News!!

Geng samun kedai aktif semula di utara

SG PETANI, 24 OGOS 2017: GENG samun kedai serbaneka 24 jam kembali aktif apabila mereka menyamun premis 7 Eleven di Lot 88 dekat Amanjaya, Sungai Petani, tengah malam semalam.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, dua suspek bermotosikal memasuki premis dan ketika itu terdapat seorang pembantu kedai dan rakannya.

Menurut sumber, seorang suspek berpura-pura membeli minuman manakala seorang lagi berjaga di pintu masuk, namun ketika pekerja mahu mengembalikan baki wang, suspek mengeluarkan sebilah parang dan mengacu ke arah mangsa.

Katanya, suspek mengarahkan pembantu kedai itu membuka peti besi dan menyerahkan semua wang tunai dan barang berharga.

“Selepas merampas wang tunai RM42.65 dan telefon bimbit milik pembantu kedai, suspek melarikan diri menaiki motosikal.

“Ketika kejadian dua suspek memakai topi keledar serta berjaket gelap dan jumlah kerugian RM692.65,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa membuat laporan di Balai Pols Sungai Petani dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Suspek dipercayai terbabit dalam kejadian samun lain di sebuah kedai 7 Eleven di Bakar Arang, 6 pagi kelmarin.

“Dalam kejadian itu, dua lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan sebilah pisau menyerbu masuk kedai dan terdapat seorang pembantu kedai wanita bertugas.

“Suspek melarikan wang tunai RM90, lebih 10 kotak rokok dan sebuah telefon bimbit milik pembantu kedai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan dijalankan bagi mengesan suspek. – HMETRO

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: