanya.

Demonstrasi itu berlanjutan selama seminggu disusuli dengan mogok lapar. Mereka enggan menyentuh makanan yang disediakan petugas Palang Merah Antarabangsa. Pada masa sama, banyak poster protes mula dinaikkan dan ada antaranya yang bertulis ‘hidup atau mati’, ‘Kami mahu keadilan’, ‘Bebaskan kami’ dan ‘Kami tidak mahu pulang’. Sepanjang tempoh itu juga, petugas keselamatan terus berdiplomasi memujuk mereka supaya bertenang.

“Pada hari pertama dan kedua, mereka kelihatan masih boleh mengawal emosi. Tetapi selepas beberapa kali berbincang dan tiada keputusan positif, mereka mula berubah sikap. Pemimpin mereka mula berucap di tempat perhimpunan dengan penuh semangat.

“Kemuncak tunjuk perasaan itu memang mengerikan kerana ramai yang mencederakan diri sendiri. Menikam badan dengan senjata tajam. Mereka mahu menunjukkan tanda protes kepada PBB.

Walaupun mereka tidak menyerang kami, sebenarnya kamilah yang terpaksa berdepan dengan situasi itu kerana bertugas di bahagian keselamatan,” katanya yang bertugas selama 11 bulan di sana sebelum dipindahkan ke kem sementara pelarian di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Demonstrasi itu berakhir dengan aman selepas beberapa perundingan dan akhirnya, semua penghuni di Pulau Bidong dipindahkan ke kem Sungai Besi sementara menunggu proses menghantar mereka ke negara ketiga. Pelarian Vietnam yang terkenal dengan sikap agresif akibat desakan hidup di negara mereka serta kesan perang antara Vietnam Utara (pro komunis) dan Vietnam Selatan (pro demokrasi) juga tidak terlepas daripada masalah jenayah dan disiplin walaupun dikawal ketat.

“Kami terpaksa menubuhkan unit keselamatan yang terdiri daripada pemimpin mereka sendiri. Ini bertujuan mengawal mereka supaya tidak bertindak ganas atau mengganggu ketenteraman penghuni lain. Kerap berlaku pergaduhan sesama sendiri dan biasanya ia membabitkan remaja. Jika ada yang melakukan kesalahan, mereka akan ditangkap dan dibicarakan. Jika bersalah, mereka akan dikurung di dalam bilik tahanan khas seperti ‘monkey house’,” katanya.

Pesalah akan dikurung di situ untuk tempoh tertentu antara dua hingga tiga minggu. Jika berkelakuan baik sepanjang tempoh itu, barulah mereka akan dibebaskan, tetapi ada juga yang terpaksa ditahan selama lebih sebulan.

‘Monkey house’ adalah bilik tahanan kecil yang cuma boleh memuatkan beberapa individu pada satu-satu masa dan mereka tidak boleh berdiri. Ini bermakna, sepanjang tempoh tahanan itu, mereka cuma boleh duduk atau berbaring saja dan langsung tidak dibenarkan balik ke blok penempatan.

Jika berlaku kes jenayah serius, mereka akan terus dilaporkan kepada polis. Namun, bagi Saidun, perkara itu langsung tidak menjejaskan pelarian kerana mereka sudah lali dengan situasi sukar atau bergelut untuk terus hidup. Ditanya mengenai masalah sosial yang berlaku di kem penempatan, katanya, penghuni diasingkan mengikut kategori keluarga, bujang, lelaki dan wanita, kanak-kanak serta ibu tunggal.

“Mereka ditempatkan di blok berbeza. Jika ada masalah sosial yang berlaku, perkara itu berlaku di luar kawalan kita. Memang ada bayi yang lahir di sini, tetapi semuanya mengaku ada bapa,” katanya.

(Sumber: Berita Harian/ wartawan Mohd Azis Ngah)

 

ISU PELARIAN VIETNAM : PEMBERONTAKAN DI KEM TAHANAN SUNGAI BESI GUGAT KEDAULATAN NEGARA

Selepas lebih 20 tahun mendapat perlindungan dan layanan baik oleh kerajaan, pelarian Vietnam bertindak seperti ‘kacang lupakan kulit’ apabila mencetuskan kekecohan yang menjadi antara rusuhan terbesar pernah berlaku di negara ini.

Penutupan Pulau Bidong yang menjadi tempat perlindungan mereka sebagai pelarian sejak 1978 pada tahun 1991, telah menyaksikan mereka dipindahkan ke sebuah tahanan baru di Kem Tahanan Sungai Besi, tidak jauh dari ibu kota.

Bagaimanapun, kehadiran mereka di Kem Sungai Besi memberi masalah lebih besar kepada anggota keselamatan. Di dalam kem ini, mereka telah menunjukkan perangai mereka yang sebenar, mereka telah mewujudkan puak2 samseng di kalangan mereka dan menindas rakan sepelarian mereka sendiri.

Mereka juga tidak menghormati undang2 dengan mewujudkan pelbagai pusat hiburan dan pelacuran haram di dalam kem berkenaan, selain melakukan penyalahgunaan dadah.

Justeru, disebabkan sikap mereka yang kurang ajar, pihak keselamatan telah mengambil keputusan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke dalam kem mereka untuk membanteras gejala yang tidak bermoral yang dilakukan mereka.

Mereka membantah tindakan anggota keselamatan, hingga mencetuskan rusuhan besar pada Jun 1995 yang hampir menggugat kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia yang telah memberi perlindungan kepada mereka selama ini.

Tindakan ganas kumpulan perusuh pada pagi 5 Jun 1995 menyebabkan tiga blok kediaman di Kem Transit Sementara Sungai Besi yang menempatkan lebih 4,500 pelarian Vietnam musnah sama sekali.

Rusuhan ini mengorbankan seorang pelarian dan mencederakan lebih 10 anggota yang terlibat dalam operasi mengawal keselamatan iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bomba dan polis hutan (PPH).

Selain drama rusuhan yang berlangsung selama lebih 16 jam, kebakaran besar itu turut menggemparkan warga kota khususnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Besi dan Bukit Jalil.

Kepulan asap yang menjulang tinggi dikatakan dapat disaksikan dari jarak puluhan kilometer. Dalam operasi mengawal rusuhan itu, seramai 1,200 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota polis, FRU, PPH, bomba, unit pengesan bom dan unit anjing pengesan dikerahkan ke tempat kejadian.

Serbuan awal polis ketika itu berjaya menemui pelbagai senjata tajam seperti lembing, parang, senapang panah dan pedang yang dihasilkan oleh kumpulan perusuh. Berdasarkan kenyataan rasmi Dewan Negara yang dibaca oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berhubung insiden ini, kekecohan dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati pelarian terhadap keputusan kerajaan yang mahu menghantar mereka pulang ke negara asal.

Menurut beliau dalam kenyataan itu, pelarian Vietnam cuba menunjukkan bantahan dan mendapatkan simpati dunia terhadap rancangan kerajaan menghantar mereka pulang ke Vietnam yang sudah dipersetujui oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Mereka juga masih menaruh harapan untuk dihantar menetap ke negara ketiga yang mereka anggap dapat memberikan perlindungan walaupun permohonan mereka ditolak oleh negara berkenaan.

Pilihan kumpulan pelarian ketika itu adalah untuk mendapatkan tempoh perlindungan lebih lama di negara ini sementara menunggu giliran dihantar ke negara-negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Kanada dan Eropah yang dikelola oleh UNHCR.

Bagaimanapun, atas syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa itu, keutamaan mengikuti program pemindahan ke negara ketiga itu hanya melibatkan pelarian yang mempunyai kelayakan profesional.

Tersepit dalam keadaan itu, sebahagian daripada pelarian turut berusaha meraih simpati antarabangsa sehingga mendapat perhatian dari negara luar. Kenyataan yang sama juga menyatakan pemberontakan berpunca daripada tindakan kerajaan membina pagar berangkai di kem berkenaan bagi mengasingkan kumpulan pelarian yang bermati-matian enggan dihantar pulang dengan puak yang lebih bertimbang rasa.

Ia merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk menghalang kumpulan hardcore daripada menghasut kumpulan pelarian yang lain. Dalam rundingan itu, kumpulan pelarian mendesak kerajaan supaya tempoh perlindungan dilanjutkan kerana mereka takut pulang ke negara asal.

Mereka tidak berani pulang kerana takut dikenakan hukuman mati oleh pemerintah komunis negara itu. Rundingan menemui jalan buntu sehingga tercetusnya rusuhan. Selepas tewas dalam ‘pertempuran’ dengan pihak berkuasa, beratus-ratus ‘kepala samseng’ ditahan dan dihantar ke kem tahanan sementara pelarian di Kerayong, Pahang.

(Sumber: Utusan Malaysia/Abd. Halim Hadi)

Saksikan bukti video di bawah betapa impak membawa masuk pelarian hampir menggugat keselamatan dan kedaulatan negara kita. Fikir2kan.

Comments

comments

1 Trackback / Pingback

  1. Rohingya, Cukup-Cukuplah Buat Kami Malaysia Tersepit – WARNA ASIA

Leave a Reply

%d bloggers like this: