News!!

OKU teraniaya dipaksa bayar hutang

Melaka: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kebingungan apabila menerima bil tuntutan daripada syarikat pinjaman wang berjumlah RM5,108 walaupun tidak pernah membuatpermohonan daripada mana-mana institusi kewangan sebelum ini.

Umi Kelsom Md Yusof, 54, yang cacat pendengaran berkata, dia keliru bagaimana nama dan nombor MyKad miliknya boleh digunakan individu tidak bertanggungjawab bagi memohon pinjaman berkenaan.

Katanya, dia semakin tertekan apabila menerima notis guaman pada November tahun lalu memaklumkan tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya jika gagal melunaskan pinjaman terbabit.

“Saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan RM700 sebulan, jadi tak munasabah nak buat pinjaman sebesar itu, lebih-lebih lagi mahu beli telefon pintar sedangkan nak makan pun tak cukup.

“Sekarang saya buntu dan risau kerap diganggu wakil syarikat terbabit yang menuntut hutang. Saya tertekan apabila wakil syarikat terbabit cakap nak sita rumah dan ambil tindakan undang-undang lain,” katanya ketika ditemui di pejabat Pembela Barisan Nasional (Pembela BN) di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Akibat tertekan kerana memikirkan masalah terbabit, Umi Kelsom mendakwa kesihatannya terjejas hingga mengganggu tugasnya sebagai tukang cuci.

Wanita itu berkata, selama ini dia tidak pernah memberikan salinan MayKad mahupun dokumen peribadi lain kepada mana-mana pihak kecuali sewaktu memohon untuk mendapatkan kerja.

“Kerana buntu saya berkongsi perkara ini dengan beberapa rakan sekerja yang bertugas di bawah penyelia sama sebelum ini dan mereka mengadu turut berdepan masalah sama.

“Saya tak berani nak tuduh sesiapa dan harap ada pihak tampil bantu untuk siasat, sekali gus selesaikan masalah kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya menyediakan peguam bagi mewakili wanita OKU itu jika kesnya dirujuk ke mahkamah oleh syarikat terbabit.

“Dia tak tahu apa-apa tapi namanya dicalar oleh individu tidak bertanggungjawab, malah perlu menanggung hutang orang lain pula sekarang ini.

“Bagi mengatasi masalah ini saya cadangkan syarikat pinjaman mewujudkan sistem imbasan cap jari untuk sahkan pemohon adalah pemegang sebenar MyKad dilampirkan pada borang permohonan.

“Sebelum ini kami pernah menerima beberapa kes menggunakan modus operandi sama. Perkara ini adalah satu perbuatan jenayah yang menyusahkan mangsa,” katanya. – HMETRO

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: